Selasa, 7 Februari 2012

30 NASIHAT AGAMA: BUKU SAYA : 30 NASIHAT AGAMA

30 NASIHAT AGAMA: BUKU SAYA : 30 NASIHAT AGAMA: Alhamdulillah, syukur ke Hadrat Allah S.W.T atas segala kurniaanNya. Tuan-tuan, puan-puan, saudara-saudari...Alhamdulillah, buku 30 Nasiha...

Read More...

Isnin, 2 Januari 2012

Azam Tahun Baru 2012...Menghidupkan dan Meneruskan Blog

Tahun 2012 mula menampakkan diri setelah dinanti dan ditunggu ramai manusia...pelbagai sambutan telah diadakan...ada yang rutin seperti biasa dengan countdown sambil melihat percikan bunga api...ada yang lebih istimewa alternatif dalam bentuk santai ilmiah dan zikir serta laungan Asma al-Husna dan sebagainya. Tidak kurang yang memperbaharui azam atau memahatkan azam baru sebagai target yang ingin dicapai tahun 1012 ini.

Azam saya tahun ini ialah untuk menghidupkan semula blog yang telah sekian lama sunyi sepi...bukan mati tetapi jiwanya lemah kurang bermaya...justeru semoga dengan kedatangan Tahun Baru Hijrah terutamnya dan Tahun Baru Masihi kurang utamanya...saya dapat meneruskan kesinambungan medium ini untuk tujuan kebaikan InsyaAllah.

Read More...

Khamis, 10 Mac 2011

Assalamualaikum

Assalamualaikum wm.wbt,

Alangkah lamanya blog ini tidak di'update' dah bersawang-sawang dan dipenuhi labah-labah. hari ini 10 Mac 2011 (5 Rabiul Akhir 1432) tiba-tiba muncul gerak hati untuk meneruskan perjuangan blog ini...moga diberi kekuatan untuk terus ber'blog'. Peserta yang datang ke PPA pun ramai yang ada blog, alangkah baiknya dapat bertukar-tukar fikiran, berkongsi kisah hidup dan pengalaman agar hidup terus diwarnai dengan warna-warna keceriaan dan kedamaian berteraskan budaya nasihat menasihati sesama mukmin di samping peringatan buat diri dalam perjalanan menuju kehidupan yang abadi.

Wassalam.

Read More...

Isnin, 23 Ogos 2010

BUKU SAYA : 30 NASIHAT AGAMA

Sila layari http://30nasihatagama.blogspot.com/untuk mengetahui kisah sebenar di sebalik tajuk BUKU SAYA : 30 NASIHAT AGAMA.




Read More...

Khamis, 12 Ogos 2010

SEBELUM RAMADHAN 1431 H


Saya nak berkongsi satu kisah sebelum masuknya bulan Ramadhan baru-baru ni iaitu pengalaman saya dan Sahabat Akidah menjalankan aktiviti susulan kursus di Sekolah Menengah Agama Dato’ Haji Tan Ahmad (SMADATA) yang letaknya nun di Simpang Durian, Jelebu. Dari pejabat saya ni memang la tak jauh sangat tapi perjalanan dekat nak sejam jugak la. Orang yang tak pernah sampai Negeri Sembilan atau pernah sampai tapi tak tahu kata mana lokasinya..atau yang tak pernah pun dengar nama Simpang Durian ni pasti tertanya-tanya…kat simpang-simpang jalan tu banyak benor durian kot hehe…Jangan marah ye anak-anak SMADATA…abi gurau yo.

Kami di PPA memang ada buat program susulan selepas tamat sesuatu kursus tapi kena pilih jugak la ke mana nak buat susulan tu…tengok latar belakang peserta, lokasi mereka supaya dapat menjimatkan masa dan kos. Alhamdulillah setakat ni Team Sahabat Akidah telah berjaya melaksanakan 2 porgram susulan iaitu di SK Sikamat, Seremban dan Institut kemahiran Baitulmal, Kuala Lumpur.

Sebenarnya program susulan ini penting sebagai medan bermuhasabah kepada para peserta yang pernah menjalani kursus di PPA. Dalam setiap kursus, pada hari terakhir kami akan edarkan borang Azam dan Janji yang mesti peserta isi apakah yang perubahan yang ingin mereka lakukan dalam hidup selepas tamatnya kursus di PPA, maka program susulan ini diadakan selepas 2 atau 3 bulan tamatnya kursus yang mereka hadiri untuk mengingatkan mereka semula tentang azam dan janji yang pernah mereka titipkan semasa kursus bakal berakhir dan melabuhkan tirainya.

Memang tidak mampu untuk mengukur sejauh mana perubahan itu berjaya, kerana ok atau ko azam serta janji itu hanya boleh dijawab oleh individu itu sendiri, namun usaha untuk memperhangatkan, refresh, menilai semula keazaman itu perlu diadakan. Rasulullah SAW sering meningatkan para sahabat dengan sabdanya جددوا ايمانكم yang maksudnya “perbaharuilah iman kamu”. Dalam hadith lain Nabi juga ada berpesan kepada para sahabatnya اجلس بنا نؤمن ساعة yang mungkin boleh difahami supaya duduk memikirkan sedetik mengenai perihal diri masing-masing. Justeru peringatan dan muhasabah wajar dijadikan budaya dalam hidup setiap individu.

Jika mampu, peringatkan diri sendiri, atau jika tidak mampu, mintalah sahabat yang jujur dan ikhlas memperingatkan diri kita. Sesungguhnya ada beberapa kaedah boleh digunakan sebagai cara untuk menilai diri antaranya :

1. Duduk bersama dengan orang alim atau menghadiri majlis yang dihadiri bersama golongan ulama. Ini menyebabkan seseorang itu akan merasakan betapa kerdil dan kurang dirinya berbanding dengan orang alim.

2. Meminta kepada sahabat yang diyakini baik dan mulia budi pekerti memberi pandangan ikhlas tentang kecatatatan dan kekurangan dirinya.

3. Mengambil kira pandangan orang lain yang membenci atau memusuhinya yang pernah menyatakan tentang keaiban dirinya. Biasanya orang yang membenci seseorang hanya akan menceritakan keaiban orang yang dibencinya. Maka, apabila diterima perkhabaran seumpama itu, buatlah penilaian ke atas diri bahawa keaiban itu mungkin ada benarnya.

4. Bercampur gaul dengan orang ramai, apabila nampak kecacatan dan kekurangan orang lain, cuba bayangkan bahawa orang lain nampak dan melihat kecacatan itu, maka begitu juga orang melihat kepada diri kita. Lihatlah keaiban orang seolah-olah keaiban itu ada pada diri kita.

Program susulan yang kami laksanakan bukan untuk menyatakan bahawa kami ini baik atau dah betul tetapi ia lebih kepada usaha untuk saling mengingati antara sesama mukmin. Dalam konteks SMADATA, anak-anak yang datang kursus di PPA semuanya masih muda remaja, mereka lebih mudah terdedah dengan budaya yang tidak baik yang ada di persekitaran, maka sesungguhnya, memperingatkan yang lupa ini atau mengukuhkan ingatan yang hampir-hampir lupa adalah satu usaha bagi membentuk suasana baik dalam diri.

Alhamdulillah, kami seronok sangat dalam kunjungan yang seketika cuma, walaupun singkat, insyaAllah, ingatannya berpanjangan. Moga ledakan transformasi anjakan paradigma akan sentiasa subur di bumi SMADATA.

• Akhirnya berjumpa juga dengan Puan Pengetua, Ustazah Zamrud yang pernah mendidik saya nun lama dahulu di Maahad Ahmadi tahun 1990-1991, syukran ya ustazah.

Buat anak-anak SMADATA, bersama ini abi attach beberapa keping gambar yang diambil semasa program susulan tu berjalan. Gambar masa kursus bleh tengok dalam CD ye.




Read More...

Sabtu, 7 Ogos 2010

PUASA ANTARA DUA ZAMAN


Artikel ini saya namakan tajuknya “PUASA ANTARA DUA ZAMAN” merujuk kepada sejarah puasa yang turut menjadi amalan nabi dan kaum terdahulu. Umat Islam wajar dan mesti mengetahui serba sedikit sejarah ibadah puasa sebelum ianya diwajibkan kepada kaum muslimin. Puasa bukanlah ibadat baru yang hanya dikhususkan kepada umat Nabi Muhamad semata-mata, malah rutin ini pernah menjadi amalan ramai manusia sebelum perutusan Nabi Muhamad lagi. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud “wahai orang-orang yang beriman, difardhukan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana yang telah difardhukan kepada mereka yang sebelum daripada kamu, agar kamu bertakwa” ( Surah al-Baqarah : 183 ).

Melalui ayat ini jelas menyatakan bahawa ibadat puasa itu bukanlah suatu amalan yang baru bahkan kefardhuannya juga telah difardhukan kepada umat-umat terdahulu dan menjadi rutin ibadat mereka. Ayat ini juga memberi maksud bahawa kewajipan berpuasa adalah untuk melahirkan generasi yang bertakwa kepada Allah S.W.T

Persoalannya di sini, bagaimanakah bentuk dan cara umat terdahulu melakukan ibadat puasa?

Sebelum difardhukan puasa sebulan di bulan Ramadhan, Nabi Muhammad SAW telah pun biasa dengan amalan puasa. Baginda sering berpuasa sebanyak 3 hari setiap bulan iaitu pada 13, 14 dan 15 haribulan dalam kalendar Islam. Amalan berpuasa 10 Muharram turut menjadi amalan orang-orang Quraisy Makkah, orang-orang Yahudi dan Nasrani di Madinah. Amalan berpuasa di hari tersebut terus menjadi amalan Rasululah SAW setelah hijrah baginda ke Madinah sehinggalah turun ayat kefardhuan puasa Ramadhan pada tahun ke 2 hijrah.

Orang-orang Yahudi di Madinah mewarisi amalan puasa ini daripada Nabi Musa yang diriwayatkan telah berpuasa bersama-sama kaumnya setelah mereka diselamatkan oleh Allah daripada buruan Firaun dan bala tenteranya.

Syeikh Muhammad Ali as-Sabuni di dalam kitabnya ‘Tafsir Ayat-Ayat Hukum’ telah menjelaskan bahawa kefadhuan puasa kepada orang-orang Yahudi dan Nasrani juga adalah selama sebulan tetapi mereka sengaja menukar waktu dan bilangan harinya yang sepatutnya dikerjakan selama sebulan itu sehingga menjangkau 50 hari. Ini adalah kerana ahli-ahli kitab kadang-kadang meninda-minda jumlah berpuasa ketika datangnya musim panas atau sejuk. Atas alasan terlalu sejuk dan terlalu panas mereka telah menukarnya supaya puasa itu dilaksanakan pada musim bunga.

Puasa juga telah menjadi ibadat nabi-nabi terdahulu sebelum Nabi Muhammad. Nabi Adam dan Hawa adalah manusia pertama berpuasa untuk membersihkan diri kerana memakan buah khuldi yang menjadi larangan Allah sewaktu mereka di dalam syurga.


Nabi Daud pula telah berpuasa selang sehari dan puasa baginda diibaratkan oleh Allah sebagai puasa yang amat mulia. Perkara ini dinyatakan oleh sendiri oleh Nabi Muhammad SAW melalui sabdanya yang bermaksud “puasa yang amat dikasihi oleh Allah adalah puasa nabi Daud yang berpuasa sehari dan berbuka sehari”.
Nabi lain yang dikatakan turut berpuasa ialah Nabi Daniel, Nabi Musa, Nabi Zakaria, Nabi Isa dan golongan penyokongnya yang dikenali sebagai al-Hawariyun.

Nabi Musa ketika bermunajat kepada Allah di Bukit Tursina selama 40 hari 40 malam, baginda telah berpuasa dari memakan roti dan meminum air. Setelah diselamatkan oleh Allah daripada buruan Firaun dan tenteranya, Nabi Musa juga telah berpuasa bersama-sama kaumnya Bani Israil.

Nabi Isa diriwayatkan pernah berpuasa selama 40 hari manakala di kalangan penyokongnya iaitu al-Hawariyun berpuasa daripada makan daging, ikan, telur dan susu.

Kaifiat atau bagaimana keadaan puasa nabi-nabi dan umat terdahulu, tidaklah dinyatakan secara jelas dan terpeinci baik melalui wahyu Allah ataupun pernyataan daripada Nabi mahupun kenyataan daripada para ulama melalui penulisan mereka. Maklumat yang diketahui adalah seperti yang dinyatakan sebelum ini. Namun bolehlah disimpulkan bahawa keadaan itu adalah lebih diketahui oleh Allah SWT.

Kita sebagai seorang Islam hendaklah meyakini bahawa segala apa yang difardhukan oleh Allah SWT ke atas hamba-hambaNya pasti mengandungi pelbagai rahsia dan hikmat yang tersurat dan tersirat. Semuanya akan diberi pahala yang setimpal di atas kesunguhan seseorang muslim melaksanakan syariat tersebut.

Rahsia Allah SWT menyebut bahawa ibadat puasa itu sebenarnya telah pun difardhukan kepada umat-umat terdahulu adalah berdasarkan kepada beberapa hikmat iaitu :

1. Supaya orang-orang Islam tidak merasa kewajipan puasa itu suatu beban yang memberatkan dan menyusahkan. Kalaulah kaum terdahulu boleh berpuasa, maka sudah pasti ia tidak akan mendatangkan masalah kepada umat Nabi Muhammad SAW. Jika seseorang Islam mengetahui bahawa kaum terdahulu juga turut merasakan kepayahan berpuasa, maka ia akan memberi keinsafan bahawa kesusahan tersebut telah turut dirasai oleh orang-orang lain. Maka tiada alasan kepada orang-orang Islam untuk mencuaikannya.

2. Ia juga adalah sebagai satu cabaran kepada orang-orang Islam supaya meningkatkan keazaman semaksima mungkin untuk menunaikan ibadat itu sebaik-baik mungkin supaya kaum muslimin tidak mengabaikannya. Bukankah orang-orang Islam disifatkan oleh Allah di dalam al-Quran sebagai sebaik-baik ummat. Jika beginilah keadaannya, pastilah kualiti puasa itu menjadi lebih baik dan berkualiti.

3. Ia juga menunjukkan keseragaman atau kesinambungan ibadat Nabi Muhammad dengan nabi sebelumnya. Terdapatnya persamaan dari sudut amalan yang dilakukan untuk menghampirkan diri kepada Allah SWT. Penurunan syariat kepada Nabi Muhammad adalah syumul dan lengkap yang telah menasakhkan atau membatalkan amalan-amalan nabi dan uamt terdahulu.

4. Ia turut menjelaskan kaitan dan hubungan yang amat rapat di antara nabi Muhammad dan nabi-nabi terdahulu dari sudut perutusan mereka sebagai pesuruh Allah. Ia memberi maksud bahawa Nabi Muhammad SAW telah mewarisi syariat nabi terdahulu dan bagindalah yang menyempurnakannya. Nabi SAW sendiri pernah menjelaskan bahawa bandingan baginda dengan nabi terdahulu adalah ibarat batu-bata yang tersusun untuk binaan sebuah rumah, kecuali ditinggalkan satu lagi batu bata untuk melengkapkan binaan rumah tersebut dan baki satu batu bata yang dimaksudkan itu ialah Nabi Muhammad sendiri yang apabila diletakkan batu-bata itu ditempat yang dikosongkan, maka sempurnalah rumah tersebut.


Read More...

Khamis, 29 Julai 2010

RAMADHAN 1 (1431 H)

KEUTAMAAN RAMADHAN KEPADA UMAT NABI MUHAMMAD S.A.W.

Umat Islam di seluruh pelusuk dunia kini sedang berada di ambang Ramadhan yang akan datang menemui insan beriman tidak berapa lama lagi. Resam orang bertakwa pastinya tidak sabar menunggu bulan yang dianggap terbaik dan termulia dari sekelian bulan kerana itulah masa yang paling berharga untuk dipenuhi dengan pelbagai amalan mulia.

Ramadhan adalah bulan yang paling mulia dari sekelian bulan yang dianugerahkan khas oleh Allah S.W.T. kepada umat Islam. Ini adalah kerana terdapat amat banyak kelebihan dan kemuliaan di dalam bulan tersebut yang tidak terdapat pada bulan lain. Lantaran itulah Rasulullah s.a.w. menyebut di dalam sabdanya yang bermaksud "Sekiranya umatku mengetahui kebesaran dan kelebihan Ramadhan, nescaya mereka akan meminta Ramadhan itu setahun penuh ”.

Kelebihan yang diberikan oleh Allah bukan hanya diperolehi apabila masuknya detik 1 Ramadhan, malah sebelum kedatangannya juga telah dijanjikan dengan pahala dan balasan baik dari Allah. Ini bertepatan dengan maksud hadith “Sesiapa yang bergembira dengan kedatangan bulan Ramadhan akan diharamkan dirinya dari simbahan api neraka ”.

Berikut ini akan dinyatakan beberapa keutamaan bulan Ramadhan antaranya ialah :
1. Bulan diwajibkan berpuasa. Satu-satunya bulan yang difardhukan untuk berpuasa ialah Ramadhan. Ia mula diwajibkan pada tahun ke 2 hijrah dan hukumnya akan kekal sehingga hari kiamat sebagai ibadah yang sangat penting untuk menundukkan hawa nafsu mazmumah agar seseorang itu benar-benar mengagungkan Allah S.W.T, mematuhi segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Terdapat banyak kelebihan yang akan dikurniakan oleh Allah kepada mereka yang berpuasa. Abu Hurairah ada meriwayatkan satu hadith daripada Rasulallah s.a.w. yang bermaksud “Puasa itu perisai, maka janganlah kamu mencela dan berkata-kata kotor, jika ada seseorang yang mahu mencelanya, katakanlah kepadanya : sesungguhnya aku ini berpuasa - 2 kali -. Demi diriku yang berada di tanganNya, bahawasanya bau mulut orang yang berpuasa itu adalah lebih wangi di sisi Allah daripada bauan kasturi, dia berpuasa dengan meninggalkan makanan, minuman dan nafsu syahwatnya semata-mata keranaKu. Ibadat puasa itu adalah untukKu dan Akulah yang akan memberi balasan pahala kepadanya, dan setiap satu kebajikan itu akan dilipat gandakan dengan sepuluh kali ganda”. ( Hadith riwayat al-Bukhari ).

Matlamat dari tujuan puasa ialah untuk melahirkan manusia yang benar-benar bertakwa kepada Allah S.W.T dengan syarat puasa yang dilakukan sempurna tanpa ada cacat dan celanya mengikut syarat dan rukun yang telah ditetapkan.

2. Bulan kerahmatan, keampunan dan pembebasan dari api neraka. Ini berdasarkan kepada hadith Nabi yang bermaksud “Awalnya adalah kerahmatan, pertengahannya ialah keampunan dan penghujungnya ialah pembebasan dari api neraka ”. Hadith ini menjelaskan bahawa Ramadhan itu mempunyai 3 peringkat yang jika dilalui dengan baik akan melahirkan manusia yang benar-benar bertakwa kepada Allah S.W.T.

3. Bulan diturunkan al-Quran. Maksud firman Allah S.W.T di dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 185 “Bulan Ramadhan itu adalah bulan diturunkan al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan keterangan-keterangan tentang petunjuk tersebut dan pemisah di antara yang hak dan yang batil ”.

