Rabu, 30 September 2009

1-10 SYAWAL 1430 H

Alhamdulillah...hari ini 11 Syawal 1430...bermaksud suku pertama Syawal telah berlalu...sekadar catatan untuk disimpan dalam memori kehidupan...bayangkan kalau blog ini masih utuh berdiri untuk tempoh 10 tahun akan datang dan boleh jadi masa dah jadi datuk/dato' nanti (moga Allah panjangkan usia hamba)...blog masih menjadi wadah penyimpan dan penyampai maklumat...pasti saat dan detik itu kita terimbau-imbau apa yang pernah kita lalui sepanjang kehidupan kita. Ingat iklan “burung apa?? burung murai...burung apa?? burung murai"...??? Zaman tu mana ada blog...mana ada IT...tak terpikir dek orang nak jadi dan lahir makhluk bernama blog ni...maka inisiatif si ibu mencoretkan kenangan terindah itu dalam sebuah catatan...lantas mampu membangkit nostalgia indah...kasih sayang seorang ayah...anak...dan ARWAH IBUNYA

1. Alhamdulillah...hari ini hari terakhir hamba menjalani ibadah puasa sunat 6 Syawal...esok raye...betullah hari raya ini ibarat satu kemenangan...kalau tak kuat semangat, mana ada orang rajin-rajin nak puasa sunat ni...sebulan Ramadhan cukuplah...tapi itulah harga dan nilai tambah yang Allah nak kurniakan kepada kita hambaNya.

2. 1 Syawal..satu-satunya adik beradik arwah nenek yang masih ada menghembuskan nafasnya di pagi penuh kemuliaan itu. Al-Fatihah untuk uwan acik yang menjangkau usia kehidupan selama 74 tahun. Bayangkan nenek se tua itu masih gagah melangkahkan kaki ke masjid menghidupkan malam tarawih dalam keadaan duduk berseorangan diri...malu kita orang muda banyak alasan...penat balik kerja la...anak buat ragam la...itu...ini...dan sebagainya.

3. Tradisi sejak beberapa tahun lampau...bacaan khutbah di surau Kampung Paya Padang Lalang...guna teks khutbah JAKIM.

4. Surau tersebut terletak di dalam kawasan tanah perkuburan...kata emak "anak beranak omak waghih kito bolah omak sumo mati sok tanam kek situ".Di situlah kubur uwan (omak pado omak : Kiah bt. Omar), atuk (abah pado omak : Abu Samah bin Bidin), Mak Arek (kakak pado omak : Zainab bt. Abu Samah)...sekadar menyebut beberapa nama yang akrab...arwah atuk tak pernah hamba jumpa..kata emak "atuk kau meninggal sobolum kau lahir laie..."Apakah nanti kalau hamba yang meninggal kubur hamba di situ juga???. Nostalgia bersama arwah nenek bagi hamba sebenarnya amat indah...tak perlu cerita di sini kot...cukup untuk diringkaskan, hamba lah yang lebih banyak kali tidur bersama uwan berbanding adik beradik hamba yang lain. Al-Fatihah buat arwah Kiah, Abu Samah dan Zainab...juga Umi Wafi.

5. 2 Syawal...alamak kono selemo la pulak...berlarutan sampai hari ke 6 Syawal...tu yang jadi tahun ni paling sikit pegi ziarah rumah saudara mara kaum kerabat. Hari ke 2 tu ke Rembau bawak Wafi jumpa Uwan Ghombau...mak, abah ikut sekali. Syawal 1429 yang lalu, tanggal 1 Syawal hamba sudah ke sana...banyak rumah sedara mara belah sana yang diziarahi...tapi tahun ni...tak dapat nak ulang Syawal Yang Lalu..

7. 7 Syawal...ke rumah Kak Zai Desa Permai (akak ipar)...ado oghang ngantar cincin untuk dak Suri. Hamba diminta oleh Abang Zul untuk stay sampai majlis habis...dio suruh baco doa..Alhamdulillah...ikatan kami sentiasa dan akan tetap utuh terjalin...walau terkadang rasanya tak semesra dulu...tapi bila dah lama tak jumpa tu...jadi macam akrab sangat. Kalau selalu jumpa tak banyak modal cerita...sekali sekali jumpa...macam-macam modal. Mereka tetap pakcik dan makcik Wafi.

8. On the way nak balik rumah...singgah Panchor rumah Kak Ngah...bagi duit raya untuk anak-anak dia...5 orang...yatim...kesian...kisah Kak Ngah hamba tak berapa tahu sangat...kebetulan jarang jadi topik perbincangan.

9. 9 Syawal...mula kerja semula.

10. Dah habis...

Selamat Hari Raya...Maaf Zahir Batin...Kullu Am Wa Antum Bi Khayr...Minal A'idin Wal Faizin.



Read More...

Ahad, 27 September 2009

PUASA SUNAT 6 SYAWAL

Alhamdulillah...Ramadhan 1430 H telah berlalu dengan seribu kenangan terindah terutama kepada pencinta kebajikan. Kini Syawal menjelma dengan paparan wajah kegembiraan manifestasi kejayaan mengawal nafsu negatif sepanjang Ramadhan. Namun bagi pemburu mardhatillah, ibadah ketundukkan kepada Rabbul Jalil sifatnya bukanlah bermusim malah konsisten sepanjang masa. Atas rasa sifat kasih dan cinta Allah kepada hambaNya, juga bagi menunjukkan sayang hamba kepada Khaliqnya, setiap detik dan masa pasti mendatangkan pahala...itu pun jika difahami dan diketahui menurut perspektif yang tepat berasaskan ajaran wahyu. Lantaran...setiap amalan wajib diperintahkan, pasti diperkemaskan selanjutnya melalui amalan-amalan sunat...justeru itulah hikmah puasa sunat 6 hari dalam bulan Syawal dianjurkan agar dilaksanakan oleh setiap PENCINTA KEBAJIKAN.

KELEBIHAN PUASA SUNAT ENAM HARI BULAN SYAWAL

Kesempurnaan ibadat seseorang Islam bukan sekadar terletak kepada amalan-amalan fardhu yang diwajibkan oleh Allah S.W.T., malah ia turut ditampung oleh amalan-amalan sunat di dalam memperindahkan lagi mutu ibadat yang dilakukan.

Seumpama solat yang menjadi amalan terawal dihisab di Padang Mahsyar kelak, dinilai terlebih dahulu akan solat wajib yang dilakukan, dan jika terdapat kekurangan, ia akan dilihat melalui amalan solat sunat bagi menampung mana-mana kekurangan solat fardhu. Begitu juga amalan berpuasa. Kecantikan puasa wajib Ramadhan jika ditambah dengan puasa-puasa sunat adalah terlebih indah dan baik daripada hanya bergantung kepada puasa Ramadhan semata-mata.

Terdapat banyak jenis puasa-puasa sunat yang boleh dilaksanakan seperti berpuasa sunat hari Isnin dan Khamis, puasa 10 Muharram, puasa tiga hari dalam sebulan dan puasa enam hari di bulan Syawal.

Menjadi kebiasaan kepada orang-orang Islam di Malaysia berpuasa sunat selama enam hari di bulan Syawal selepas mereka menamatkan puasa sebulan Ramadhan kerana meyakini ganjaran dan pahala yang akan dikurniakan oleh Allah S.W.T.

Abu Ayyub al-Ansari ada meriwayatkan satu hadith daripada Rasulallah s.a.w. di dalam menerangkan tentang kelebihan puasa enam Syawal yang maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikutinya puasa enam hari Syawal samalah seperti dia berpuasa sepanjang tahun” ( Dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya, juga dikeluarkan oleh sekalian ramai ulama hadith seperti al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn. Majah ). Imam al-Syafie menjelaskan bahawa hadith ini adalah hadith sahih.

Imam al-Tabrani pula ada mengeluarkan di dalam susunan hadithnya yang turut berkaitan dengan fadhilat puasa enam Syawal maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadhan dan diikuti kemudiannya puasa enam hari dalam bulan Syawal, keluarlah dari dirinya segala dosa seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya”

Terdapat beberapa persoalan tentang perlaksanaan puasa enam Syawal adakah terus langsung dilaksanakan selepas hari raya pertama dan dibuat secara berturut-turut atau boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang Syawal samada secara berturut-turut atau sebaliknya.

Pendapat di dalam mazhab Syafie menyebut bahawa yang terlebih afdhal di dalam perlaksanaannya ialah sejurus selepas hari raya pertama dan dilakukan enam hari berturut-turut.

Ini tidak pula bermakna, jika seseorang itu melaksanakan secara terputus-putus (tidak berturutan) atau dilakukan pada pertengahan atau akhir Syawal dianggap satu kesalahan atau tidak mendapat pahala, malah semuanya diterima Allah dan dikira sebagai satu ibadah juga.

Perlu difahami bahawa yang dimaksudkan dengan puasa sepanjang tahun itu bukan terletak kepada puasa 6 hari Syawal dengan meninggalkan puasa Ramadhan, tetapi kelebihan puasa setahun itu diperolehi setelah dilengkapkan puasa Ramadhan dan disambung dengan puasa Syawal.

Imam al-Nawawi di dalam kitab Syarah Sahih Muslim ada menyebut kewajaran pahala diberikan seumpama puasa setahun kepada mereka yang berpuasa 6 Syawal. Merujuk kepada satu hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud “Setiap satu amalan kebajikan itu digandakan pahalanya sebanyak 10 kali ganda”.

Ini bermakna bahawa puasa sehari dalam bulan Ramadhan samalah seperti puasa sepuluh kali, dan jika sebulan Ramadhan itu gandaan pahalanya seumpama puasa 10 bulan kerana ianya adalah sepuluh kali ganda. Manakala puasa sehari bulan Syawal seumpama 10 kali puasa dan 6 hari menyamai 60 hari iaitu 2 bulan. Maka jika ditambah 10 bulan dengan 2 bulan samalah seperti puasa setahun.

Apakah hukumnya jika seseorang itu berniat untuk qadha puasanya dan dibuat 6 hari dalam Syawal adakah akan mendapat pahala puasa 6 Syawal?

Syeikh al-Marhum Atiyyah Saqar (salah seorang ulama terkenal al-Azhar) di dalam kitab himpunan fatwanya ada menyebut bahawa hukumnya dibolehkan kepada seseorang untuk qadha puasanya dan ditunaikan 6 hari dalam bulan Syawal dengan niat qadha, maka terhasillah baginya pahala qadha dan pahala puasa 6 Syawal. Tetapi yang lebih afdhal ialah diasingkan antara puasa qadha dan puasa 6 Syawal kerana puasa qadha itu hukumnya wajib dan puasa Syawal itu hukumnya sunat, maka adalah lebih baik tidak disatukan niat kerana antara yang sunat dan wajib itu tidak boleh disatukan.

Para ulama mazhab Syafie menyebut bahawa pahala puasa 6 Syawal itu akan terhasil juga apabila seseorang itu melakukan puasa qadha selama 6 hari walaupun niatnya adalah qadha dan bukan niat puasa 6 Syawal, tetapi pahalanyanya untuk puasa 6 Syawal itu kurang sedikit. Ini menurut kata-kata Imam al-Sya’rawi “Jika seseorang itu berpuasa di dalam bulan Syawal sebagai qadha daripada puasa Ramadhan atau puasa nazar atau lain-lain puasa sunat, maka akan diperolehi pahala sunat Syawal itu kerana terlaksananya puasa 6 hari dalam bulan Syawal tetapi kesempurnaan pahala tidak diperolehi sepenuhnnya melainkan jika diniatkan untuk puasa sunat 6 hari bulan Syawal”.

Sebagai kesimpulannya, adalah terlebih baik jika puasa sunat 6 Syawal dibuat berasingan dengan puasa lain samada qadha, nazar, kaffarah ataupun puasa sunat yang lain. Selesaikan dahulu 6 hari puasa qadha dan ditambah kemudiannya dengan niat puasa 6 Syawal. Ini akan lebih menyeragamkan amal ibadat yang dilakukan agar tidak bercampur aduk antara satu sama lain.

Antara hikmat disyariatkan puasa 6 hari bulan Syawal ialah sebagai satu latihan kepada orang-orang Islam bahawa amal ibadat itu bukan terletak pada bulan-bulan tertentu seperti Ramadhan bahkan amalan itu perlu konsisten untuk sepanjang kehidupan manusia.

Ia juga sebagai satu cabaran kepada orang-orang Islam supaya tidak menjadikan Syawal itu bulan bergembira semata-mata dan jika puasa itu dilakukan seawal mungkin di permulaan Syawal, ini akan menjadikan seseorang manusia itu benar-benar ingin menyahut seruan dari Allah untuk terus beribadat secara istiqamah dan berpanjangan.






Read More...

Selasa, 15 September 2009

KHUTBAH EID 1430 H

Alhamdulillah...kepada sesiapa yang ingin mendapatkan teks khutbah eid untuk dibaca pada Edulfitri 1430H yang akan datang, sila KLIK di sini. Teks ini disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).


Read More...

Ahad, 13 September 2009

ANTARA 2 PERASAAN

Alhamdulillah...ketika catatan ini ditulis, Ramadhan hanya berbaki 6 hari sahaja lagi. Ini bermakna, kurang dari 1 minggu sahaja lagi sinar 1 Syawal bakal menjelma dan nur Ramadhan bakal melabuhkan tirainya. Pastinya setiap jiwa manusia muslim ada yang bercampur baur antara perasaan sedih meninggalkan Ramadhan atau gembira dengan pemergiannya...'tepuk dada tanya iman'. Iklan dan lagu raya berkumandang di sini sana menambah lagi dilema adakah Ramadhan yang lebih penting disambut atau Syawal yang lebih mustahak diraikan dengan penuh kemeriahan. Inilah masalahnya apabila ibadat yang dah bercampur aduk dengan adat sehingga sukar untuk dibuat penilaian dari sudut fiqh keutamaannya. Tidak salah bergembira dalam sambutan Syawal tetapi biarlah dengan hiasan dan nilai ibadah yang sebenarnya ada asasnya dari sudut pandangan wahyu.


Aidilfitri adalah anugerah Allah S.W.T kepada orang mukmin yang telah bermujahadah menunaikan ibadat puasa sepanjang Ramadhan. Ia adalah sebagai tanda kemenangan melawan segala tuntutan nafsu yang meruntun jiwa selama sebulan berpuasa.

Nabi Muhammad s.a.w. menyambut Aidilfitri dengan penuh kesyukuran lantaran nikmat yang dikurniakan Allah. Walaupun diriwayatkan bahawa baginda bersedih dengan pemergian Ramadhan, namun Aidilfitri disambut juga dengan suasana ceria dan gembira.

Resam baginda di hari raya ialah dengan memakai pakaian yang terbaik dan yang paling cantik, malah baginda sendiri menyarankan kepada para sahabatnya supaya berpakaian cantik sepertimana yang telah disebut oleh cucu baginda Saidina Hassan “Nabi s.a.w. memerintahkan kami di pagi raya supaya memakai pakaian yang paling baik yang kami miliki dan berwangian dengan wangian yang paling baik yang kami miliki”

Imam Ibn. Qayyim ada menyebut bahawa di hari raya, Nabi s.a.w. memakai pakaiannya yang paling cantik. Baginda mempunyai pakaian khas yang biasanya dipakai di dua hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dan hari Jumaat.

Termasuk di dalam sunnah baginda ialah menjamah sedikit makanan sebelum keluar bersolat sunat hari raya dan makanan pilihan baginda ialah tamar. Saidina Anas bin Malik pernah menyebut “Adalah Nabi s.a.w. tidak akan keluar untuk solat Aidilfitri sehinggalah baginda memakan buah tamar terlebih dahulu dengan bilangan yang ganjil (3 atau 5 atau 7 biji)”

Perbuatan makan di pagi Aidilfitri adalah pernyataan daripada baginda bahawa diharamkan berpuasa pada hari tersebut. Masej daripada bersegera makan dan bersolat sunat eid adalah untuk mengelakkan pemikiran orang-orang Islam daripada memikirkan tentang puasa kerana pada hari tersebut adalah satu perayaan kegembiraan setelah sebulan menahan makan dan minum.

Sesiapa yang berpuasa di hari tersebut dianggap sebagai menolak pelawaan dan pemberian Allah S.W.T kepada hambaNya kerana orang-orang Islam adalah tetamu Allah S.W.T di hari yang penuh kemuliaan itu.

Para ulama Islam telah berijma’ di dalam menyatakan haramnya berpuasa di hari pertama Aidilfitri samada ianya puasa wajib seperti nazar apatah lagi untuk berpuasa sunat ataupun puasa untuk membayar kaffarah. Imam al-Syafie ada menyebut bahawa batal atau tidak dikira puasa jika seseorang itu bernazar untuk berpuasa pada hari tersebut.

Larangan berpuasa pada hari ini disebut secara jelas oleh Rasulullah s.a.w. melalui riwayat daripada Abu Said al-Khudri yang menyatakan bahawa Rasulullah menegah daripada berpuasa di dua hari iaitu di Aidilfitri dan Aidiladha.

Di pagi hari raya sebelum mengerjakan solat sunti Aidilfitri, umat Islam diwajibkan untuk mengeluarkan zakat fitrah. Kelewatan membayarnya akan mengakibatkan ia tidak dikira sebagai zakat dan hanya dianggap sebagai sedekah. Ibn. Abbas ada menyebut maksudnya “Zakat fitrah itu adalah untuk mensucikan orang yang berpuasa daripada lagha (perkara yang tidak berfaedah), perkara keji dan sebagai pemberian makanan kepada orang-orang miskin. Sesiapa yang menunaikannya sebelum solat Aidilfitri, itu adalah zakat yang diterima di sisi Allah dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat, maka ia dianggap sebagai satu sedekah”.

Solat sunat Aidilfitri adalah sunat muakkad yang amat dituntut oleh baginda supaya dilaksanakan oleh orang-orang Islam. Ia disyariatkan oleh Allah pada tahun pertama hijrah. Ia digalakkan kepada pelbagai peringkat umur dan lapisan umat Islam meliputi kaum lelaki, perempuan, kanak-kanak, tua, muda, gadis mahupun janda.

Rasulullah s.a.w. sendiri keluar rumah untuk bersolat eid bersama-sama isteri baginda. Disunatkan juga keluar rumah ke tempat sembahyang melalui jalan lain dan pulang ke rumah dengan jalan lain. Ini telah dinyatakan oleh seorang sahabat bernama Jabir bahawa begitulah keadaan baginda setiap kali pergi dan balik daripada menunaikan solat eid.

Seperkara yang penting untuk dikaitkan dengan Aidilfitri ialah amalan bertakbir. Ia mula dilaungkan selepas jelas terlihatnya anak bulan syawal dan berakhir apabila hendak ditunaikan solat sunat Aidilfitri.

Galakan bertakbir disebut secara jelas di dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud “hendaklah kamu mencukupi bilangan puasa dan bertakbirlah (mengagungkan dan membesarkan) Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada mu, semoga kamu bersyukur”.

Bertakbir dianggap amat penting sebagai satu syiar agama bagi menzahirkan perasaan gembira dan syukur kepada Allah di atas kemenangan melawan hawa nafsu mazmumah sepanjang Ramadhan. Ia juga dianggap sebagai lambang penyatuan umat Islam seluruh dunia kerana laungan takbir tetap sama walau di mana pun seseorang itu berada, semuanya membesarkan Allah. Inilah lambang kekuatan ummah yang ingin dijelmakan melalui falsafah dan roh takbir hari raya.

Sebagai kesimpulan, Aidilfitri adalah manifestasi kegembiraan umat Islam kerana :
• dosa-dosa yang diampunkan selepas menjadi graduan cemerlang madrasah Ramadhan
• dapat membantu golongan yang kurang upaya dan tiada kemampuan seperti anak-anak yatim, fakir, miskin dan yang melarat melalui pemberian zakat dan sedekah
• rahmat dan nikmat pemberian Allah yang melimpah ruah
• berkumpulnya orang-orang Islam yang semuanya saling bersalaman di rumah-rumah ibadat seperti surau, musolla dan masjid sambil bertakbir, bermaafan dan mendengar nasihat melalui khutbah eid yang disampaikan
• takbir yang dilaungkan bergema serentak di seluruh pelusuk kampung, bandar, negeri, negara dan dunia.
• berpeluang mengeratkan tali silaturrahim dengan amalan ziarah menziarahi sesama keluarga, kaum kerabat, sanak saudara dan sahabat handai.



Read More...

Khamis, 10 September 2009

LAILATUL QADR DI HOSPITAL TUANKU JAAFAR

Alhamdulillah..pada 8 September 2009 yang lalu saya telah dijemput menyampaikan ceramah kepada kakitangan Hospital Tuanku Jaafar, Seremban. Saya diberi kebebasan untuk memilih tajuk dan setelah berbincang dengan Penyelaras Program yang juga merupakan sahabat saya Ustazah Azlina, maka rasanya amat sesuai bagi membincangkan tentang Malam al-Qadr berbetulan pada hari tersebut adalah hari ke 18 Ramadhan. Alhamdulillah kehadiran hampir 120 orang itu dapat menerima dengan baik topik perbincangan. 90 peratus peserta adalah dari kalangan wanita...mana pergi kaum Adam??? Mungkin sebab kakitangan hospital pastinya ramai golongan jururawat, pastinya kaum wanita adalah majoriti.
 
Sebenarnya tempoh masa yang diberikan selama 1 jam 30 minit itu tidak memadai untuk membincangkan secara keseluruhan tentang malam al-Qadr kerana apabila membicarakan tentang tajuk itu, ianya tidak boleh terpisah dengan amalan lain di bulan Ramadhan terutama puasa dan bacaan al-Quran. Dengan sebab itu, kepentingan menjaga amalan lain di bulan Ramadhan turut disentuh supaya dapat dihayati sepenuhnya pengisian Ramadhan yang sebenar.

Bersama ini ingin saya kongsikan beberapa fakta (sebahagian sahaja) yang telah saya sampaikan pada ceramah tersebut.

Menurut imam Fakhrurrazi bahwa Allah menyembunyikan malam lailatul qadar dari pengetahuan kita sebagaimana Dia menyembunyikan segala sesuatu yang lain. Dia menyembunyikan keredhaanNya pada setiap ketaatan sehingga timbul dalam diri kita keinginan untuk melakukan semua ketaatan atau ibadat itu. Begitu juga Dia menyembunyikan kemurkaanNya pada setiap perkara maksiat agar kita berhati-hati dan menjauhi segala maksiat dan tidak memilih antara dosa besar dan kecil untuk melakukannya kerana dosa kecil jika terus dilakukan secara berterusan akan menjadi dosa besar jika kita tidak bertaubat dan berusaha meninggalkannya.

Dia menyembunyikan wali-waliNya agar manusia tidak terlalu bergantung kepada mereka dalam berdoa sebaliknya berusaha sendiri dengan penuh keikhlasan dalam berdoa untuk mendapatkan sesuatu daripadaNya kerana Allah menerima segala doa orang yang bersungguh-sungguh dan tidak mudah berputus asa. Dia menyembunyikan masa mustajab doa pada hari Jumaat supaya kita berusaha sepanjang harinya.

Begitulah juga Allah menyembunyikan penerimaan taubat dan amalan yang telah dilakukan supaya kita sentiasa istiqamah dan ikhlas dalam beramal dan sentiasa bersegera dalam bertaubat. Demikianlah juga dengan penyembunyian malam lailatul qadar agar kita membesarkan dan menghidupkan keseluruhan malam Ramadhan dalam mendekatkan diri kepadaNya bukan hanya sekadar menunggu malam lailatu qadar sahaja untuk beribadat dan berdoa.

Tetapi inilah penyakit besar yang menimpa umat Islam yang menyebabkan malam-malam Ramadhan lesu kerana mereka hanya menanti malam yang dianggap malam lailatul qadar sahaja untuk beribadat. Kerana mengejar kelebihan lailatul qadar yang mana kita tidak mengetahui masanya yang tertentu menyebabkan kita terlepas dengan kelebihan Ramadhan itu sendiri yang hanya datang setahun sekali.

3 amalan Nabi s.a.w. dalam membuat persiapan mencari malam al-Qadr :

1. Mandi, berpakaian indah dan berharum-haruman
Diriwayatkan oleh Ibnu Abi `Asim bahawa Huzaifah pernah mengerjakan qiyam Ramadan bersama Rasulullah dan melihat bahawa Baginda mandi pada malam itu. Ibnu Jarir pula berkata bahawa sahabat menyukai mandi pada malam-malam akhir Ramadan.Demikian pula beberapa riwayat daripada sahabat seperti Anas bin Malik dan ulama pada masa Tabi’in menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju indah dan berharum-haruman apabila berada pada akhir Ramadan.

2. Melaksanakan solat sunat, iktikaf dan membaca al-Quran.
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Aishah, bermaksud: “Adalah Rasulullah apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, maka Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan keluarganya dan mengikat pinggangnya.”

Imam Malik dan Imam Syafie berkata: “Siapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah pada malam al-Qadar, dia telah mengambil bahagiannya daripada malam itu.”

Hadith Aishah yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, bermaksud:”Bahawa Rasulullah beriktikaf pada 10 hari akhir sampai Baginda wafat.”
3. Memperbanyak Doa
Aishah diperintahkan oleh Rasulullah untuk memperbanyak doa pada 10 malam terakhir Ramadan.Dalam satu hadis daripada Aishah diriwayatkan at-Tirmizi, Aishah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar.

“Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa’ fu anni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka kepada pengampunan, maka ampunilah aku ini).”



Read More...

Sabtu, 5 September 2009

IHYA' RAMADHAN 2

Alhamdulillah...kami di PPA tetap meneruskan program yang dirancang untuk bulan Ramadhan kali ini. Sebanyak 3 program dirancang untuk dilaksanakan dan Alhamdulillah setakat ini telah berjaya disempurnakan 2 daripadanya. Ihya' Ramadhan 1 telah diadakan pada 25-27 Ogos 2009 untuk pelajar SMK Seri Jempol dan SMK Batu Kikir. Syukran buat Cikgu Asri dan Us. Danial atas bantuan dalam pengendalian program tersebut..tapi sayang...gambar-gambar sekitar program tidak dapat dikongsi bersama pembaca sekalian...ada masalah teknikal sikit.


Ihya' Ramadhan 2 pula dikendalikan untuk golongan sasar yang lebih mencabar...mereka yang pernah masuk Pusat Serenti...tentu anda tahu siapa golongan yang dimaksudkan.




Ya..mereka ialah bekas penagih yang tersalah memilih jalan sehingga menyebabkan mereka jadi begitu. Ini bukanlah kali pertama kami menerima golongan seumpama ini, malah setiap tahun pasti golongan seumpama ini masuk ke tempat kami untuk diberi kursus. Sebelum ini mereka yang terlibat sebagai peserta kursus ialah Pelatih Pra Bebas yang bakal dibebaskan. Hubungan yang baik di antara kami dengan AADK membolehkan kursus diadakan untuk mereka. Sepanjang 3 tahun saya di PPA, antara Pelatih Pra Bebas yang datang berkursus di PPA termasuklah dari Pusat Serenti Dengkil, Pusat Serenti Tampin dan Pusat Serenti Jelebu. Pernah sekali dulu penagih yang masih dalam pengawasan AADK Jempol seramai hampir 40 orang datang berkursus di PPA.

Adakah mampu untuk mengubah pemikiran dan sikap mereka dalam masa 3 hari sedang hidup mereka sebelum ini bergelumang dengan najis dadah untuk tempoh yang sangat lama. Sedang Nabi S.A.W berdakwah 23 tahun untuk mengislamkan penduduk Makkah dan Madinah tetapi kita sendiri pun tahu sejarah hatta kaum kerabat Baginda sendiri ada yang tidak memeluk Islam.

Dalam ucapan penangguhan program saya menekankan kepada mereka bahawa kekuatan iman dan keikhlasan dalam hati sangat penting bagi kelangsungan hidup yang bebas tanpa dadah. Semoga semua peserta seramai 30 orang itu yang datang dari seluruh pelusuk Negeri Sembilan yang telah dikumpulkan oleh pihak AADK Negeri ini diberi petunjuk dan pedoman serta kekuatan untuk mengharungi bahtera hidup yang lebih mencabar...kerana nak berubah jadi baik ni terlalu banyak dugaan dan cabarannya.

Jutaan terima kasih buat Us. Azizul Asri, Us. Subhi dan Us. Ramadhan yang tidak serik-serik berkampung di medan halaman kami membantu dalam pengendalian program tersebut.

Atas faktor keselamatan dan kerahsiaan, gambar peserta program tidak dapat saya tunjukkan sepenuhnya. Bak kata pegawai AADK..."tak boleh ustaz...tayangkan dan tunjukkan gambar di kek mano-mano...ini arahan..." jadi ese pun ikut dan patuh yo lah.



Peserta sedang mengikuti salah satu slot yang disediakan.
Salam Perpisahan yang diadakan selepas tamat Majlis Penangguhan Kursus.





Read More...

Khamis, 3 September 2009

JANGAN KURANGKAN PAHALA PUASA ANDA

Alhamdulillah...Ramadhan yang sedang dilalui kini masuk ke fasa yang ke 2 iaitu "KEAMPUNAN". Isyarat ini menjelaskan bahawa cabaran mengharungi bulan Ramadhan semakin mencabar. Jika tidak masakan jumlah jamaah di masjid dan surau semakin berkurangan, promosi Aidilfitri mula menjengah media massa dan elektronik, sedikit masa lagu dendangan lagu raya moden lebih-lebih lagi klasik akan mula berkumandang di corong radio dan bermacam-macam lagi dugaan pasti akan menguji keimanan para hamba untuk mengecapi jaminan Allah yang disebut "KEAMPUNAN" seperti yang termaktub di dalam Hadith Rasulullah s.a.w...TEPUK DADA TANYA IMAN...

Saya ingin berkongsi satu artikel saya yang tersiar di akhbar Berita harian sedikit masa lalu yang berkisar tentang tajuk menjaga lidah agar tidak mengurangkan pahala puasa..namun dengan sedikit olahan pada tajuk...saya alihkan kepada "JANGAN KURANGKAN PAHALA PUASA ANDA" agar nampak lebih relevan dengan situasi kini yang semakin mencabar kesan dek iklan dan promosi 'menjelang aidilfitri' ini.

JAGALAH LIDAH BAGI MENGELAKKAN DARI KURANG PAHALA PUASA

Ibadat puasa bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum bahkan keseluruhan anggota badan dan pancaindera zahir dan batin dikehendaki turut berpuasa. Kesempurnaan berpuasa hanya akan diperolehi apabila seseorang itu berpuasa dari segi rohani dan jasmani, fizikal dan mental, akal dan minda secara serentak.

Di antara anggota zahir terpenting yang mesti dijaga ialah lidah dan mulut. Ini adalah kerana terdapat banyak hadith Nabi s.a.w. yang menasihatkan agar lidah dan mulut dijaga dan dikawal dengan baik agar tidak terlanjur semasa berkata-kata.

Sabda Baginda s.a.w. sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah maksudnya “ Puasa itu adalah perisai, maka janganlah kamu mencela dan berkata-kata kotor ”.

Berdasarkan hadith ini, Nabi s.a.w. telah menjelaskan bahawa ibadat puasa itu adalah perisai daripada api neraka, dan apabila seseorang itu ingin dirinya terdinding daripada terkena serpihan api neraka, hendaklah dia menjaga lidahnya daripada perbuatan keji mencela, mengumpat, adu domba dan sebagainya semasa sedang berpuasa.

Dosa yang bermula daripada bahana mulut di bulan Ramadhan boleh mengurangkan malah mungkin akan sampai ke tahap membatalkan pahala puasa. Ini merujuk kepada hadith yang dikeluarkan oleh Imam al-Tirmizi, sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah maksudnya “ Sesiapa yang tidak dapat meningalkan daripada berkata-kata sia-sia dan selalu beramal dengannya, maka tiada apa yang diharapkan oleh Allah walaupun ketika itu dia meninggalkan makan dan minumnya ( berpuasa ) ”.

Di dalam kitab Bahr al-Mazi yang menghimpunkan hadith-hadith yang dikeluarkan oleh Imam al-Tirmizi ada disebutkan tentang enam perkara yang boleh menjamin kesempurnaan puasa yang semuanya ini berkait rapat dengan anggota zahir dan batin manusia iaitu :
• memejamkan mata daripada membuat maksiat
• memelihara lidah daripada membuat maksiat
• menjauhkan telinga dari membuat maksiat
• menegahkan tangan dan kaki daripada membuat maksiat
• jangan terlalu banyak makan sewaktu berbuka puasa
• hati yang bergantung kepada Allah antara mengharap dan perasaan takut kepadaNya

Memelihara lidah adalah dengan menjauhi daripada berbohong, mengacum, berkata-kata kasar, memfitnah, berpura-pura, banyak ketawa, mencarut dan berbual-bual kosong. Malah bukan setakat ini sahaja kerana sebarang kerosakan yang berpunca daripada lidah dan mulut hendaklah dielakkan.


Sebagai langkah untuk mengelakkan daripada perlakuan yang tidak berfaedah yang bermula daripada kejahatan lidah ini, Islam telah menyarankan supaya seseorang itu mengambil langkah berdiam diri sahaja dan mengunci mulutnya bagi memastikan dosa lidah iti tidak terjadi. Kawallah lidah dari bercakap yang sia-sia, asal sahaja mahu bertutur, pastikan bahawa ia tidak akan membawa kepada mudharat terutamanya jika ia melibatkan hubungan dengan orang lain.

Orang yang berpuasa bukat sekadar dikehendaki menjaga mulutnya daripada berkata-kata kotor dan lucah serta melampau, malah dia dituntut juga mengawal mulutnya daripada membalas kejahatan mulut orang lain. Nabi s.a.w di dalam pendidikannya mengambil berat persoalan supaya tidak membalas kejahatan dengan kejahatan kerana ia tidak akan menyelesaikan sebarang permasalahan malah akan lebih memburukkan keadaan yang tidak akan ada kesudahannya.

Maksud hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah “ Jika ada orang yang berkata-kata kotor kepadanya, maka katakanla kepada orang itu “bahawasanya aku ini berpuasa”.

Hikmah Rasulullah s.a.w menyarankan demikian adalah untuk mengelakkan dari perkelahian dan perbalahan antara dua pihak saudara seIslam di dalam bulan yang mulia ini bagi menjaga kesucian Ramadhan.

Semoga kecemerlangan puasa yang dimulakan dengan niat suci itu terpelihara mulai dari sahur sehinggalah tiba waktu berbuka malah diteruskan sehingga ke malamnya dan begitulah seterusnya di sepanjang bulan Ramadhan. Jangan pula ia hanya dipraktikkan di bulan puasa sahaja dan hendaklah kesinambungan itu berlaku di sepanjang hayat kehidupan seseorang manusia.

Sehubungan dengan itu, menjadi kewajipan kepada setiap individu muslim menghayati erti sebenar puasa yang disyariatkan oleh Allah dengan mengawal segala perlakuan agar tidak melanggar batasan syariat agar puasa yang diamalkan diterima sempurna di sisi Allah S.W.T.

Read More...

Laman Blog Baru

Assalamualaikum...
 
Sekarang saya dah tukar laman blog yang baru...terima kasih atas lawatan..saje...bukan apa...masih dalam proses belajar...try and error...klik sini klik sana...usik sini usik sana...dapat la mcmana cara buat template 3 column...macamana nak buat 'read more'...nak tambah ini...nak tambah itu...dan sebagainya. Mungkin akan datang dapat ilmu yang baru...ntah-ntah tukar lagi itu dan ini... 



Bagi saya...dalam proses pembelajaran...kita tidak harus berada pada satu tahap sahaja dan menutup pintu untuk berubah kepada suatu yang baru dan lebih baik...malah dalam bidang pemerkasaan fiqh...pintu ijtihad itu sentiasa terbuka dan tidak akan tertutup selagi kita mampu menggunakannya dengan cara yang betul...begitu juga kalau kita punyai kepakaran membuat video menggunakan 'movie maker'...takkan selama-lamanya duk tahap 'movie maker' je...apa kata cuba guna perisian 'sony vegas' yang lebih 'up to date'...haa??? tak pernah dengan pun sony vegas...alhamdulillah...sekarang saya sedang belajar menggunakan aplikasi tersebut...selain dari methodologi dakwah terkini...ia juga untuk menajamkan skill dan mempertingkatkan ilmu berteraskan teknologi.

Read More...