Ahad, 13 September 2009

ANTARA 2 PERASAAN

Alhamdulillah...ketika catatan ini ditulis, Ramadhan hanya berbaki 6 hari sahaja lagi. Ini bermakna, kurang dari 1 minggu sahaja lagi sinar 1 Syawal bakal menjelma dan nur Ramadhan bakal melabuhkan tirainya. Pastinya setiap jiwa manusia muslim ada yang bercampur baur antara perasaan sedih meninggalkan Ramadhan atau gembira dengan pemergiannya...'tepuk dada tanya iman'. Iklan dan lagu raya berkumandang di sini sana menambah lagi dilema adakah Ramadhan yang lebih penting disambut atau Syawal yang lebih mustahak diraikan dengan penuh kemeriahan. Inilah masalahnya apabila ibadat yang dah bercampur aduk dengan adat sehingga sukar untuk dibuat penilaian dari sudut fiqh keutamaannya. Tidak salah bergembira dalam sambutan Syawal tetapi biarlah dengan hiasan dan nilai ibadah yang sebenarnya ada asasnya dari sudut pandangan wahyu.


Aidilfitri adalah anugerah Allah S.W.T kepada orang mukmin yang telah bermujahadah menunaikan ibadat puasa sepanjang Ramadhan. Ia adalah sebagai tanda kemenangan melawan segala tuntutan nafsu yang meruntun jiwa selama sebulan berpuasa.

Nabi Muhammad s.a.w. menyambut Aidilfitri dengan penuh kesyukuran lantaran nikmat yang dikurniakan Allah. Walaupun diriwayatkan bahawa baginda bersedih dengan pemergian Ramadhan, namun Aidilfitri disambut juga dengan suasana ceria dan gembira.

Resam baginda di hari raya ialah dengan memakai pakaian yang terbaik dan yang paling cantik, malah baginda sendiri menyarankan kepada para sahabatnya supaya berpakaian cantik sepertimana yang telah disebut oleh cucu baginda Saidina Hassan “Nabi s.a.w. memerintahkan kami di pagi raya supaya memakai pakaian yang paling baik yang kami miliki dan berwangian dengan wangian yang paling baik yang kami miliki”

Imam Ibn. Qayyim ada menyebut bahawa di hari raya, Nabi s.a.w. memakai pakaiannya yang paling cantik. Baginda mempunyai pakaian khas yang biasanya dipakai di dua hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dan hari Jumaat.

Termasuk di dalam sunnah baginda ialah menjamah sedikit makanan sebelum keluar bersolat sunat hari raya dan makanan pilihan baginda ialah tamar. Saidina Anas bin Malik pernah menyebut “Adalah Nabi s.a.w. tidak akan keluar untuk solat Aidilfitri sehinggalah baginda memakan buah tamar terlebih dahulu dengan bilangan yang ganjil (3 atau 5 atau 7 biji)”

Perbuatan makan di pagi Aidilfitri adalah pernyataan daripada baginda bahawa diharamkan berpuasa pada hari tersebut. Masej daripada bersegera makan dan bersolat sunat eid adalah untuk mengelakkan pemikiran orang-orang Islam daripada memikirkan tentang puasa kerana pada hari tersebut adalah satu perayaan kegembiraan setelah sebulan menahan makan dan minum.

Sesiapa yang berpuasa di hari tersebut dianggap sebagai menolak pelawaan dan pemberian Allah S.W.T kepada hambaNya kerana orang-orang Islam adalah tetamu Allah S.W.T di hari yang penuh kemuliaan itu.

Para ulama Islam telah berijma’ di dalam menyatakan haramnya berpuasa di hari pertama Aidilfitri samada ianya puasa wajib seperti nazar apatah lagi untuk berpuasa sunat ataupun puasa untuk membayar kaffarah. Imam al-Syafie ada menyebut bahawa batal atau tidak dikira puasa jika seseorang itu bernazar untuk berpuasa pada hari tersebut.

Larangan berpuasa pada hari ini disebut secara jelas oleh Rasulullah s.a.w. melalui riwayat daripada Abu Said al-Khudri yang menyatakan bahawa Rasulullah menegah daripada berpuasa di dua hari iaitu di Aidilfitri dan Aidiladha.

Di pagi hari raya sebelum mengerjakan solat sunti Aidilfitri, umat Islam diwajibkan untuk mengeluarkan zakat fitrah. Kelewatan membayarnya akan mengakibatkan ia tidak dikira sebagai zakat dan hanya dianggap sebagai sedekah. Ibn. Abbas ada menyebut maksudnya “Zakat fitrah itu adalah untuk mensucikan orang yang berpuasa daripada lagha (perkara yang tidak berfaedah), perkara keji dan sebagai pemberian makanan kepada orang-orang miskin. Sesiapa yang menunaikannya sebelum solat Aidilfitri, itu adalah zakat yang diterima di sisi Allah dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat, maka ia dianggap sebagai satu sedekah”.

Solat sunat Aidilfitri adalah sunat muakkad yang amat dituntut oleh baginda supaya dilaksanakan oleh orang-orang Islam. Ia disyariatkan oleh Allah pada tahun pertama hijrah. Ia digalakkan kepada pelbagai peringkat umur dan lapisan umat Islam meliputi kaum lelaki, perempuan, kanak-kanak, tua, muda, gadis mahupun janda.

Rasulullah s.a.w. sendiri keluar rumah untuk bersolat eid bersama-sama isteri baginda. Disunatkan juga keluar rumah ke tempat sembahyang melalui jalan lain dan pulang ke rumah dengan jalan lain. Ini telah dinyatakan oleh seorang sahabat bernama Jabir bahawa begitulah keadaan baginda setiap kali pergi dan balik daripada menunaikan solat eid.

Seperkara yang penting untuk dikaitkan dengan Aidilfitri ialah amalan bertakbir. Ia mula dilaungkan selepas jelas terlihatnya anak bulan syawal dan berakhir apabila hendak ditunaikan solat sunat Aidilfitri.

Galakan bertakbir disebut secara jelas di dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud “hendaklah kamu mencukupi bilangan puasa dan bertakbirlah (mengagungkan dan membesarkan) Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada mu, semoga kamu bersyukur”.

Bertakbir dianggap amat penting sebagai satu syiar agama bagi menzahirkan perasaan gembira dan syukur kepada Allah di atas kemenangan melawan hawa nafsu mazmumah sepanjang Ramadhan. Ia juga dianggap sebagai lambang penyatuan umat Islam seluruh dunia kerana laungan takbir tetap sama walau di mana pun seseorang itu berada, semuanya membesarkan Allah. Inilah lambang kekuatan ummah yang ingin dijelmakan melalui falsafah dan roh takbir hari raya.

Sebagai kesimpulan, Aidilfitri adalah manifestasi kegembiraan umat Islam kerana :
• dosa-dosa yang diampunkan selepas menjadi graduan cemerlang madrasah Ramadhan
• dapat membantu golongan yang kurang upaya dan tiada kemampuan seperti anak-anak yatim, fakir, miskin dan yang melarat melalui pemberian zakat dan sedekah
• rahmat dan nikmat pemberian Allah yang melimpah ruah
• berkumpulnya orang-orang Islam yang semuanya saling bersalaman di rumah-rumah ibadat seperti surau, musolla dan masjid sambil bertakbir, bermaafan dan mendengar nasihat melalui khutbah eid yang disampaikan
• takbir yang dilaungkan bergema serentak di seluruh pelusuk kampung, bandar, negeri, negara dan dunia.
• berpeluang mengeratkan tali silaturrahim dengan amalan ziarah menziarahi sesama keluarga, kaum kerabat, sanak saudara dan sahabat handai.



0 ulasan: