Khamis, 10 September 2009

LAILATUL QADR DI HOSPITAL TUANKU JAAFAR

Alhamdulillah..pada 8 September 2009 yang lalu saya telah dijemput menyampaikan ceramah kepada kakitangan Hospital Tuanku Jaafar, Seremban. Saya diberi kebebasan untuk memilih tajuk dan setelah berbincang dengan Penyelaras Program yang juga merupakan sahabat saya Ustazah Azlina, maka rasanya amat sesuai bagi membincangkan tentang Malam al-Qadr berbetulan pada hari tersebut adalah hari ke 18 Ramadhan. Alhamdulillah kehadiran hampir 120 orang itu dapat menerima dengan baik topik perbincangan. 90 peratus peserta adalah dari kalangan wanita...mana pergi kaum Adam??? Mungkin sebab kakitangan hospital pastinya ramai golongan jururawat, pastinya kaum wanita adalah majoriti.
 
Sebenarnya tempoh masa yang diberikan selama 1 jam 30 minit itu tidak memadai untuk membincangkan secara keseluruhan tentang malam al-Qadr kerana apabila membicarakan tentang tajuk itu, ianya tidak boleh terpisah dengan amalan lain di bulan Ramadhan terutama puasa dan bacaan al-Quran. Dengan sebab itu, kepentingan menjaga amalan lain di bulan Ramadhan turut disentuh supaya dapat dihayati sepenuhnya pengisian Ramadhan yang sebenar.

Bersama ini ingin saya kongsikan beberapa fakta (sebahagian sahaja) yang telah saya sampaikan pada ceramah tersebut.

Menurut imam Fakhrurrazi bahwa Allah menyembunyikan malam lailatul qadar dari pengetahuan kita sebagaimana Dia menyembunyikan segala sesuatu yang lain. Dia menyembunyikan keredhaanNya pada setiap ketaatan sehingga timbul dalam diri kita keinginan untuk melakukan semua ketaatan atau ibadat itu. Begitu juga Dia menyembunyikan kemurkaanNya pada setiap perkara maksiat agar kita berhati-hati dan menjauhi segala maksiat dan tidak memilih antara dosa besar dan kecil untuk melakukannya kerana dosa kecil jika terus dilakukan secara berterusan akan menjadi dosa besar jika kita tidak bertaubat dan berusaha meninggalkannya.

Dia menyembunyikan wali-waliNya agar manusia tidak terlalu bergantung kepada mereka dalam berdoa sebaliknya berusaha sendiri dengan penuh keikhlasan dalam berdoa untuk mendapatkan sesuatu daripadaNya kerana Allah menerima segala doa orang yang bersungguh-sungguh dan tidak mudah berputus asa. Dia menyembunyikan masa mustajab doa pada hari Jumaat supaya kita berusaha sepanjang harinya.

Begitulah juga Allah menyembunyikan penerimaan taubat dan amalan yang telah dilakukan supaya kita sentiasa istiqamah dan ikhlas dalam beramal dan sentiasa bersegera dalam bertaubat. Demikianlah juga dengan penyembunyian malam lailatul qadar agar kita membesarkan dan menghidupkan keseluruhan malam Ramadhan dalam mendekatkan diri kepadaNya bukan hanya sekadar menunggu malam lailatu qadar sahaja untuk beribadat dan berdoa.

Tetapi inilah penyakit besar yang menimpa umat Islam yang menyebabkan malam-malam Ramadhan lesu kerana mereka hanya menanti malam yang dianggap malam lailatul qadar sahaja untuk beribadat. Kerana mengejar kelebihan lailatul qadar yang mana kita tidak mengetahui masanya yang tertentu menyebabkan kita terlepas dengan kelebihan Ramadhan itu sendiri yang hanya datang setahun sekali.

3 amalan Nabi s.a.w. dalam membuat persiapan mencari malam al-Qadr :

1. Mandi, berpakaian indah dan berharum-haruman
Diriwayatkan oleh Ibnu Abi `Asim bahawa Huzaifah pernah mengerjakan qiyam Ramadan bersama Rasulullah dan melihat bahawa Baginda mandi pada malam itu. Ibnu Jarir pula berkata bahawa sahabat menyukai mandi pada malam-malam akhir Ramadan.Demikian pula beberapa riwayat daripada sahabat seperti Anas bin Malik dan ulama pada masa Tabi’in menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju indah dan berharum-haruman apabila berada pada akhir Ramadan.

2. Melaksanakan solat sunat, iktikaf dan membaca al-Quran.
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Aishah, bermaksud: “Adalah Rasulullah apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, maka Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan keluarganya dan mengikat pinggangnya.”

Imam Malik dan Imam Syafie berkata: “Siapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah pada malam al-Qadar, dia telah mengambil bahagiannya daripada malam itu.”

Hadith Aishah yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, bermaksud:”Bahawa Rasulullah beriktikaf pada 10 hari akhir sampai Baginda wafat.”
3. Memperbanyak Doa
Aishah diperintahkan oleh Rasulullah untuk memperbanyak doa pada 10 malam terakhir Ramadan.Dalam satu hadis daripada Aishah diriwayatkan at-Tirmizi, Aishah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar.

“Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa’ fu anni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka kepada pengampunan, maka ampunilah aku ini).”



0 ulasan: