Khamis, 29 Julai 2010

RAMADHAN 1 (1431 H)

KEUTAMAAN RAMADHAN KEPADA UMAT NABI MUHAMMAD S.A.W.

Umat Islam di seluruh pelusuk dunia kini sedang berada di ambang Ramadhan yang akan datang menemui insan beriman tidak berapa lama lagi. Resam orang bertakwa pastinya tidak sabar menunggu bulan yang dianggap terbaik dan termulia dari sekelian bulan kerana itulah masa yang paling berharga untuk dipenuhi dengan pelbagai amalan mulia.

Ramadhan adalah bulan yang paling mulia dari sekelian bulan yang dianugerahkan khas oleh Allah S.W.T. kepada umat Islam. Ini adalah kerana terdapat amat banyak kelebihan dan kemuliaan di dalam bulan tersebut yang tidak terdapat pada bulan lain. Lantaran itulah Rasulullah s.a.w. menyebut di dalam sabdanya yang bermaksud "Sekiranya umatku mengetahui kebesaran dan kelebihan Ramadhan, nescaya mereka akan meminta Ramadhan itu setahun penuh ”.

Kelebihan yang diberikan oleh Allah bukan hanya diperolehi apabila masuknya detik 1 Ramadhan, malah sebelum kedatangannya juga telah dijanjikan dengan pahala dan balasan baik dari Allah. Ini bertepatan dengan maksud hadith “Sesiapa yang bergembira dengan kedatangan bulan Ramadhan akan diharamkan dirinya dari simbahan api neraka ”.

Berikut ini akan dinyatakan beberapa keutamaan bulan Ramadhan antaranya ialah :
1. Bulan diwajibkan berpuasa. Satu-satunya bulan yang difardhukan untuk berpuasa ialah Ramadhan. Ia mula diwajibkan pada tahun ke 2 hijrah dan hukumnya akan kekal sehingga hari kiamat sebagai ibadah yang sangat penting untuk menundukkan hawa nafsu mazmumah agar seseorang itu benar-benar mengagungkan Allah S.W.T, mematuhi segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Terdapat banyak kelebihan yang akan dikurniakan oleh Allah kepada mereka yang berpuasa. Abu Hurairah ada meriwayatkan satu hadith daripada Rasulallah s.a.w. yang bermaksud “Puasa itu perisai, maka janganlah kamu mencela dan berkata-kata kotor, jika ada seseorang yang mahu mencelanya, katakanlah kepadanya : sesungguhnya aku ini berpuasa - 2 kali -. Demi diriku yang berada di tanganNya, bahawasanya bau mulut orang yang berpuasa itu adalah lebih wangi di sisi Allah daripada bauan kasturi, dia berpuasa dengan meninggalkan makanan, minuman dan nafsu syahwatnya semata-mata keranaKu. Ibadat puasa itu adalah untukKu dan Akulah yang akan memberi balasan pahala kepadanya, dan setiap satu kebajikan itu akan dilipat gandakan dengan sepuluh kali ganda”. ( Hadith riwayat al-Bukhari ).

Matlamat dari tujuan puasa ialah untuk melahirkan manusia yang benar-benar bertakwa kepada Allah S.W.T dengan syarat puasa yang dilakukan sempurna tanpa ada cacat dan celanya mengikut syarat dan rukun yang telah ditetapkan.

2. Bulan kerahmatan, keampunan dan pembebasan dari api neraka. Ini berdasarkan kepada hadith Nabi yang bermaksud “Awalnya adalah kerahmatan, pertengahannya ialah keampunan dan penghujungnya ialah pembebasan dari api neraka ”. Hadith ini menjelaskan bahawa Ramadhan itu mempunyai 3 peringkat yang jika dilalui dengan baik akan melahirkan manusia yang benar-benar bertakwa kepada Allah S.W.T.

3. Bulan diturunkan al-Quran. Maksud firman Allah S.W.T di dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 185 “Bulan Ramadhan itu adalah bulan diturunkan al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan keterangan-keterangan tentang petunjuk tersebut dan pemisah di antara yang hak dan yang batil ”.

Ayat al-Quran pertama diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad ialah ayat 1-5 surah al-Alaq ketika baginda beruzlah di Gua Hira. Datanglah Malaikat Jibril membawa wahyu dari Allah sebagai isyarat perlantikan baginda sebagai nabi dan rasul. Peristiwa ini berlaku pada 17 Ramadhan.

Sesungguhnya kitab lain yang diturunkan oleh Allah kepada para rasul turut berlaku pada bulan Ramadhan. Suhuf Nabi Ibrahim diturunkan pada malam 1 Ramadhan, Kitab Taurat pada 6 Ramadhan, Kitab Injil pada 13 Ramadhan dan kitab Zabur pada tanggal 12 Ramadhan.

