Ahad, 27 Disember 2009

AMALAN BERMUHASABAH, SUATU TUNTUTAN AGAMA

Alhamdulillah...hari ini bersamaan 11 Muharram 1431 H, bermakna suku pertama bulan pertama kalendar tahun baru Hijri telah dilalui oleh setiap individu muslim yang menghuni bumi ciptaan Allah S.W.T ini. Manakala tahun baru masihi pula akan tiba 4 hari sahaja lagi. Biasanya di setiap awal tahun ada sahaja di kalangan kita yang memasang azam mahukan sesuatu yang lebih baik untuk tahun yang mendatang...namun ramai yang terlalu ghairah berazam sedang dalam masa yang sama melupai amalan bermuhasabah tentang prestasi dan pencapaiannya untuk setahun yang telah ditinggalkan. Azam dan muhasabah mempunyai perkaitan yang sangat rapat kerana melalui amalan muhasabah...seseorang dapat mengenalpasti kelemahan dan kekuatannya bagi memperbaharui azam yang baru. Begitu juga penilaian dari sudut kejayaan dan kegagalan dalam perlaksanaan sesuatu pekerjaan memberi impak yang sangat berkesan dalam memastikan azam yang baru tersemat dapat direalisasikan dalam keadaan yang maksimum.

Bersama ini saya "attach" salah satu artikel saya yang turut terhimpun dalam himpunan antologi artikel 30 Akhlak Mulia. Sesiapa yang memiliki buku tersebut boleh dapatkannya dalam salah satu tajuk dalam buku tersebut, namun bagi yang tidak memiliki buku tersebut, boleh kita kongsi-kongsikan bersama melalui apa yang terpapar di sini. Moga ada manfaatnya.

AMALAN BERMUHASABAH, SUATU TUNTUTAN AGAMA

Amalan bermuhasabah atau menilai diri amat dituntut oleh Allah S.W.T. kepada semua manusia. Tanpa sebarang pengecualian, ia wajar menjadi amalan setiap individu samada pemimpin, majikan, pekerja, suami, isteri, anak dan sebagainya. Selain daripada untuk meningkatkan lagi kualiti hidup ia adalah sebagai satu kaedah mengatasi dan memperbaiki kelemahan, kekurangan dan kecacatan diri.

Seseorang yang sentiasa menilai diri, menginsafi kesalahan dan kekurangan lantas melakukan perubahan yang positif ke arah kebaikan yang dikehendaki agama adalah lebih baik daripada mereka yang ego dan sombong yang tidak pernah mengakui kesilapan diri sendiri.

Menurut perspektif Islam, muhasabah adalah satu jalan untuk menyelamatkan seseorang daripada ditimpa bencana dan kesusahan hidup di dunia demi keselamatan hidup di hari akhirat kelak. Untuk mendapat ganjaran pahala yang besar sewaktu hitungan amalan di mahsyar tidak akan dapat dicapai jika manusia merasakan dirinya sentiasa baik dan tidak berusaha untuk mencapai sesuatu yang lebih baik dalam hidupnya. Maka dengan sebab itu apabila seseorang itu bermuhasabah, akan dapat dirasakan betapa kurang dan lemah dirinya di hadapan Allah malah dia akan sentiasa mengingkatkan amalannya untuk lebih berjaya.

Galakan bermuhasabah dirakamkan oleh Allah S.W.T dalam al-Quran yang bermaksud “wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang akan dilakukan untuk hari esok (akhirat)” (Surah al-Hasyr : 18).

Ayat tersebut menjelaskan bahawa seseorang itu hendaklah sentiasa memikirkan apa yang sepatutnya dilakukan berdasarkan apa yang telah dilaksanakan sebelumnya kerana perancangan yang teliti hasil dari muhasabah akan membuahkan hasil yang lebih baik.

Lantaran itulah Saidina Umar al-Khattab pernah berkata melalui kata-katanya yang masyhur “hisablah (hitunglah) dirimu sebelum engkau dihisab oleh Allah di hari akhirat kelak”.

Jelas menunjukkan bahawa individu muslim yang inginkan kebaikan dalam hidup hendaklah sentiasa menghitung dirinya dari sudut kelemahan yang kekurangan dirinya bukannya menghitung segala kebaikan yang pernah dilakukan. Jika dihitung amalan kebaikan semata-mata sudah pasti tiada keaiban diri yang disedari tetapi jika kecacatan diri sendiri yang diperhati, maka sudah pasti seseorang itu akan berusaha menghilangkan keburukan itu agar diganti dengan kecantikan diri.

Sehubungan dengan itu, cubalah hadirkan dan insafkan diri tentang seribu macam kelemahan dan keaiban yang dimilikinya. Seeloknya ialah dengan menyenaraikan keaiban dirinya sekadar yang mampu. Jika kaedah ini tidak berjaya, cubalah minta pandangan daripada orang lain akan kekurangan diri kita sendiri kerana tidak ramai manusia yang nampak kelemahan dirinya melainkan kecacatan itu dikesan nampak oleh orang lain.

Dalam ilmu tasawuf ada digariskan empat kaedah bagaimana untuk melihat keaiban peribadi sendiri agar lebih mudah muhasabah diri dilakukan :


• Duduk bersama dengan orang alim atau menghadiri majlis yang dihadiri bersama golongan ulama. Ini menyebabkan seseorang itu akan merasakan betapa kerdil dan kurang dirinya berbanding dengan orang alim.

• Meminta kepada sahabat yang diyakini baik dan mulia budi pekerti memberi pandangan ikhlas tentang kecacatan dirinya.

• Mengambil kira pandangan orang lain yang membenci atau memusuhinya yang pernah menyatakan tentang keaiban dirinya. Biasanya orang yang membenci seseorang hanya akan menceritakan keaiban orang yang dibencinya. Maka apabila diterima perkhabaran seumpama itu, buatlah muhasabah ke atas diri mungkin keaiban itu ada benarnya.

• Bercampur gaul dengan orang ramai, apabila nampak kecacatan orang lain, cuba bayangkan bahawa orang lain juga nampak dan melihat kecacatan kita. Lihatlah keaiban orang seolah-olah keaiban itu juga ada pada diri kita.

Hendaknya orang yang mendedahkan kelemahan itu tidak mendedahkan aib orang lain dengan cara yang tidak berhemah, sebaliknya hendaklah melalui pendekatan dakwah yang penuh diplomasi supaya pendedahan itu dapat diterima dengan hati yang terbuka.

Saidina Umar al-Khattab sendiri sebagai Amir al-Mukminun selalu meminta daripada orang ramai supaya menyatakan kekurangan dirinya. Tujuannya ialah untuk diperbaiki kesilapan yang beliau sendiri tidak menyedarinya. Lembaran sirah mencatatkan bahawa saidina Umar pernah ditegur oleh wanita dalam persoalan menghadkan jumlah mahar.

Orang yang ditegur juga perlu berlapang dada jika teguran tersebut dikemukakan. Hendaklah diterima kritikan itu dengan niat untuk memperbaiki diri kerana jika pandangan tersebut ditolak, maka selama-lamanya manusia tidak akan berubah dan tidak mahu menerima kritikan dari orang lain.

Dengan sebab itulah dalam sistem politik dan pentadbiran Islam adanya konsep ‘hisbah’ yang bermaksud mencongak, menyemak dan menilai pencapaian diri dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab pemerintahan dan pentadbiran yang telah diamanahkan.

Beberapa prinsip hisbah dalam bidang siasah syariyyah antara lainnya ialah :

• Mengawal, menyemak dan mengemas kini sistem pemerintahan dan pentadbiran supaya dapat dipertingkatkan tahap kecekapan dan keberkesanan khidmat yang diberikan kepada rakyat.

• Menilai pencapain prestasi dalam pentadbiran dan pengurusan supaya kelemahan, kekurangan dan kesilapan diri dapat diatasi dan dibaiki

• Mengukur kejayaan pemerintahan dan pentadbiran supaya perlaksanaan perancangan menepati kehendak sasaran dan memenuhi matlamat yang diingini.

• Mengesan serta mengenalpasti masalah dan kesulitan yang menyebabkan kegagalan, merancang tindakan dan mengatur strategi bagi mencari penyelesaian untuk mencapai kejayaan.

• Mengetahui kesilapan dan kesalahan diri supaya dapat dilakukan pembetulan dan memastikan permasalahan yang sama tidak akan berulang lagi

• Meninjau pandangan, pendapat dan komen rakyat terhadap sesuatu dasar atau rancangan yang diperkenalkan dan dilaksanakan oleh pemerintah atau pemimpin dalam pemerintahan dan pentadbiran.

• Menyemak perkembangan serta mengikuti perubahan bagi menentukan kejayaan perlaksanaan sesuatu dasar atau perancangan

• Mencegah dan membendung gejala-gejala buruk, amalan yang tidak sihat dan perbuatan salah laku yang dihadapi dalam menerajui pemerintahan dan pentadbiran

Walaupun konsep hisbah ini lebih kepada urusan politik dan pemerintahan, namun ruang lingkup muhasabah tidak harus diperkecilkan kepada bidang itu sahaja malah perlu dikaitkan dalam apa jua bidang pekerjaan dan kepada sesiapa sahaja lebih-lebih lagi sebagai persiapan menuju ke alam akhirat.

Setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah disertakan dengan muhasabah dan tidak sewajarnya berpuas hati begitu sahaja. Apabila muhasabah dijadikan cermin diri, kualiti amal akan dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa yang akhirnya akan membuahkan amalan yang lebih baik.


Read More...

Khamis, 24 Disember 2009

CERAMAH DI HOSPITAL BESAR MELAKA

Pada 19 November 2009, saya dijemput menyampaikan ceramah di Hospital Besar Melaka dengan tajuk “Etika dan Cabaran Pengamal Perubatan”. Asalnya sahabat saya Ustaz Mohd. Zarifi yang sepatutnya menyampaikan ceramah tersebut, namun 3 hari sebelum program, beliau menghubungi saya untuk menggantikan tempatnya.

Tahun ini sahaja, sudah 3 kali saya menyampaikan tajuk yang hampir sama kepada kelompok peserta yang sama cuma berlainan tempa iaitu para doktor dan jururawat…Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dan teratur…

Sempat saya promosi buku…alhamdulillah setakat ini, kalau saya pergi ceramah ke mana-mana…pasti akan dibawa bersama buku keluaran sulung saya tu…dan jarang sekali menghampakan…alhamdulillah terjual sebanyak 56 buah buku. Nak buat macam mana lagi ye…dah la buku tu terbit modal sendiri…penjualan dan promosi pun sendirian berhad jugak la…tapi Alhamdulillah…tiap kali promote masa ceramah…banyak jugak yang terjual.

Satu persoalan sering timbul…dalam banyak siri ceramah yang diadakan, kebanyakan peserta yang datang adalah dari kalangan kaum wanita…ke mana agaknya orang-orang lelaki ni? Bukan sebab saya ceramah di hospital saja…sebelum ini pun semasa ceramah Kursus Induksi KPKT pun ramai kaum wanita…Kursus Warga Pos Malaysia di Melaka pun ramai wanita juga...Cuma bila ke Penjara dan Serenti sahaja setakat ni confirm semua lelaki.












Read More...

Rabu, 23 Disember 2009

HARI KELUARGA PPA 2009

Alhamdulillah awwalul kalam...biasanya tiap kali nak mula entry baru, selalu saya mulakan dengan ungkapan kata “lama dah tak update blog”…kalau dah lama tak masuk cerita baru memang itu la ayat yang biasa digunakan…rasanya akan datang kalau rajin masuk cerita baru pasti dah tak guna ayat tu kot???



7 dan 8 November 2009 peristiwa ini berlaku…gambar berkaitan dah lama letak kat desktop laptop ni…cuma ceritanya yang belum disusun menjadi tulisan yang lengkap. Sebetulnya kisah mengenai Hari Keluarga PPA ni dah lama sepatutnya dipaparkan dalam blog ni…tapi nak buat macam mana ye…sendiri yang tau kenapa.

Sejak saya mula bertugas di PPA Ogos 2006, ini adalah Family Day ke 2…kali pertama pada tahun 2007 semasa Dr Nordin menjadi Penguasa. Tahun lepas kami ada cadang juga untuk buat Family Day tapi dek kekangan masa dan program yang agak padat, perancangan tersebut tidak dapat dijayakan, namun Alhamdulillah, di bawah pimpinan Us Che Alias…tak dapat Family Day pun kami sempat jalan-jalan buat lawatan ke ILDAS di Sabak Bernam. Tahun 2009 ni, kami cadang untuk buat lawatan ke Perak dan Family Day…yang dapat dilaksanakan cuma Hari Keluarga…tahun 2010??? Wallahu a’lam…

Alhamdulillah juga…semua warga PPA hadir dalam program tersebut…ada yang bawa suami…isteri…anak…ibu…adik…kakak…abang ipar…makcik…anak buah…tapi takde yang bawak ayah ye???

Keseluruhannya…kira okey jugak la…happy dan mencapai objektif…walaupun ada beberapa hal yang mungkin ada yang kurang berpuas hati…biasa la tu…tak nak ulas lebih2 la…sekurang-kurangnya jadi pengajaran yang berguna untuk penambahbaikan Family Day tahun-tahun yang mendatang.



















Read More...