Ahad, 7 Februari 2010

ARTIKEL RUANGAN AGAMA BERITA HARIAN

Alhamdulillah...dalam kesibukan tugas dan tanggungjawab di tempat kerja, walau sesibuk mana, akan tetap saya peruntukan masa untuk penulisan. Jumaat lepas 5 Februari 2010, Alhamdulillah, artikel saya disiarkan dalam ruangan Agama Berita Harian, InsyaAllah ada dilampirkan bersama dalam blog ini. Sekarang saya masih dalam proses menyiapkan buku berkaitan pengurusan jenazah bersama seorang sahabat Mohd Hariri yang kini bertugas di USIM. Memang ada kalanya mood untuk menulis sekejap datang sekejap hilang...namun akan saya usahakan juga. Biasanya kalau tak berapa penat, selepas balik dari pejabat, waktu malamlah saya akan on kan laptop untuk menyelesaikan mana-mana penulisan dan menulis tajuk-tajuk baru. Sama juga ketika cuti hujung minggu. Moga Allah permudahkan segala urusan Amin Ya Rabbal Alamin.1 manuskrip dah hantar ke PTS tapi masih belum dapat perkhabaran...harap-harap lulus untuk dicetak. Buku sulung dalam proses ulang cetak. Rabbi Yassir Wa La Tu'assir Ya Karim.

SURUHAN BERLAKU ADIL DALAM SEGALA TINDAKAN
Salah satu daripada akhlak mulia penghias diri Rasulullah S.A.W yang sewajarnya menjadi ikutan ummah ialah adil dalam setiap perlakuan, tindakan dan hukuman. Adil bermaksud meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Justeru apabila seorang majikan mengambil seseorang untuk bekerja di syarikatnya dengan kelayakan akademik yang bersesuaian dengan bidang pekerjaannya juga atas dasar pengalaman sedia ada, maka majikan tersebut telah berlaku adil kepada pekerjanya.

Begitu juga dalam hal menjatuhkan hukuman atas sesuatu kesalahan yang sama, jika seorang guru disiplin bersikap pilih kasih menghukum pelajar biasa dengan hukuman yang berat sedangkan mereka yang berjawatan pengawas sekolah diringankan hukuman, maka ternyata guru tersebut bertindak zalim dan tidak berada di atas neraca keadilan.

Sesungguhnya skop perbincangan mengenai soal adil ini sangat meluas, merangkumi setiap aspek kehidupan manusia, samada yang bernama suami, isteri, anak, kawan, majikan, pekerja, pemimpin, orang bawahan, ibu, bapa dan sebagainya pasti berhadapan dengan persoalan adil dalam melakukan sesuatu perkara.

Hal ini turut disentuh oleh al-Quran dalam banyak ayat dengan contoh dan situasi yang berbeza, semuanya memberi satu gambaran bahawa berlaku adil dalam kehidupan adalah suatu tuntutan.

Berikut ini adalah antara ruang lingkup perbahasan mengenai adil, keadilan, pengadilan menurut kacamata al-Quran :

1. Menulis dengan adil dalam urusan hutang puitang.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud : “wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang puitang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu, dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar)” (Surah al-Baqarah : 282).

2. Keharusan berpoligami jika dapat berlaku adil terhadap para isteri.
Perkahwinan merupakan salah satu tuntutan agama bagi membina sebuah rumahtangga dan asas kepada perkembangan sesebuah masyarakat. Mereka yang mempunyai cukup syarat disunatkan berkahwin dalam memastikan berlakunya kelangsungan generasi manusia untuk masa yang mendatang. Pensyaritan perkahwinan juga sebagai kaedah mencegah daripada perlakuan dosa dan maksiat lantaran tuntutan hawa nafsu manusia yang adakalanya sukar dikawal. Syarak juga membenarkan seorang suami berkahwin lebih dari seorang isteri dengan syarat, lelaki tersebut mampu untuk berlaku adil terhadap semua isteri-isterinya.

Adil dalam konteks ayat keharusan berpoligami ini ialah sekiranya suami mampu untuk adil dari sudut kasih sayang iaitu mengasihi para isteri secara sama rata tanpa membezakan isteri pertama atau kedua, yang tua ataupun isteri yang muda.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : “maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain), dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri) kamu, maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja” (Surah al-Nisa : 3)

3. Ayat al-Quran menegaskan walaupun poligami itu dibenarkan, amat sukar sebenarnya untuk para suami berlaku adil terhadap semua isteri-isterinya.
Hal ini dinyatakan dalam surah yang sama ayat 129 yang bermaksud : “dan kamu tidak akan dapat berlaku di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya), oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau-lampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayang), sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awang-awang), dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” (Surah al-Nisa’ : 129).

4. Suruhan menegakkan keadilan dalam penghukuman.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : “sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil” (Surah al-Nisa : 58).

5. Suruhan menegakkan keadilan dalam penghukuman dan penyaksian.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : “wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan, dan jika kamu memutarbelitkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan” (Surah al-Nisa : 135).

6. Tegakkan keadilan dan kebenaran.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : “wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran, dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa, dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan” (Surah al-Maidah : 8).

Dalam ayat yang lain, Allah S.W.T berfirman maksudnya : “sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat, dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya” (Surah al-Nahl : 90).

7. Adil dalam keterangan, percakapan dan menyempurnakan sukatan serta timbangan.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : “dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri), dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil - Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya – dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu), dan perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat (mematuhinya)” (Surah al-Anaam : 152).

8. Damaikan persengketaan secara adil.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : “dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya, jika salah satu daripadanya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah, jika ia kembali patuh, maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kaum (dalam segala perkara), sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil” (Surah al-Hujurat : 9)

9. Perintah membuat timbangan dengan adil dan tepat dalam berjual beli.

Sebagai seorang peniaga, salah satu sifat mulia ialah tepat dalam timbangan, maka jika ia tidak dilaksanakan, maka ia dianggap satu ketidakadilan dan perbuatan khianat. Dalam hal ini, Allah S.W.T sangat mengalakkan perlakuan adil dalam sukatan, tidak boleh dikurangkan tetapi jika ingin dilebihkan sedikit, itu dianggap sebagai satu amal kebajikan yang baik.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : “dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil, yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik-baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak” (Surah al-Isra’ : 35).

Dalam ayat yang lain, Allah S.W.T berfirman maksudnya : “hendaklah kamu menyempurnakan sukatan cupak - gantang, dan janganlah kamu menjadi golongan yang merugikan orang lain. Dan timbanglah dengan neraca yang betul timbangannya” (Surah al-Syuaraa’ : 181-182).

10. Balasan buruk tidak berlaku adil, walaupun dalam membuat timbangan dan sukatan.

Maka apabila perintah tersebut dilakukan dengan adil dan saksama, maka balasan baik akan diberikan oleh Allah S.W.T, justeru, pastilah bagi mereka yang mengabaikannya, akan dijanjikan pula dengan balasan buruk daripada Allah.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : “kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang -cupak) dari orang lain, mereka mengambilnya dengan cukup. Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi” (Surah al-Mutaffifin : 1-3).

Sebagai kesimpulan, sikap adil perlu ada dalam diri setiap muslim dalam segala hal dan keadaan. Selagi keadilan itu dijunjung dan dipertahankan, selagi itulah neraca kebenaran akan sentiasa berada dalam jiwa orang-orang yang beriman. Sesungguhnya sikap adil ini pasti mampu menjadi ubat kepada pelbagai jenis penyakit yang melanda umat Islam jika ia benar-benar dihayati dan menjadi batu asas dalam setiap gerakan dan tindakan.




0 ulasan: