Khamis, 3 September 2009

JANGAN KURANGKAN PAHALA PUASA ANDA

Alhamdulillah...Ramadhan yang sedang dilalui kini masuk ke fasa yang ke 2 iaitu "KEAMPUNAN". Isyarat ini menjelaskan bahawa cabaran mengharungi bulan Ramadhan semakin mencabar. Jika tidak masakan jumlah jamaah di masjid dan surau semakin berkurangan, promosi Aidilfitri mula menjengah media massa dan elektronik, sedikit masa lagu dendangan lagu raya moden lebih-lebih lagi klasik akan mula berkumandang di corong radio dan bermacam-macam lagi dugaan pasti akan menguji keimanan para hamba untuk mengecapi jaminan Allah yang disebut "KEAMPUNAN" seperti yang termaktub di dalam Hadith Rasulullah s.a.w...TEPUK DADA TANYA IMAN...

Saya ingin berkongsi satu artikel saya yang tersiar di akhbar Berita harian sedikit masa lalu yang berkisar tentang tajuk menjaga lidah agar tidak mengurangkan pahala puasa..namun dengan sedikit olahan pada tajuk...saya alihkan kepada "JANGAN KURANGKAN PAHALA PUASA ANDA" agar nampak lebih relevan dengan situasi kini yang semakin mencabar kesan dek iklan dan promosi 'menjelang aidilfitri' ini.

JAGALAH LIDAH BAGI MENGELAKKAN DARI KURANG PAHALA PUASA

Ibadat puasa bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum bahkan keseluruhan anggota badan dan pancaindera zahir dan batin dikehendaki turut berpuasa. Kesempurnaan berpuasa hanya akan diperolehi apabila seseorang itu berpuasa dari segi rohani dan jasmani, fizikal dan mental, akal dan minda secara serentak.

Di antara anggota zahir terpenting yang mesti dijaga ialah lidah dan mulut. Ini adalah kerana terdapat banyak hadith Nabi s.a.w. yang menasihatkan agar lidah dan mulut dijaga dan dikawal dengan baik agar tidak terlanjur semasa berkata-kata.

Sabda Baginda s.a.w. sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah maksudnya “ Puasa itu adalah perisai, maka janganlah kamu mencela dan berkata-kata kotor ”.

Berdasarkan hadith ini, Nabi s.a.w. telah menjelaskan bahawa ibadat puasa itu adalah perisai daripada api neraka, dan apabila seseorang itu ingin dirinya terdinding daripada terkena serpihan api neraka, hendaklah dia menjaga lidahnya daripada perbuatan keji mencela, mengumpat, adu domba dan sebagainya semasa sedang berpuasa.

Dosa yang bermula daripada bahana mulut di bulan Ramadhan boleh mengurangkan malah mungkin akan sampai ke tahap membatalkan pahala puasa. Ini merujuk kepada hadith yang dikeluarkan oleh Imam al-Tirmizi, sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah maksudnya “ Sesiapa yang tidak dapat meningalkan daripada berkata-kata sia-sia dan selalu beramal dengannya, maka tiada apa yang diharapkan oleh Allah walaupun ketika itu dia meninggalkan makan dan minumnya ( berpuasa ) ”.

Di dalam kitab Bahr al-Mazi yang menghimpunkan hadith-hadith yang dikeluarkan oleh Imam al-Tirmizi ada disebutkan tentang enam perkara yang boleh menjamin kesempurnaan puasa yang semuanya ini berkait rapat dengan anggota zahir dan batin manusia iaitu :
• memejamkan mata daripada membuat maksiat
• memelihara lidah daripada membuat maksiat
• menjauhkan telinga dari membuat maksiat
• menegahkan tangan dan kaki daripada membuat maksiat
• jangan terlalu banyak makan sewaktu berbuka puasa
• hati yang bergantung kepada Allah antara mengharap dan perasaan takut kepadaNya

Memelihara lidah adalah dengan menjauhi daripada berbohong, mengacum, berkata-kata kasar, memfitnah, berpura-pura, banyak ketawa, mencarut dan berbual-bual kosong. Malah bukan setakat ini sahaja kerana sebarang kerosakan yang berpunca daripada lidah dan mulut hendaklah dielakkan.


Sebagai langkah untuk mengelakkan daripada perlakuan yang tidak berfaedah yang bermula daripada kejahatan lidah ini, Islam telah menyarankan supaya seseorang itu mengambil langkah berdiam diri sahaja dan mengunci mulutnya bagi memastikan dosa lidah iti tidak terjadi. Kawallah lidah dari bercakap yang sia-sia, asal sahaja mahu bertutur, pastikan bahawa ia tidak akan membawa kepada mudharat terutamanya jika ia melibatkan hubungan dengan orang lain.

Orang yang berpuasa bukat sekadar dikehendaki menjaga mulutnya daripada berkata-kata kotor dan lucah serta melampau, malah dia dituntut juga mengawal mulutnya daripada membalas kejahatan mulut orang lain. Nabi s.a.w di dalam pendidikannya mengambil berat persoalan supaya tidak membalas kejahatan dengan kejahatan kerana ia tidak akan menyelesaikan sebarang permasalahan malah akan lebih memburukkan keadaan yang tidak akan ada kesudahannya.

Maksud hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah “ Jika ada orang yang berkata-kata kotor kepadanya, maka katakanla kepada orang itu “bahawasanya aku ini berpuasa”.

Hikmah Rasulullah s.a.w menyarankan demikian adalah untuk mengelakkan dari perkelahian dan perbalahan antara dua pihak saudara seIslam di dalam bulan yang mulia ini bagi menjaga kesucian Ramadhan.

Semoga kecemerlangan puasa yang dimulakan dengan niat suci itu terpelihara mulai dari sahur sehinggalah tiba waktu berbuka malah diteruskan sehingga ke malamnya dan begitulah seterusnya di sepanjang bulan Ramadhan. Jangan pula ia hanya dipraktikkan di bulan puasa sahaja dan hendaklah kesinambungan itu berlaku di sepanjang hayat kehidupan seseorang manusia.

Sehubungan dengan itu, menjadi kewajipan kepada setiap individu muslim menghayati erti sebenar puasa yang disyariatkan oleh Allah dengan mengawal segala perlakuan agar tidak melanggar batasan syariat agar puasa yang diamalkan diterima sempurna di sisi Allah S.W.T.

0 ulasan: