Ahad, 14 Mac 2010

UMRAH DAN ZIARAH

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih kepada semua yang sentiasa ziarah blog saya dan menatapi segala bahan cerita dan ilmu yang terdapat di dalamnya. Saya tidak dapat mengenal pasti siapa sebenarnya yang kerap melawat blog ini, namun saya amat menghargainya apabila satu hari baru-baru ni, berdasarkan jumlah pengunjung yang saya kira, untuk tempoh 24 jam, seramai hampir 80 orang yang singgah melawatinya. Boleh jadi orang yang sama 'refresh' beberapa kali dalam sehari...boleh jadi juga sebab saya sendiri yang 'refresh'. Saya pun terkejut sebab ingatkan kawan-kawan rapat se jabatan atau kenalan-kenalan lama termasuk anak-anak didik yang berada di mana-mana, yang mengunjunginya. Ada juga masej yang saya terima dari orang yang saya tidak kenali yang saya kira juga sebagai sahabat baru walau kita tidak pernah bertemu secara berhadapan.  Ini menggambarkan sokongan moral anda terhadap medium dakwah ini selain dari menjadi bahan perkongsian suka duka kehidupan. Kalau dulu orang simpan maklumat dan pengalaman hidup dalam diari, namun sekarang dah ada blog, maka tersimpanlah pelbagai coretan hidup yang pastinya untuk menjadi ingatan yang berkekalan dan berpanjang sepanjang kehidupan.

Untuk makluman, 15-31 Mac 2010 saya akan menjalani ibadah umrah + ziarah ke Tanah Suci al-Haramain dan Istanbul. Mungkin ada yang sudah tahu dan mungkin bila baca entry ni baru dapat tahu. Maka sepanjang tempoh tersebut, blog ini tidak dapat di'update'kan. InsyaAllah, berjumpa kita di bulan April. Doakan kesejahteraan dan keselamatan saya sepanjang mengerjakan ibadah tersebut. Assalamualaikum.

Read More...

Rabu, 10 Mac 2010

JERNIHKAN ROHANI, KUATKAN JASMANI TERAS PEMBENTUKAN UMMAH TERBILANG

Pembentukan ummah terbaik dan terbilang sebenarnya berpunca dari kekuatan luaran dan dalaman atau dengan ungkapan yang lebih jelas, kekuatan dan kejernihan rohani serta jasmani yang berdiri seiring saling imbang mengimbangi, tanpa memberatkan satu unsur dengan mengenepikan unsur yang lain.

Keseimbangan inilah yang menjadi tunggak asas dan tunjang kecemerlangan umat Islam sejak detik awal penyebaran Islam di zaman Rasulullah S.A.W. sehinggalah ke zaman ini. Itulah yang menjadi prinsip utama keseimbangan dan kesederhanaan dalam Islam. Justeru, tamadun Islam yang gemilang, sebenarnya diasaskan atas dasar akidah, iaitu suatu nilai kerohanian tertinggi. Ini diperkuatkan dengan unsur syariah yang menjadi tulang belakang kekuatan jasmani sehingga Islam tertegak utuh di Semenanjung Tanah Arab sehingga melangkaui sempadan dunia dan ufuk benua.

Kejernihan dan kemurnian rohani merujuk kepada kebersihan hati dan kesucian jiwa yang menjadi tumpuan utama pandangan Allah terhadap hambaNya. Dalam sebuah hadith dinyatakan bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda daripada Abu Hurairah yang bermaksud : “sesungguhnya Allah S.W.T tidak memandang kepada jisim dan rupa paras kamu, tetapi Dia melihat kepada hati dan amalan kamu” (Riwayat Muslim).

Rohani ibarat raja dalam diri manusia yang akan menentukan baik atau buruknya individu. Hadith keenam dalam himpunan Hadith 40 susunan Imam al-Nawawi ada menyebut daripada Abi Abdullah al-Nu’man bin Basyir, beliau mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : “ingatlah dan bahawasanya dalam jasad manusia itu ada seketul daging yang apabila baik daging tersebut, maka baiklah jasad keseluruhannya, dan jika rosak daging tersebut maka akan rosaklah jasad keseluruhannya, ingatlah, itulah dia hati” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dua petikan hadith ini menggambarkan betapa pentingnya peranan roh yang menggerakkan jasad dan fizikal manusia dalam menggembangkan tanggungjawabnya membina peradaban dunia.

Kecantikan rohani akan menggambarkan keindahan jasmani. Seumpama orang yang ingin mengerjakan solat, mesti memastikan tempat solat dan pakainnya bersih, tetapi terlebih dahulu, untuk menghadap Ilahi, persoalan rohani mestilah terlebih dahulu disucikan. Jika pakaian terkena najis, ia dianggap tercemar, begitu juga jika rohani penuh dengan dosa dan maksiat, maka solat yang didirikan seolah-olah tiada makna. Apabila pakaian yang kotor mudah dibersihkannya, tetapi adakah ramai dari kalangan manusia memikirkan bagaimana hendak membersihkan rohaninya yang telah kotor?

Maka amat tepatlah seruan Allah S.W.T kepada umat manusia agar memperbanyakkan mengingatiNya supaya kemurnian rohani dapat dipertingkatkan semaksima mungkin dalam menggalas amanah mendaulatkan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Firman Allah S.W.T dalam al-Quran yang bermaksud : “ingatlah bahawa dengan mengingati Allah itu akan memberi ketenangan kepada hati” (Surah al-Ra’d : 28).

Allah S.W.T juga menjamin pulangan yang baik di sisiNya kepada individu yang sentiasa berusaha membersihkan rohaninya melalui ayat suci al-Quran yang bermaksud : “sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya” (Surah al-Syams : 9-10).

Dalam membangunkan modal insan bagi membentuk sebuah umat terbaik dan gemilang, kecemerlangan tidak hanya terhenti kepada kejernihan rohani semata-mata tetapi ia perlu diseimbangkan dengan kekuatan jasmani, kerana ummah yang unggul tidak akan dapat dibina oleh mereka yang lemah fizikal serta kurang daya ketahanan diri.

Faktor kejayaan hadharah silam sejak zaman Rasulullah s.a.w. didokong kuat oleh generasi muslim yang kental, hebat dan gagah perkasa fizikalnya di samping kekuatan rohani yang utuh dalam diri. Dengan sebab itulah terdapat banyak pernyataan baginda yang menekankan kepada kekuatan lahiriah yang sewajarnya perlu ada pada setiap individu muslim.

Sebuah hadith daripada Abu Hurairah yang bermaksud : “orang mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih dikasihi di sisi Allah daripada orang mukmin yang lemah” (Riwayat Muslim).

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebut bahawa kuat yang dimaksudkan dalam hadith ini ialah kuat badan dan jiwa. Kekuatan inilah yang dapat dan mampu melaksanakan pelbagai bentuk ibadah seperti haji, puasa, amar makruf dan nahi mungkar, sedang orang yang lemah tiada mampu untuk melaksanakannya.

Bagaimana mungkin orang yang lemah mampu untuk memikul satu tanggungjawab berat terutama dalam zaman yang memerlukan pelbagai kepakaran dan kemahiran ikhtisas. Justeru, tidak hairanlah pemilihan Nabi Musa sebagai pekerja Nabi Syuaib kerana faktor kekuatan jasmani yang ada pada baginda. Hal ini jelas dirakamkan oleh Allah S.W.T melalui firmanNya daripada nukilan kata-kata anak perempuan Nabi Syuaib yang bermaksud : “wahai ayahku, ambillah dia (Musa) sebagai orang yang bekerja (kepada kita), kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah orang yang kuat lagi dipercayai.” (Surah al-Qasas : 26).

Paparan sejarah silam menjadi contoh tauladan kepada manusia kini dalam mengambil model insan yang disifatkan mempunyai keberanian dan kekuatan jasmani. Sebagai contoh Nabi Daud a.s yang terkenal dengan kehebatannya melunturkan besi waja yang keras. Firman Allah S.W.T yang bermaksud : “dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Daud kurnia dari Kami. Hai gunung-gunung dan burung-burung, bertasbihlah berulang-ulang kali bersama Daud, dan Kami telah melunakkan besi untuknya. Buatlah baju besi yang besar-besar dan ukurlah anyamannya, dan kerjakanlah amalan yang soleh, sesungguhnya Aku melihat apa yang kamu kerjakan” (Surah Saba : 10-11).

Rasulullah S.A.W. sendiri adalah insan hebat yang mempunyai kemurnian rohani dan kekuatan jasmani. Manakan mampu Baginda bertindak sebagai pemimpin orang Islam di zamannya dan dalam masa yang sama Bagindalah yang bertindak sebagai ketua angkatan tentera, hakim pemutus segala permasalahan rakyat, tokoh guru dan pendidik terulung, bapa dan suami mithali, imam yang mengetuai solat jamaah, perancang ekonomi negara dan sebagainya, jika tidak punyai kekuatan fizikal dan mental.

Seorang sahabat bernama al-Barra’ menceritakan : “bahawasanya Rasulullah ketika di medan peperangan, amatlah gagah perkasa, keberaniannya sehingga baginda adalah orang yang paling hampir dan dekat dengan musuhnya”. Justeru itulah, apabila turunnya ayat Allah yang memerintahkan kaum muslimin berjihad, maka Rasulullah S.A.W. dengan segera akan memberi semangat kepada para sahabat supaya segera bangun dan bingkas menyahut cabaran dengan penuh keberanian. Malah secara praktikalnya, Bagindalah yang paling awal menggerakkan para sahabatnya agar segera berjuang.

Allah S.W.T juga memperingatkan kepada kaum muslimin agar sentiasa melakukan apa sahaja pekerjaan dengan kekuatan roh dan jasmani sehinggakan dalam keadaan yang amat genting berhadapan dengan pihak musuh sekalupun disarankan agar memperkukuhkan barisan. Jika susunan itu lemah dan longlai, maka ia akan membuka kepada pintu-pintu kekalahan . Firman Allah S.W.T yang bermaksud : “sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang di jalanNya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti satu bangunan yang tersusun kukuh.” (Surah al-Shaff : 4).

Kekuatan dua unsur inilah yang telah melahirkan generasi para sahabat yang diibaratkan seperti ruhban bill ail wa fursan bin nahar (seumpama rahib di malam hari dan singa ganas di siang hari).

Pengabaian salah satu unsur sama ada rohani mahupun jasmani adalah faktor yang menyebabkan kegagalan dalam mencapai kejayaan dalam hidup. Persitiwa dalam Perang Badar dan Uhud harus menjadi iktibar, dengan semangat kekuatan rohani dan jasmani, umat Islam mendapat kejayaan. Begitu jua sebaliknya kelemahan iman dan fizikal boleh menyebabkan kekalahan dan kegagalan dalam mencapai cita-cita.

Kesepaduan inilah sebenarnya yang akhirnya menghasilkan keredhaan dan pahala daripada Allah S.W.T. FirmanNya dalam al-Quran yang bermaksud : “tidaklah sama antara mukmin yang duduk (tidak turut berjuang dan berperang) yang tidak mempunyai keuzuran, dengan orang-orang yang duduk (tidak berperang kerana lemah dan uzur) dengan satu darjat. Kepada mereka Allah menjanjikan pahala yang baik (syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad daripada orang yang duduk dengan lebihan pahala yang amat besar.” (Surah al-Nisa’ ayat 95).

Sebagai memetik idea yang dikupas oleh al-Syeikh Sayyid Sabiq dalam bukunya “Unsur Kekuatan Dalam Islam”, beliau menyenaraikan gandingan kesucian rohani dan kekuatan fizikal mestilah ada dan ia dianggap sebagai syarat kemenangan umat Islam dulu, kini dan selamanya. Kemurnian dan kekuatan itu juga datang dari sudut akidah, akhlak, ilmu pengetahuan, ekonomi, sosial dan jihad.

Kekuatan unsur ini jugalah yang menjadi sebab faktor utama berjayanya Sultan Muhammad al-Fateh membuka Kota Kostantinopel yang sebelumnya tidak pernah dibuka untuk satu tempoh masa yang sangat panjang. Isyarat Nabi Muhammad S.A.W yang menyebut bahawa kota itu akan dibuka oleh pemimpin yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik ada pada Sultan Muhammad, para tentera yang bersama-sama dengannya dalam usaha menakluk kota tersebut dan ketinggian akhlak serta jiwa rakyat di bawah naungannya.

Bayangkan betapa pada hari kota itu berjaya di buka, di saat untuk melantik imam solat Jumaat, kriteria pemilihan dilihat kepada mereka yang tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat rawatib dan ibadah malam. Semua tentera baginda dilihat tiada seorang pun yang pernah meninggalkan solat fardhu semenjak baligh, sebahagian dari mereka pernah meninggalkan solat rawatib, dan hanya baginda seorang sahaja sejak baligh yang tidak pernah meningalkan qiammullail.

Sesungguhnya kekuatan rohani ini, ditambah dengan kekuatan fizikal yang yang sememangnya dilatih kepada baginda sultan semenjak kecil melayakkan Sultan Muhammad sebagai insan yang membenarkan sabdaan yang pernah diungkapkan oleh Baginda S.A.W.

Read More...