Ayat al-Quran pertama diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad ialah ayat 1-5 surah al-Alaq ketika baginda beruzlah di Gua Hira. Datanglah Malaikat Jibril membawa wahyu dari Allah sebagai isyarat perlantikan baginda sebagai nabi dan rasul. Peristiwa ini berlaku pada 17 Ramadhan.

Sesungguhnya kitab lain yang diturunkan oleh Allah kepada para rasul turut berlaku pada bulan Ramadhan. Suhuf Nabi Ibrahim diturunkan pada malam 1 Ramadhan, Kitab Taurat pada 6 Ramadhan, Kitab Injil pada 13 Ramadhan dan kitab Zabur pada tanggal 12 Ramadhan.

4. Ramadhan adalah bulan kemenangan. Ini merujuk kepada kemenangan tentera Islam di dalam Perang Badar dan penaklukan Kota Makkah yang berlaku pada bulan Ramadhan. Perang Badar adalah peperangan pertama dalam sejarah Islam berlaku pada 17 Ramadhan 2 tahun selepas hijrah baginda ke Madinah. Walaupun kurang dari sudut bilangan tentera dan alat persenjataan, tentera Islam mencapai kemenangan yang kemudiannya telah menguatkan lagi kedudukan orang Islam dan penyebaran agama Islam. Peperangan yang dianggap sebagai penentu jatuh bangun Islam telah dirakamkan oleh Allah di dalam al-Quran surah Ali Imran ayat 123 maksudnya “Sungguh Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar padahal kamu pada ketika itu orang-orang yang lemah”.

Manakala peristiwa Pembukaan Kota Makkah berlaku pada 20 Ramadhan tahun ke 8 hijrah. Ia berlaku disebabkan perbuatan Musyrikin Quraisy yang telah melanggar isi Perjanjian Hudaibiah.

Melihat kepada kedua-dua kemenangan ini dicatatkan berlaku pada bulan Ramadhan. Ia adalah sebagai manifestasi pengabdian diri kepada Allah bahawa puasa bukanlah halangan bagi terhasilnya suatu kemenangan. Para Sahabat Nabi diibaratkan sebagai rahib yang kuat beribadat di waktu malam sedang pada siang harinya seumpama kuda yang ligat dan tangkas pergerakannya.

5. Bulan penghapus doa. Sabda Nabi s.a.w. yang maksudnya “Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat, Ramadhan ke Ramadhan adalah penghapus dosa yang dilakukan antara kedua-dua tempoh tersebut, asal sahaja bukan dosa besar”.

Di dalam satu hadith lain, Nabi s.a.w. telah bersabda yang bermaksud “Sesiapa yang menghidupkan bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu”.

6. Di dalam bulan Ramadhan adanya satu malam yang digambarkan oleh Allah S.W.T sebagai malam yang lebih baik dari seribu bulan. Malam yang dimaksudkan ialah Lailatul Qadar, malam penuh kemuliaan dan ketinggian yang akan diberikan kepada orang beriman yang bermujahadah mencari keredhaan Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud “Pada bulan Ramadhan ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Sesiapa yang diharamkan baginya kebajikan pada malam itu, dia akan diharamkan daripada segala kebajikan”.

Rasulullah s.a.w. telah menyatakan bahawa bahawa malam al-Qadar itu hanya dikhaskan dan diberikan kepada umatnya sahaja dan tidak diberikan sebelumnya kepada kaum dan umat terdahulu. Lantaran itulah baginda menyarankan kepada umatnya supaya menghidupkan 10 malam terakhir Ramadhan kerana Lailatul Qadar dianugerahkan Allah pada salah satu dari malam tersebut. Kesungguhan Rasulullah s.a.w. terhadap malam tersebut menyebabkan baginda beriktikaf di masjidnya di samping memerintahkan sekelian ahli keluarganya supaya berjaga agar dapat memperolehi Lailatul Qadar.

7. Solat Tarawih hanya didirikan pada malam Ramadhan dan tidak pada malam pada bulan selainnya. Tradisi amalan menghidupkan malam Ramadhan dengan solat tarawih bermula sejak zaman Rasulullah dan kekal sehingga ke hari ini. Walaupun terdapat perbezaan dari sudut jumlah rakaatnya, tetapi yang penting ianya dilaksanakan samada secara berjemaah mahupun secara bersendirian.

Di dalam satu hadith, Rasulullah s.a.w. bersabda sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah maksudnya “Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan kerana Allah nescaya akan diampunkan dosanya yang lalu”.

Walaupun hadith ini secara umum menerangkan tentang amal ibadat malam Ramadhan, Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa qiam Ramadhan yang dimaksudkan ialah mengerjakan Solat Tarawih.

Amat bertuahlah kepada umat Nabi Muhammad kerana dianugerahkan dengan bukan Ramadhan yang diibaratkan sebagai bulan terbaik dengan terkandung di dalam bulan tersebut pelbagai kurniaan dan kelebihan.

Sabda Rasululah s.a.w. daripada Abu Hurairah maksudnya “Umatku diberi Allah 5 perkara di bulan Ramadhan yang tidak diberi kepada umat-umat terdahulu :
• bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi
• malaikat akan memohon keampunan kepada Allah untuk orang-orang berpuasa sehingga sampai waktu berbuka
• syaitan dibelenggu sehingga mereka tidak boleh berleluasa seperti biasa
• Allah akan menghiasi syurga setiap hari ( sebagai kurniaan untuk orang yang berpuasa )
• Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka yang berpuasa sehingga akhir bulan Ramadhan.
 
video

Read More...

Isnin, 19 Julai 2010

PPA + BAKA PDRM



Alhamdulillah…Syukur Pada Yang Esa atas segala nikmat pemberianNya. Lama betul blog ni tidak di’update’. Bila dah lama tak menulis ni, rasa macam mati idea pulak apa yang nak dikisahkan dalam entry ni. Nak cerita pasal program PPA yang dikendalikan oleh Sahabat Akidah memang banyak dan berturut-turut setiap minggu…tak tahu pulak yang mana satu nak dipaparkan di sini. Nak cerita pasal Retreat Imam-Imam JAWI memang nampak menarik, tetapi program tu macam dah lama je berlangsung…macam dah tak berapa panas hehe…Lagipun gambar saya bersama peserta pun tak berapa ada sangat…menambah faktor untuk tidak memuatkan cerita berkaitan dengannya. Gambar-gambar Pak Imam tu memang la banyak…tapi ye la…program tu pun dah lama…so cari kisah-kisah yang baru berlaku lah ye.

Pada 29 Jun – 1 Julai, kami di PPA dikunjungi peserta jauh dan dekat, maksud saya jauh tu…nun datangnya dari Kuala Muda, Kedah…malam 28 Jun depa dah sampai dengan 1 bas…yang dekat tu orang-orang sini je…waris-waris nogori walaupun tak semua waghih-waghih den…ado yo asal dari luar tapi kojo kek N9. Peserta yang saya maksudkan ialah kakitangan PDRM yang bertugas di IPD Kuala Muda dan IPD di semua daerah di Negeri Sembilan serta kakitangan IPK Seremban. Ada yang muda, dan ada yang dah beruban…menandakan kematangan usia mereka…ada yang bujang dan ada yang dah bercucu pun.

Alhamdulillah perjalanan kursus lancar tanpa sebarang masalah, walaupun awal-awal agak suspen juga sebab sebahagian peserta lebih berusia dari kami Sahabat Akidah. Bak kata Along…”kan polis-polis ni muka serius je…susah nak senyum,,,kita pulak buat pengisian ada yang happy-happy sikit….nak ke mereka ni senyum dan bagi respon yang baik bila kita kendalikan slot nanti?”. Namun Alhamdulillah…abang-abang dan kakak-kakak polis ni amat sporting…mula-mula je kami cuak…lama-lama ok je.

Sahabat lama saya, Ustaz Fazrul Fahmi dan team fasi dari Total Success Resources telah mengendalikan CASIC dalam Surah al-Fatihah selama sehari suntuk memberi pengisian kepada peserta bagaimana bentuk komunikasi antara manusia dengan Allah, dalam 7 ayat surah berkenaan. CASIC yang mewakili Connect, Acknowledge, Serve, Inquire dan Choice sebenarnya jika dihayati mampu menyelesaikan pelbagai permasalahan manusia jika manusia terus berhubung, mengiktiraf, berkhidmat, memohon dan memilih Allah dan jalanNya sebagai pedoman dalam kehidupan. Terima kasih Us Fazrul dan team.

Majlis Penangguhan telah disempurnakan dengan jayanya oleh Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, SAC Dato; Abdul Manan bin Mhd Hasan yang mewakili Ketua Polis Negeri Sembilan. Hadir bersama dalam majlis ini ialah DSP Shamsiah bt. Yusoff (Ketua BAKA IPK Negeri Sembilan, DSP Stapa bin Yusof, Ketua Polis Daerah Jelebu. Manakala saya duduk atas pentas utama tu mewakili Penguasa yang terpaksa balik kecemasan ke Pulau Pinang. Bukan senang nak dapat peluang duk sebelah Dato’ Timbalan Ketua Polis ni…kalau Dato’ Ketua Polis yang datang lagi aku teruja hehe…

Sesekali ikut protokol PDRM ni bikin suspen jugak la…tapi itulah disiplin…walau ada yang mempertikaikannya…anggaplah itu satu proses pendisiplinan diri…bukan sekadar pada isinya…tetapi penghayatannya.

Terima kasih sahabat-sahabat kami kader JAKIM di IPD Kuala Muda dan IPK Negeri Sembilan yang memberikan kerjasama yang amat baik sepanjang kursus berjalan.

Buat peserta-peserta yang ada membaca tulisan ini…saya mewakili semua Sahabat Akidah merasa amat senang bersama kalian sepanjang 3 hari 2 malam itu. Wassalam.
 

Read More...

Ahad, 11 Julai 2010

BERSUA KEMBALI

Alhamdulillah...syukur ke Hadrat Allah SWT...setelah sekian lama hampir 3 bulan blog ini tidak dikemaskini...kini usaha perkongsian maklumat di arena ini akan diteruskan...sebetulnya ada banyak masalah yang menyebabkan blog ini tidak di'update'. Walaupun selalu juga dibuka dan dijenguk tetapi tiada peluang untuk menitipkan kata-kata...Insyaallah, kini ia akan kembali mengorak langkah meneruskan usaha yang selama ini terbantut seketika. Wassalam.

Read More...

Ahad, 25 April 2010

KURSUS KEFAHAMAN AKIDAH SMK JELAI DAN SENDAYAN

13-15 April 2010, remaja dari Jelai dan Sendayan dapat berkunjung ke PPA bagi menyertai Kursus Kefahaman Akidah yang kami anjurkan. Boleh tahan ramainya peserta lebih 100 orang. Alhamdulillah team Sahabat Akidah sudah bersedia bagi melaksanakan modul yang telah dirancang bersama. Terima kasih buat semua guru pengiring kedua-dua sekolah yang banyak membantu Sahabat Akidah dalam pengendalian kursus ini. Maaf atas segala kelemahan dan kekurangan.

Buat adik-adik Jelai dan Sendayan, anggaplah segala nasihat dan teguran yang kami berikan sepanjang kursus sebagai bekalan yang amat berharga bagi kelangsungan hidup anda sekalian untuk kejayaan yang lebih gemilang di masa hadapan. Selagi akhlak mulia yang anda junjung, InsyaAllah, keluhuran budimu akan tetap terserlah. Selagi ketaatan kepada ibu bapa anda sematkan dalam diri, insyaAllah, redha Allah pasti akan sentiasa menemanimu. Selagi penghormatan buat guru anda realisasikan, insyaAllah, keberkatan ilmu akan sentiasa mendampingimu. Selagi suruhan Allah kalian laksanakan dan laranganNya kalian jauhi, maka pasti syurgaNya bakal kalian perolehi.






































 

Read More...