4. Ramadhan adalah bulan kemenangan. Ini merujuk kepada kemenangan tentera Islam di dalam Perang Badar dan penaklukan Kota Makkah yang berlaku pada bulan Ramadhan. Perang Badar adalah peperangan pertama dalam sejarah Islam berlaku pada 17 Ramadhan 2 tahun selepas hijrah baginda ke Madinah. Walaupun kurang dari sudut bilangan tentera dan alat persenjataan, tentera Islam mencapai kemenangan yang kemudiannya telah menguatkan lagi kedudukan orang Islam dan penyebaran agama Islam. Peperangan yang dianggap sebagai penentu jatuh bangun Islam telah dirakamkan oleh Allah di dalam al-Quran surah Ali Imran ayat 123 maksudnya “Sungguh Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar padahal kamu pada ketika itu orang-orang yang lemah”.

Manakala peristiwa Pembukaan Kota Makkah berlaku pada 20 Ramadhan tahun ke 8 hijrah. Ia berlaku disebabkan perbuatan Musyrikin Quraisy yang telah melanggar isi Perjanjian Hudaibiah.

Melihat kepada kedua-dua kemenangan ini dicatatkan berlaku pada bulan Ramadhan. Ia adalah sebagai manifestasi pengabdian diri kepada Allah bahawa puasa bukanlah halangan bagi terhasilnya suatu kemenangan. Para Sahabat Nabi diibaratkan sebagai rahib yang kuat beribadat di waktu malam sedang pada siang harinya seumpama kuda yang ligat dan tangkas pergerakannya.

5. Bulan penghapus doa. Sabda Nabi s.a.w. yang maksudnya “Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat, Ramadhan ke Ramadhan adalah penghapus dosa yang dilakukan antara kedua-dua tempoh tersebut, asal sahaja bukan dosa besar”.

Di dalam satu hadith lain, Nabi s.a.w. telah bersabda yang bermaksud “Sesiapa yang menghidupkan bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu”.

6. Di dalam bulan Ramadhan adanya satu malam yang digambarkan oleh Allah S.W.T sebagai malam yang lebih baik dari seribu bulan. Malam yang dimaksudkan ialah Lailatul Qadar, malam penuh kemuliaan dan ketinggian yang akan diberikan kepada orang beriman yang bermujahadah mencari keredhaan Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud “Pada bulan Ramadhan ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Sesiapa yang diharamkan baginya kebajikan pada malam itu, dia akan diharamkan daripada segala kebajikan”.

Rasulullah s.a.w. telah menyatakan bahawa bahawa malam al-Qadar itu hanya dikhaskan dan diberikan kepada umatnya sahaja dan tidak diberikan sebelumnya kepada kaum dan umat terdahulu. Lantaran itulah baginda menyarankan kepada umatnya supaya menghidupkan 10 malam terakhir Ramadhan kerana Lailatul Qadar dianugerahkan Allah pada salah satu dari malam tersebut. Kesungguhan Rasulullah s.a.w. terhadap malam tersebut menyebabkan baginda beriktikaf di masjidnya di samping memerintahkan sekelian ahli keluarganya supaya berjaga agar dapat memperolehi Lailatul Qadar.

7. Solat Tarawih hanya didirikan pada malam Ramadhan dan tidak pada malam pada bulan selainnya. Tradisi amalan menghidupkan malam Ramadhan dengan solat tarawih bermula sejak zaman Rasulullah dan kekal sehingga ke hari ini. Walaupun terdapat perbezaan dari sudut jumlah rakaatnya, tetapi yang penting ianya dilaksanakan samada secara berjemaah mahupun secara bersendirian.

Di dalam satu hadith, Rasulullah s.a.w. bersabda sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah maksudnya “Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan kerana Allah nescaya akan diampunkan dosanya yang lalu”.

Walaupun hadith ini secara umum menerangkan tentang amal ibadat malam Ramadhan, Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa qiam Ramadhan yang dimaksudkan ialah mengerjakan Solat Tarawih.

Amat bertuahlah kepada umat Nabi Muhammad kerana dianugerahkan dengan bukan Ramadhan yang diibaratkan sebagai bulan terbaik dengan terkandung di dalam bulan tersebut pelbagai kurniaan dan kelebihan.

Sabda Rasululah s.a.w. daripada Abu Hurairah maksudnya “Umatku diberi Allah 5 perkara di bulan Ramadhan yang tidak diberi kepada umat-umat terdahulu :
• bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi
• malaikat akan memohon keampunan kepada Allah untuk orang-orang berpuasa sehingga sampai waktu berbuka
• syaitan dibelenggu sehingga mereka tidak boleh berleluasa seperti biasa
• Allah akan menghiasi syurga setiap hari ( sebagai kurniaan untuk orang yang berpuasa )
• Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka yang berpuasa sehingga akhir bulan Ramadhan.
 

0 ulasan: