Sabtu, 27 Februari 2010

KHAMIS : MUSAFIR 3 : EPISOD 2 : KUALA LUMPUR)

Sahabat saya yang namanya sekarang Mohd Syahid (dulu namanya Lister)…Alhamdulillah ALLAH buka pintu hatinya untuk menjadi seorang Muslim, menjemput saya untuk menyampaikan ceramah kepada pelajar di kolejnya. Ini adalah kali ke 2 saya ke Kolej Teknologi Makmal Perubatan, Institut Penyelidikan Perubatan, kali pertama pada tahun lepas. Dari Shah Alam, saya terus ke Kuala Lumpur, Alhamdulillah sampai pada jam 7.30 malam dan selepas selesai solat Maghrib berjamaah, ceramah pun dimulakan berkisar tentang peristiwa Maulidur Rasul.

 
Alhamdulillah, program berjalan lancar dan para peserta pun nampak memberi perhatian yang baik. Sesungguhnya lipatan sejarah agung ini membuka seribu macam falsafah dalam memberi kesedaran kepada masyarakat Islam bagi menghayati syakhsiah diri Baginda secara keseluruhannya yang sepatutnya dijadikan ikutan. Alhamdulillah ceramah kali ini walaupun diadakan di surau, buat kali pertamanya saya menggunakan laptop dan speaker yang saya bawa sendiri, manakala OHP disediakan sendiri oleh KTMP. Ada beberapa isi ceramah yang rasanya perlu disampaikan dengan bantuan dan sokongan alatan multimedia bagi mewujudkan suasana yang lebih interaktif dan memberi kesan kepada pendengar.

Jam 9.30 ceramah pun berakhir, terus kami solat Isyak dan menikmati jamuan yang disediakan. Lebih kurang jam 10.20, selepas selesai makan sambil berbual-bual bersama Syahid dan En. Salleh (Pengarah KTMP (orang Tampin- terima kasih kerana jemputan dan sudi datang mendengar ceramah saya), saya mohon untuk beredar pulang…malam ni jugak saya mesti balik ke Lonek. Alhamdulillah, malam saya balik jalan tak jam, walaupun esoknya cuti umum Maulidur Rasul…risau juga kalau jalan ke arah selatan sesak, entah pukul berapa boleh sampai rumah. Boleh tahan saya speed laju, sampai rumah pukul 12.10…maknanya masa yang saya ambil untuk perjalanan sejauh 150 km dari Kuala Lumpur ke Batu Kikir ialah 1 jam 50 minit. Alhamdulillah saya sampai rumah dalam keadaan yang amat selesa.




 
 Bersama En Salleh, Pengarah Kolej Teknologi Makmal Perubatan, Institut Penyelidikan Perubatan, Kuala Lumpur.

Read More...

Jumaat, 26 Februari 2010

KHAMIS : MUSAFIR 3 : EPISOD 1 : SHAH ALAM

Khamis 25 Februari 2010, agak padat juga jadual harian pada hari ini, belum habis penat semalam dan kelmarin, hari ni nak musafir lagi, sebelah pagi hadir ke padang Sekolah Kebangsaan Serting Ilir, sukan sekolah Wafi…dia tak masuk pun tapi kena jugak hadirkan diri sebagai tanda kasih sayang dan keprihatinan terhadap perkembangan persekolahannya. Abi kena la ambil berat tentang anaknya kan?



Ok cerita pasal musafir ke Shah Alam, juga melalui Bahagian Dakwah, saya dihubungi oleh Ustazah Haslinda untuk mengisi slot ceramah…kali ini tajuk yang agak mencabar juga, walaupun agak berat tapi semangat untuk mencuba, saya gagahkan juga, moga dapat menambah pengalaman terutama sekali dalam usaha melaksanakan apa yang berkaitan dengan tajuk yang disampaikan.

Tajuk ceramah ialah ANCAMAN KEPADA KECEMERLANGAN PRESTASI ORGANISASI manakala peserta adalah penjawat awam pelbagai jabatan di Negeri Selangor Darul Ehsan yang diadakan di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, bersebelahan Bangunan DUN.

Saya bertolak dari rumah di Lonek, Batu Kikir pada jam 12.00 tengahari dengan sasaran dapat sampai ke Bangunan SUK jam 2.00 petang…tapi target saya kurang tepat apabila tersasar lebih 20 minit dari yang saya jangkakan. Shah Alam memang sudah banyak berubah…yang paling jelas kerajaan yang memerintah negeri…memang menjadi rebutan…apa taknya negeri terkaya dan paling membangun di Malaysia. Saya sempat melintasi kawasan seksyen 13…teringat tempat mencari rezeki sekitar tahun 2000-2005…memang pesat membangun…rumah-rumah kediaman yang dibina punyalah class sesuai dengan harga dan persekitarannya. Teringat dulu masa mula-mula menjejakkan kaki di sini pada tahun 2000…rumah kedai yang ada tu berapa buah sangat yang dibuka, Stadium Shah Alam senang je nak nampak…tapi sekarang…bermacam-macam kompleks dibina. Sesuai sangat pelaburan Dato’ memilih bumi Seksyen 13 sebagai tapak membina institusi pendidikan yang kini antara tumpuan utama para pelajar melanjutkan pelajaran sekiranya gagal memasuki IPTA.

Kembali semula kepada cerita berkaitan ceramah…Alhamdulillah respon peserta melalui borang penilaian yang diisi agak memberangsangkan juga…walaupun mengikut mata kasar saya yang berhadapan dengan semua peserta pada petang itu…nampak sebahagian kecil macam ada yang kurang ceria…mungkin sebab ceramah waktu petang…so mood pun dah bercampur aduk di antara semangat mendengar ceramah dengan melayan kelipan mata yang semakin redup. Saya dah baca semua komen peserta mengenai ceramah yang disampaikan…terima kasih kepada mereka yang berpuas hati…ada dalam 3-4 orang menceritakan mengenai keadaan matanya yang amat mengantuk mendengar ceramah saya…tetapi lebih ramai yang menyatakan terhibur dan mengesankan. Ada yang komen, ceramah seumpama ini elok didengar bersama ketua-ketua Jabatan…ye satu idea yang sangat baik…dan macam-macam komen lain yang biarlah menjadi bahan penilaian kepada diri saya sendiri sebagai langkah penambahbaikan untuk ceramah-ceramah yang akan datang.

Betul la…manusia ini adalah makhluk persepsi dan tanggapan semua manusia tidak mungkin senada dan seirama…yang baik dijadikan sempadan dan yang kurang baik dijadikan tauladan. Ala kulli halnya…saya amat menghargai pengalaman yang saya dapat terutama pandangan salah seorang peserta bukan Melayu yang hadir pada petang itu.

Sayangnya tiada gambar kenangan yang dapat saya simpan kerana tak perasan kamera yang saya bawa rupa-rupanya tertinggal di dalam kereta…yang ada cuma gambar cenderahati kenang-kenangan dari penganjur yang saya paparkan di awal penulisan blog di atas.

Bercerita tentang Shah Alam, sebetulnya memang banyak kenangan saya di sini…saat bujang dan mendapat pekerjaan pertama dengan gaji yang agak berbaloi juga. Dari bujang ke suami orang…mendiami rumah flat di Seksyen 20 dengan kadar sewa RM450.00 yang didiami oleh hampir 95% orang India, berpindah randah ke Seksyen 27 dan yang terakhir sebelum balik ke NS menyewa selama hampir setahun di Puchong Permai. Semuanya kini tinggal kenangan…perubahan pasti akan berlaku dalam hidup setiap manusia. Paling mengejutkan saya ialah sewaktu singgah untuk solat asar di Masjid Ubudiyyah - kalau tak silap namanya la - di Seksyen 19…tak dapat saya bayangkan rupa dan bentuk asal masjid tersebut walaupun dulu, situlah tempat yang kerap saya lalu dan singgah.

Kesempatan yang ada, saya menziarahi jiran baik sewaktu menyewa si rumah flat yang saya ceritakan kadar sewanya RM450 tu…tak sangka dapat jumpa semula Kak Wan dan Pak Nik…walaupun pertemuan yang singkat dalam kadar masa lebih kurang 45 minit…banyak kisah suka duka yang dapat kami kongsikan bersama…tak sempat jumpa Fitri satu-satunya anak mereka yang sedang menunggu keputusan SPM...kali terakhir jumpa Fitri masa dia Tahun 6 sekolah rendah…dah besar panjang anak bujang Kak Wan. Teringat juga kenangan mengajar anak-anak jiran setempat mengaji al-Quran…ramai juga anak-anak murid kami dulu dalam 25-30 orang. Apa kisah mereka sekarang??? WALLAHU A’LAM.
Dari Seksyen 20 saya meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur iaitu Kolej Teknologi Makmal Perubatan, Institut Penyelidikan Perubatan yang terletak betul-betul bersebelahan Institut Jantung Negara. (Sila ikuti : KHAMIS : MUSAFIR 3 : EPISOD 2 : KUALA LUMPUR)

Read More...

RABU : MUSAFIR 2 : PUTRAJAYA

Ke Putrajaya atas urusan rasmi terutama mesyuarat adalah rutin bulanan sejak saya menanggung kerja jawatan Penguasa PPA Feb 2009. Kali ini Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan JAKIM yang dihadiri oleh semua Pengarah Bahagian. Mesyuarat ini dijalankan setiap bulan dan bagi saya ini satu pengalaman yang amat berharga terutama dalam memahami dan mendalami karektor Bos Besar kami di JAKIM. Keberanian dan keseriusan serta kelantangan beliau dalam banyak ketika menjadi ikutan betapa sifat seumpama itu memang perlu ada pada seorang yang MEMIMPIN. Dulu masa jadi pegawai biasa sesekali je turun Putrajaya, tapi sejak Feb 2009 memang agak kerap ke sana, pernah sekali dulu setiap minggu ke sana dengan pelbagai hal dan urusan. Jarak perjalanan kali ini 220 km.

Read More...

SELASA : 23 FEB : MUSAFIR 1 : LEMBAGA KOKO MALAYSIA, BANGI

Sepanjang minggu terakhir bulan Februari 2010, saya rasa amat sibuk sekali, penat pun ada, ke sana ke sini, program di pejabat, masalah kesihatan abah, jemputan ceramah, mesyuarat, sukan sekolah Wafi…itu di antaranya, bukan saya mengeluh kepenatan, cuma perjalanan untuk 1 aktiviti sahaja memakan jarak yang bukan singkat…kalau ikut perbahasan dalam ilmu fiqh ‘lebih 2 marhalah’…Selasa 23 Feb saya laksanakan solat jamak qasar, Rabu pun sama, malah Khamis pun sama. Maknanya untuk 3 hari tersebut saya musafir dari (1) Lonek - Bangi - Seremban - Jelebu - Lonek, (2) Lonek - Putrajaya - Lonek, (3) Lonek - Shah Alam - Kuala Lumpur - Lonek. Untuk 3 hari tersebut, ulang alik ulang alik, perjalanan keseluruhan saya sejauh 764 km. Bukan masalah sangat jarak tu…cuma MUSAFIR 1 dari rumah balik ke rumah semula, MUSAFIR 2 begitu, MUSAFIR 3 pun begitu juga.

Lembaga Koko Malaysia di Bangi memohon kepada JAKIM untuk menghantar penceramah sempena Maulidur Rasul dan saya dihubungi oleh Ustazah Haslinda untuk memenuhi slot tersebut. Pagi Selasa saya bertolak dari rumah ke Bangi dalam keadaan masa tu abah masih dalam situasi ‘penyakit misteri’, Insyaallah tak ada apa-apa tu cuma ‘misteri’ sikit la.

Tajuk yang diberi kepada saya ialah KEPIMPINAN DAN PENTADBIRAN RASULULLAH S.A.W. Memang saya dah stanby isi yang memang menyentuh tajuk berkenaan, namun faham-faham ajelah, bila nak dihuraikan tentang diri Rasulullah memang terlalu banyak yang boleh diperbincangkan. Sedang jangka hayat Baginda selama 63 tahun itu, manakan mungkin untuk diringkaskan kepada 2 jam sahaja. Dalam slide tu ada saya masukkan bagaimana pendekatan pentadbiran Rasulullah melantik ‘na’ibin’ atau ‘nuwwab’ (pengganti Nabi di Madinah jika Baginda keluar) yang mungkin boleh kita samakan dengan Pemangkuan sekarang. Baginda juga melantik ‘rusul’ atau duta ke negara-negara sekitar Madinah, melantik qadhi, imam, ketua hakim, membentuk Piagam Madinah, mendirikan masjid dan beberapa aspek pentadbiran yang lain, namun tidak sempat saya utarakan untuk tempoh 2 jam itu.

Saya juga ada masukkan kepimpinan Rasulullah sebagai ketua negara, ketua keluarga, tokoh pendidik terulung, pun tidak sempat saya bicarakan, namun dalam penerangan yang saya sampaikan, saya kaitkan juga dengan kepimpinan Rasulullah S.A.W walaupun tidak secara direct.

Hasilnya, dalam borang penilaian, ada yang memberi komen, isi ceramah tidak begitu menjurus kepada tajuk yang diberikan, namun banyak yang memberi komen yang baik, dan saya sendiri mengakui isi yang agak tersasar dari tajuk, namun ruang lingkup ceramah masih terfokus kepada diri Rasulullah S.A.W, kehebatan akhlak, ketajaman akal fikiran dan kebijaksanaan kepimpinan yang melayakkan Baginda diiktiraf sebagai tokoh yang sangat hebat serta tiada tandingan.

Terima kasih kepada semua warga Lembaga Koko Malaysia Bangi atas sambutan yang baik…tak sangka pulak dalam ramai-ramai tu ada seorang yang katanya macam mengenali dan pernah berjuma saya…rupa-rupanya adik ipar kepada kawan saya masa sekolah rendah dan menengah, kebetulan isterinya adalah junior saya 2 tahun semasa di sekolah dulu. Selepas selesai makan tengahari, terus saya hubungi kawan lama saya tu yang tak pernah kami jumpa selepas tamat tingkatan 3 tahun 1988…bayangkan dah 22 tahun…teringin sangat nak jumpa kawan-kawan lama masa sekolah rendah dan menengah.

Dari Bangi saya singgah ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk ambik cek bayaran fasilitator pengendalian kursus untuk kakitangan Jabatan Diatetik dan Sajian Makanan tahun lepas, kemudian sahabat saya Ustazah Azlina bawa saya melawat Iwan (anak abang Aziz) yang ditahan wad suspect appendix…walaupun bukan masa melawat, tapi sebab Azlina yang bawa…no problem…cable besar tu.

Dari hospital, saya terus ke PPA…kena ambil tahu juga keadaan SAHABAT AKIDAH yang sedang mengendalikan kursus untuk pelajar SMK Tunku Sulong, Kedah Darul Aman. Habis slot Riadhah Berkonsep saya terus balik ke Lonek. Jumlah jarak hari ini 241 km.

 



 

Read More...

Khamis, 25 Februari 2010

SAHABAT AKIDAH 3/2010

Alhamdulillah, kursus ke 3/2010 telah selamat dilaksanakan pada 17-17 Februari 2010, kali ini SAHABAT AKIDAH terdiri dari anak-anak kecil murid-murid Tahun 6 Sekolah Kebangsaan Sikamat, Seremban. Nampaknya SAHABAT AKIDAH melangkaui batasan usia bukan sekadar golongan remaja, malah kanak-kanak juga, dan satu hari nanti, keluarga SAHABAT AKIDAH merangkumi golongan dewasa, pemimpin masyarakat dan warga tua juga.

Mengendalikan anak-anak peringkat sekolah rendah tidak sesukar menghadapi mereka yang bersekolah peringkat menengah, namun ada masa dan ketikanya mereka lebih banyak kerenah berbanding mereka yang lebih dewasa. Ibu bapa pun pasti berkira-kira dalam memberi keizinan kepada anak-anak mereka untuk menghadiri kursus nun jauh di kawasan pinggir hutan.


Mujur guru-guru pengiring setia menemani anak murid sepanjang hari berkursus secara sepenuh masa, sekurang-kurangnya menghilangkan sedikit kerinduan anak-anak kepada ibu bapa mereka di rumah. KAMI juga punyai peranan dan tanggungjawab yang sangat besar bagi memastikan mereka merasa seronok dan mendapat pengalaman lain dari yang lain berbanding kursus-kursus yang mungkin mereka pernah hadiri di mana-mana sebelum ini. Alhamdulilllah…berdasarkan penelitian yang dibuat, ternyata semuanya berjalan lancar dan baik.

Melihat pada gelagat anak-anak Sikamat, fikiran serta minda terimbau kepada anak-anak Desa Cempaka yang sekian lama tidak diketahui khabar berita, tahun lepas mereka berkampung di PPA dan ketika itu semuanya di Tahun 6, maknanya tahun ni mereka dah bersekolah menengah, entah di mana ibu bapa menempatkan anak-anak untuk meneruskan pendidikan peringkat menengah.

SAHABAT AKIDAH tidak mampu memantau mereka secara keseluruhan, mudah-mudahan ibu bapa akan sentiasa memastikan anak-anak sentiasa dalam keadaan baik samada akhlak, pelajaran, pergaulan dan yang paling utama, penekanan aspek AKIDAH yang menjadi nadi dan tunjang penyelamat di alam sana.

Dalam blog ini pun ABI tak dapat nak menulis panjang, dan gambar pun dapat paparkan sedikit sahaja, sebab minggu ni (22-25 Feb 2010) banyak sangat hal nak dibuat di pejabat, balik rumah dan penat, dan masa cuti hujung minggu baru-baru ni (20-21 Feb 2010) ada pulak sedikit masalah di rumah yang tidak memungkinkan ABI on kan laptop.

Read More...

Ahad, 14 Februari 2010

GAMBAR KURSUS KEFAHAMAN AKIDAH SIRI 2/2010

Bersama ini dilampirkan beberapa foto menarik yang diambil semasa Kursus Kefahaman Akidah Siri 2/2010. Gambar-gambar ni tak termasuk gambar hari terakhir kursus. Insyaallah baki gambar akan menyusul kemudian.








 

Read More...