Khamis, 12 Ogos 2010

SEBELUM RAMADHAN 1431 H


Saya nak berkongsi satu kisah sebelum masuknya bulan Ramadhan baru-baru ni iaitu pengalaman saya dan Sahabat Akidah menjalankan aktiviti susulan kursus di Sekolah Menengah Agama Dato’ Haji Tan Ahmad (SMADATA) yang letaknya nun di Simpang Durian, Jelebu. Dari pejabat saya ni memang la tak jauh sangat tapi perjalanan dekat nak sejam jugak la. Orang yang tak pernah sampai Negeri Sembilan atau pernah sampai tapi tak tahu kata mana lokasinya..atau yang tak pernah pun dengar nama Simpang Durian ni pasti tertanya-tanya…kat simpang-simpang jalan tu banyak benor durian kot hehe…Jangan marah ye anak-anak SMADATA…abi gurau yo.

Kami di PPA memang ada buat program susulan selepas tamat sesuatu kursus tapi kena pilih jugak la ke mana nak buat susulan tu…tengok latar belakang peserta, lokasi mereka supaya dapat menjimatkan masa dan kos. Alhamdulillah setakat ni Team Sahabat Akidah telah berjaya melaksanakan 2 porgram susulan iaitu di SK Sikamat, Seremban dan Institut kemahiran Baitulmal, Kuala Lumpur.

Sebenarnya program susulan ini penting sebagai medan bermuhasabah kepada para peserta yang pernah menjalani kursus di PPA. Dalam setiap kursus, pada hari terakhir kami akan edarkan borang Azam dan Janji yang mesti peserta isi apakah yang perubahan yang ingin mereka lakukan dalam hidup selepas tamatnya kursus di PPA, maka program susulan ini diadakan selepas 2 atau 3 bulan tamatnya kursus yang mereka hadiri untuk mengingatkan mereka semula tentang azam dan janji yang pernah mereka titipkan semasa kursus bakal berakhir dan melabuhkan tirainya.

Memang tidak mampu untuk mengukur sejauh mana perubahan itu berjaya, kerana ok atau ko azam serta janji itu hanya boleh dijawab oleh individu itu sendiri, namun usaha untuk memperhangatkan, refresh, menilai semula keazaman itu perlu diadakan. Rasulullah SAW sering meningatkan para sahabat dengan sabdanya جددوا ايمانكم yang maksudnya “perbaharuilah iman kamu”. Dalam hadith lain Nabi juga ada berpesan kepada para sahabatnya اجلس بنا نؤمن ساعة yang mungkin boleh difahami supaya duduk memikirkan sedetik mengenai perihal diri masing-masing. Justeru peringatan dan muhasabah wajar dijadikan budaya dalam hidup setiap individu.

Jika mampu, peringatkan diri sendiri, atau jika tidak mampu, mintalah sahabat yang jujur dan ikhlas memperingatkan diri kita. Sesungguhnya ada beberapa kaedah boleh digunakan sebagai cara untuk menilai diri antaranya :

1. Duduk bersama dengan orang alim atau menghadiri majlis yang dihadiri bersama golongan ulama. Ini menyebabkan seseorang itu akan merasakan betapa kerdil dan kurang dirinya berbanding dengan orang alim.

2. Meminta kepada sahabat yang diyakini baik dan mulia budi pekerti memberi pandangan ikhlas tentang kecatatatan dan kekurangan dirinya.

3. Mengambil kira pandangan orang lain yang membenci atau memusuhinya yang pernah menyatakan tentang keaiban dirinya. Biasanya orang yang membenci seseorang hanya akan menceritakan keaiban orang yang dibencinya. Maka, apabila diterima perkhabaran seumpama itu, buatlah penilaian ke atas diri bahawa keaiban itu mungkin ada benarnya.

4. Bercampur gaul dengan orang ramai, apabila nampak kecacatan dan kekurangan orang lain, cuba bayangkan bahawa orang lain nampak dan melihat kecacatan itu, maka begitu juga orang melihat kepada diri kita. Lihatlah keaiban orang seolah-olah keaiban itu ada pada diri kita.

Program susulan yang kami laksanakan bukan untuk menyatakan bahawa kami ini baik atau dah betul tetapi ia lebih kepada usaha untuk saling mengingati antara sesama mukmin. Dalam konteks SMADATA, anak-anak yang datang kursus di PPA semuanya masih muda remaja, mereka lebih mudah terdedah dengan budaya yang tidak baik yang ada di persekitaran, maka sesungguhnya, memperingatkan yang lupa ini atau mengukuhkan ingatan yang hampir-hampir lupa adalah satu usaha bagi membentuk suasana baik dalam diri.

Alhamdulillah, kami seronok sangat dalam kunjungan yang seketika cuma, walaupun singkat, insyaAllah, ingatannya berpanjangan. Moga ledakan transformasi anjakan paradigma akan sentiasa subur di bumi SMADATA.

• Akhirnya berjumpa juga dengan Puan Pengetua, Ustazah Zamrud yang pernah mendidik saya nun lama dahulu di Maahad Ahmadi tahun 1990-1991, syukran ya ustazah.

Buat anak-anak SMADATA, bersama ini abi attach beberapa keping gambar yang diambil semasa program susulan tu berjalan. Gambar masa kursus bleh tengok dalam CD ye.




0 ulasan: