Selasa, 13 April 2010

ALHAMDULILLAH…UMRAH DAN ZIARAH 2010 M / 1431H


Jutaan syukur dipanjatkan ke Hadrat Allah SWT, selawat dan salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga dan para sahabat Baginda seluruhnya.

Alhamdulillah 31 Mac 2010 bersamaan 15 Rabiul Akhir, jam 5.30 petang, saya dan rombongan selamat memasuki sempadan Malaysia – Singapura setelah melalui satu perjalanan yang panjang. Hari yang sama jam 11.00 malam kami selamat sampai di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dan di situlah bermulanya musafir kami 15 Mac yang lalu.

 

Alhamdulillah, saya, Wafi, mak dan abah serta semua ahli rombongan selamat sampai dan semuanya sihat wal afiat. Kalau nak diceritakan semua pengalaman sepanjang umrah dan ziarah kali ini, memang amat banyak yang ingin diceritakan, namun sebagai perkongsian pengalaman, saya ketengahkan di sini beberapa kisah moga dapat memberi kebaikan bersama serta lonjakan semangat untuk pembaca memahat niat dan azam menjejak langkah yang sama.

Alhamdulillah, kali pertama ke Istanbul, saya cukup teruja dan teruji. Teruja sejurus selepas mendapat khabar promosi Umrah dan Ziarah kali ini yang bertemakan “KEMBARA TERAPI ILMU” yang akan dipimpin sendiri oleh kerabat saya juga, seorang motivator yang punyai consultant sendiri, malah berpengalaman membawa jemaah ke Tanah Suci. Namun akhirnya saya teruji apabila dia sendiri tidak dapat menyertai kami atas masalah pelepasan cuti. Dalam hati saya memang agak terkilan kerana memikirkan apakah “KEMBARA TERAPI ILMU” yang beliau promosikan akan dapat dijayakan semaksima mungkin oleh pengganti beliau.

Saya teruji lagi apabila sampainya kami di Istanbul, kami dibawa oleh pemandu pelancong wanita yang ala-ala mat salleh, yang mengakui keislamannya, namun kecewa apabila beliau mempersoalkan ‘kenapa tidak jamak sahaja semua solat 5 waktu tersebut???’… Dalam hati saya bermonolog “alangkah kuatnya kesan penjajahan minda Mustafa Kamal Atartuk”.

Kekecewaan itu terubat juga sedikit apabila berpeluang dibawa ke beberapa tempat menarik dan bersejarah peninggalan kegemilangan Empayar Othmaniah. Antara lokasi lawatan kami termasuklah Masjid dan makam Abu Ayyub al-Ansari, Masjid Sultan Sulaiman (under renovation tapi saya tak pergi sebab parking bas jauh dan Wafi pulak mengalami masalah kerana kesejukan yang amat sangat), Dataran dan Masjid Sultan Ahmad yang juga dikenali sebagai Masjid Biru, bersetentang dengannya Aya Sofia yang asalnya gereja dan dijadikan masjid kemudiannya oleh Sultan Muhammad al-Fatih, Muzium Topkapi, Grand Bazar, dan menaiki bot mengharungi Selat Bhosporus.

Kami juga dibawa ke Bursa, bandar ke 5 terbesar di Turki yang jaraknya hampir 300 km dari Istanbul. Bandar ini adalah pusat pemerintahan kerajaan Othmaniah sebelum berpindah ke Istanbul yang juga merupakan kawasan yang menghasilkan sutera terbesar di dunia, terdapat salji dan kemudahan untuk sukan jet ski. Insyaallah saya akan susulkan cerita yang agak detail juga mengenai Istanbul dalam blog ini di masa yang akan datang.

4 hari di Istanbul, kami meneruskan perjalanan ke bumi hijrah al-rasul, perjalanan menaiki kapal terbang memakan masa 3 jam setengah. Alhamdulillah jarak hotel dengan Masjid Nabawi tak berapa jauh dalam 150 meter sahaja, kami sampai hampir nak masuk waktu subuh dan sempat juga bawa barang naik ke hotel dan bersiap-siap untuk solat subuh, sebab dah lewat, saya tertinggal 1 rakaat dan solat di luar masjid sahaja. Lepas solat terus balik ke hotel untuk uruskan beg dan pakaian.

Jam 9.00 pagi, seperti yang dijadualkan, kami ziarah Rasulullah S.A.W dan dua sahabat agung Saidina Abu Bakar dan Umar al-Khattab…perkuburan Baqi’ tutup waktu tu. InsyaAllah kisah di Madinah juga akan dipanjangkan kemudian.

Selepas 3 hari di Madinah, kami teruskan perjalanan ke Makkah al-Mukarramah. Setelah bermiqat dan niat umrah di Bir Ali, kami teruskan perjalanan…kali ini saya diamanahkan untuk memimpin jemaah untuk melaungkan talbiah dan penerangan tentang perkara berkaitan umrah…dah kira macam mutawif pulak ni. Alhamdulillah sepanjang perjalanan tiada sebarang masalah yang kami hadapi. Jam 9.00 malam kami sampai dan laksanakan umrah pada jam 11.00 malam. Selesai umrah hampir jam 2.00 pagi, saya mak, abah dan Wafi ambik keputusan untuk tidak terus pulang ke hotel sebab jarak agak jauh juga, cari kedai makan, yang jumpa KFC…apa lagi selesaikan la apa yang patut. Masuk je Masjidil Haram terus niat iktikaf dan Wafi terus tido kerana kepenatan, saya pun boleh tahan letih sebab banyak kali dukung Wafi terutama masa saie.

Kami di bumi kelahiran Nabi selama 9 hari dan pada 30 Mac berangkat balik untuk transit sehari di Istanbul. Dari Istanbul, kami ke Singapura dan terus ke Seremban menaiki bas yang telah disediakan oleh pihak travel.

Catatan ini hanya imbasan secara keseluruhan sepanjang “KEMBARA TERAPI ILMU” yang insyaAllah akan saya bahagikan kisah dan pengalaman tersebut secara berasingan. Bersama ini juga saya attach beberapa foto menarik sepanjang perjalanan 17 hari tersebut.

Di perkarangan Stadium Paroi sementara menunggu bas ke Singapura.

Di hadapan Masjid Abu Ayyub al-Ansari, Istanbul, Turki.

Di perkarangan maqam Abu Ayyub

Maqam Abu Ayyub al-Ansari.

Fenomena di dalam Masjid Biru (Masjid Sultan Ahmad) antara masjid tercantik di dunia.

Berlatar belakang Aya Sophia yang asalnya gereja, dijadikan masjid oleh Sultan Muhammad al-Fateh selepas pembukaan kota Istanbul

Berlatar belakang Masjid Biru (Masjid Sultan Ahmad).

Wakaf di dalam kawasan Muzium Topkapi.

Kawasan salji di Bursa, di satu puncak bukit, untuk sampai ke sana, perlu menaikki cable car selama 30 minit





Nostalgia Masjid Nabawi

Masjid Quba'.

Jabal rumah (pemanah) di Medan Uhud.

Berlatar belakang Jabal Thur, persinggahan Nabi sebelum meneruskan hijrah ke Madinah al-Munawwarah.

Bukit Safa yang kini berpagar, gambar ini dari luar kawasan Saie.

Dalam Masjid Nabawi
Berlatar belakang rumah kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W.

Mihrab di kawasan Raudhah

Mimbar di dalam Raudhah.

Ladang unta berhampiran Hudaibiyah.

Masa saie', Wafi tak larat, naik kerusi roda.

Wafi, atuk dan neneknya di luar Masjidil Haram.

Berlatar belakang Masjidil Haram yang terletaknya Babus Salam yang kini ditutup bagi tujuan renovation masjid, berhampiran Jabal Qubais.














;

Read More...

Ahad, 14 Mac 2010

UMRAH DAN ZIARAH

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih kepada semua yang sentiasa ziarah blog saya dan menatapi segala bahan cerita dan ilmu yang terdapat di dalamnya. Saya tidak dapat mengenal pasti siapa sebenarnya yang kerap melawat blog ini, namun saya amat menghargainya apabila satu hari baru-baru ni, berdasarkan jumlah pengunjung yang saya kira, untuk tempoh 24 jam, seramai hampir 80 orang yang singgah melawatinya. Boleh jadi orang yang sama 'refresh' beberapa kali dalam sehari...boleh jadi juga sebab saya sendiri yang 'refresh'. Saya pun terkejut sebab ingatkan kawan-kawan rapat se jabatan atau kenalan-kenalan lama termasuk anak-anak didik yang berada di mana-mana, yang mengunjunginya. Ada juga masej yang saya terima dari orang yang saya tidak kenali yang saya kira juga sebagai sahabat baru walau kita tidak pernah bertemu secara berhadapan.  Ini menggambarkan sokongan moral anda terhadap medium dakwah ini selain dari menjadi bahan perkongsian suka duka kehidupan. Kalau dulu orang simpan maklumat dan pengalaman hidup dalam diari, namun sekarang dah ada blog, maka tersimpanlah pelbagai coretan hidup yang pastinya untuk menjadi ingatan yang berkekalan dan berpanjang sepanjang kehidupan.

Untuk makluman, 15-31 Mac 2010 saya akan menjalani ibadah umrah + ziarah ke Tanah Suci al-Haramain dan Istanbul. Mungkin ada yang sudah tahu dan mungkin bila baca entry ni baru dapat tahu. Maka sepanjang tempoh tersebut, blog ini tidak dapat di'update'kan. InsyaAllah, berjumpa kita di bulan April. Doakan kesejahteraan dan keselamatan saya sepanjang mengerjakan ibadah tersebut. Assalamualaikum.

Read More...

Rabu, 10 Mac 2010

JERNIHKAN ROHANI, KUATKAN JASMANI TERAS PEMBENTUKAN UMMAH TERBILANG

Pembentukan ummah terbaik dan terbilang sebenarnya berpunca dari kekuatan luaran dan dalaman atau dengan ungkapan yang lebih jelas, kekuatan dan kejernihan rohani serta jasmani yang berdiri seiring saling imbang mengimbangi, tanpa memberatkan satu unsur dengan mengenepikan unsur yang lain.

Keseimbangan inilah yang menjadi tunggak asas dan tunjang kecemerlangan umat Islam sejak detik awal penyebaran Islam di zaman Rasulullah S.A.W. sehinggalah ke zaman ini. Itulah yang menjadi prinsip utama keseimbangan dan kesederhanaan dalam Islam. Justeru, tamadun Islam yang gemilang, sebenarnya diasaskan atas dasar akidah, iaitu suatu nilai kerohanian tertinggi. Ini diperkuatkan dengan unsur syariah yang menjadi tulang belakang kekuatan jasmani sehingga Islam tertegak utuh di Semenanjung Tanah Arab sehingga melangkaui sempadan dunia dan ufuk benua.

Kejernihan dan kemurnian rohani merujuk kepada kebersihan hati dan kesucian jiwa yang menjadi tumpuan utama pandangan Allah terhadap hambaNya. Dalam sebuah hadith dinyatakan bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda daripada Abu Hurairah yang bermaksud : “sesungguhnya Allah S.W.T tidak memandang kepada jisim dan rupa paras kamu, tetapi Dia melihat kepada hati dan amalan kamu” (Riwayat Muslim).

Rohani ibarat raja dalam diri manusia yang akan menentukan baik atau buruknya individu. Hadith keenam dalam himpunan Hadith 40 susunan Imam al-Nawawi ada menyebut daripada Abi Abdullah al-Nu’man bin Basyir, beliau mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : “ingatlah dan bahawasanya dalam jasad manusia itu ada seketul daging yang apabila baik daging tersebut, maka baiklah jasad keseluruhannya, dan jika rosak daging tersebut maka akan rosaklah jasad keseluruhannya, ingatlah, itulah dia hati” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dua petikan hadith ini menggambarkan betapa pentingnya peranan roh yang menggerakkan jasad dan fizikal manusia dalam menggembangkan tanggungjawabnya membina peradaban dunia.

Kecantikan rohani akan menggambarkan keindahan jasmani. Seumpama orang yang ingin mengerjakan solat, mesti memastikan tempat solat dan pakainnya bersih, tetapi terlebih dahulu, untuk menghadap Ilahi, persoalan rohani mestilah terlebih dahulu disucikan. Jika pakaian terkena najis, ia dianggap tercemar, begitu juga jika rohani penuh dengan dosa dan maksiat, maka solat yang didirikan seolah-olah tiada makna. Apabila pakaian yang kotor mudah dibersihkannya, tetapi adakah ramai dari kalangan manusia memikirkan bagaimana hendak membersihkan rohaninya yang telah kotor?

Maka amat tepatlah seruan Allah S.W.T kepada umat manusia agar memperbanyakkan mengingatiNya supaya kemurnian rohani dapat dipertingkatkan semaksima mungkin dalam menggalas amanah mendaulatkan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Firman Allah S.W.T dalam al-Quran yang bermaksud : “ingatlah bahawa dengan mengingati Allah itu akan memberi ketenangan kepada hati” (Surah al-Ra’d : 28).

Allah S.W.T juga menjamin pulangan yang baik di sisiNya kepada individu yang sentiasa berusaha membersihkan rohaninya melalui ayat suci al-Quran yang bermaksud : “sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya” (Surah al-Syams : 9-10).

Dalam membangunkan modal insan bagi membentuk sebuah umat terbaik dan gemilang, kecemerlangan tidak hanya terhenti kepada kejernihan rohani semata-mata tetapi ia perlu diseimbangkan dengan kekuatan jasmani, kerana ummah yang unggul tidak akan dapat dibina oleh mereka yang lemah fizikal serta kurang daya ketahanan diri.

Faktor kejayaan hadharah silam sejak zaman Rasulullah s.a.w. didokong kuat oleh generasi muslim yang kental, hebat dan gagah perkasa fizikalnya di samping kekuatan rohani yang utuh dalam diri. Dengan sebab itulah terdapat banyak pernyataan baginda yang menekankan kepada kekuatan lahiriah yang sewajarnya perlu ada pada setiap individu muslim.

Sebuah hadith daripada Abu Hurairah yang bermaksud : “orang mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih dikasihi di sisi Allah daripada orang mukmin yang lemah” (Riwayat Muslim).

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebut bahawa kuat yang dimaksudkan dalam hadith ini ialah kuat badan dan jiwa. Kekuatan inilah yang dapat dan mampu melaksanakan pelbagai bentuk ibadah seperti haji, puasa, amar makruf dan nahi mungkar, sedang orang yang lemah tiada mampu untuk melaksanakannya.

Bagaimana mungkin orang yang lemah mampu untuk memikul satu tanggungjawab berat terutama dalam zaman yang memerlukan pelbagai kepakaran dan kemahiran ikhtisas. Justeru, tidak hairanlah pemilihan Nabi Musa sebagai pekerja Nabi Syuaib kerana faktor kekuatan jasmani yang ada pada baginda. Hal ini jelas dirakamkan oleh Allah S.W.T melalui firmanNya daripada nukilan kata-kata anak perempuan Nabi Syuaib yang bermaksud : “wahai ayahku, ambillah dia (Musa) sebagai orang yang bekerja (kepada kita), kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah orang yang kuat lagi dipercayai.” (Surah al-Qasas : 26).

Paparan sejarah silam menjadi contoh tauladan kepada manusia kini dalam mengambil model insan yang disifatkan mempunyai keberanian dan kekuatan jasmani. Sebagai contoh Nabi Daud a.s yang terkenal dengan kehebatannya melunturkan besi waja yang keras. Firman Allah S.W.T yang bermaksud : “dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Daud kurnia dari Kami. Hai gunung-gunung dan burung-burung, bertasbihlah berulang-ulang kali bersama Daud, dan Kami telah melunakkan besi untuknya. Buatlah baju besi yang besar-besar dan ukurlah anyamannya, dan kerjakanlah amalan yang soleh, sesungguhnya Aku melihat apa yang kamu kerjakan” (Surah Saba : 10-11).

Rasulullah S.A.W. sendiri adalah insan hebat yang mempunyai kemurnian rohani dan kekuatan jasmani. Manakan mampu Baginda bertindak sebagai pemimpin orang Islam di zamannya dan dalam masa yang sama Bagindalah yang bertindak sebagai ketua angkatan tentera, hakim pemutus segala permasalahan rakyat, tokoh guru dan pendidik terulung, bapa dan suami mithali, imam yang mengetuai solat jamaah, perancang ekonomi negara dan sebagainya, jika tidak punyai kekuatan fizikal dan mental.

Seorang sahabat bernama al-Barra’ menceritakan : “bahawasanya Rasulullah ketika di medan peperangan, amatlah gagah perkasa, keberaniannya sehingga baginda adalah orang yang paling hampir dan dekat dengan musuhnya”. Justeru itulah, apabila turunnya ayat Allah yang memerintahkan kaum muslimin berjihad, maka Rasulullah S.A.W. dengan segera akan memberi semangat kepada para sahabat supaya segera bangun dan bingkas menyahut cabaran dengan penuh keberanian. Malah secara praktikalnya, Bagindalah yang paling awal menggerakkan para sahabatnya agar segera berjuang.

Allah S.W.T juga memperingatkan kepada kaum muslimin agar sentiasa melakukan apa sahaja pekerjaan dengan kekuatan roh dan jasmani sehinggakan dalam keadaan yang amat genting berhadapan dengan pihak musuh sekalupun disarankan agar memperkukuhkan barisan. Jika susunan itu lemah dan longlai, maka ia akan membuka kepada pintu-pintu kekalahan . Firman Allah S.W.T yang bermaksud : “sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang di jalanNya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti satu bangunan yang tersusun kukuh.” (Surah al-Shaff : 4).

Kekuatan dua unsur inilah yang telah melahirkan generasi para sahabat yang diibaratkan seperti ruhban bill ail wa fursan bin nahar (seumpama rahib di malam hari dan singa ganas di siang hari).

Pengabaian salah satu unsur sama ada rohani mahupun jasmani adalah faktor yang menyebabkan kegagalan dalam mencapai kejayaan dalam hidup. Persitiwa dalam Perang Badar dan Uhud harus menjadi iktibar, dengan semangat kekuatan rohani dan jasmani, umat Islam mendapat kejayaan. Begitu jua sebaliknya kelemahan iman dan fizikal boleh menyebabkan kekalahan dan kegagalan dalam mencapai cita-cita.

Kesepaduan inilah sebenarnya yang akhirnya menghasilkan keredhaan dan pahala daripada Allah S.W.T. FirmanNya dalam al-Quran yang bermaksud : “tidaklah sama antara mukmin yang duduk (tidak turut berjuang dan berperang) yang tidak mempunyai keuzuran, dengan orang-orang yang duduk (tidak berperang kerana lemah dan uzur) dengan satu darjat. Kepada mereka Allah menjanjikan pahala yang baik (syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad daripada orang yang duduk dengan lebihan pahala yang amat besar.” (Surah al-Nisa’ ayat 95).

Sebagai memetik idea yang dikupas oleh al-Syeikh Sayyid Sabiq dalam bukunya “Unsur Kekuatan Dalam Islam”, beliau menyenaraikan gandingan kesucian rohani dan kekuatan fizikal mestilah ada dan ia dianggap sebagai syarat kemenangan umat Islam dulu, kini dan selamanya. Kemurnian dan kekuatan itu juga datang dari sudut akidah, akhlak, ilmu pengetahuan, ekonomi, sosial dan jihad.

Kekuatan unsur ini jugalah yang menjadi sebab faktor utama berjayanya Sultan Muhammad al-Fateh membuka Kota Kostantinopel yang sebelumnya tidak pernah dibuka untuk satu tempoh masa yang sangat panjang. Isyarat Nabi Muhammad S.A.W yang menyebut bahawa kota itu akan dibuka oleh pemimpin yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik ada pada Sultan Muhammad, para tentera yang bersama-sama dengannya dalam usaha menakluk kota tersebut dan ketinggian akhlak serta jiwa rakyat di bawah naungannya.

Bayangkan betapa pada hari kota itu berjaya di buka, di saat untuk melantik imam solat Jumaat, kriteria pemilihan dilihat kepada mereka yang tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat rawatib dan ibadah malam. Semua tentera baginda dilihat tiada seorang pun yang pernah meninggalkan solat fardhu semenjak baligh, sebahagian dari mereka pernah meninggalkan solat rawatib, dan hanya baginda seorang sahaja sejak baligh yang tidak pernah meningalkan qiammullail.

Sesungguhnya kekuatan rohani ini, ditambah dengan kekuatan fizikal yang yang sememangnya dilatih kepada baginda sultan semenjak kecil melayakkan Sultan Muhammad sebagai insan yang membenarkan sabdaan yang pernah diungkapkan oleh Baginda S.A.W.

Read More...

Sabtu, 27 Februari 2010

KHAMIS : MUSAFIR 3 : EPISOD 2 : KUALA LUMPUR)

Sahabat saya yang namanya sekarang Mohd Syahid (dulu namanya Lister)…Alhamdulillah ALLAH buka pintu hatinya untuk menjadi seorang Muslim, menjemput saya untuk menyampaikan ceramah kepada pelajar di kolejnya. Ini adalah kali ke 2 saya ke Kolej Teknologi Makmal Perubatan, Institut Penyelidikan Perubatan, kali pertama pada tahun lepas. Dari Shah Alam, saya terus ke Kuala Lumpur, Alhamdulillah sampai pada jam 7.30 malam dan selepas selesai solat Maghrib berjamaah, ceramah pun dimulakan berkisar tentang peristiwa Maulidur Rasul.

 
Alhamdulillah, program berjalan lancar dan para peserta pun nampak memberi perhatian yang baik. Sesungguhnya lipatan sejarah agung ini membuka seribu macam falsafah dalam memberi kesedaran kepada masyarakat Islam bagi menghayati syakhsiah diri Baginda secara keseluruhannya yang sepatutnya dijadikan ikutan. Alhamdulillah ceramah kali ini walaupun diadakan di surau, buat kali pertamanya saya menggunakan laptop dan speaker yang saya bawa sendiri, manakala OHP disediakan sendiri oleh KTMP. Ada beberapa isi ceramah yang rasanya perlu disampaikan dengan bantuan dan sokongan alatan multimedia bagi mewujudkan suasana yang lebih interaktif dan memberi kesan kepada pendengar.

Jam 9.30 ceramah pun berakhir, terus kami solat Isyak dan menikmati jamuan yang disediakan. Lebih kurang jam 10.20, selepas selesai makan sambil berbual-bual bersama Syahid dan En. Salleh (Pengarah KTMP (orang Tampin- terima kasih kerana jemputan dan sudi datang mendengar ceramah saya), saya mohon untuk beredar pulang…malam ni jugak saya mesti balik ke Lonek. Alhamdulillah, malam saya balik jalan tak jam, walaupun esoknya cuti umum Maulidur Rasul…risau juga kalau jalan ke arah selatan sesak, entah pukul berapa boleh sampai rumah. Boleh tahan saya speed laju, sampai rumah pukul 12.10…maknanya masa yang saya ambil untuk perjalanan sejauh 150 km dari Kuala Lumpur ke Batu Kikir ialah 1 jam 50 minit. Alhamdulillah saya sampai rumah dalam keadaan yang amat selesa.




 
 Bersama En Salleh, Pengarah Kolej Teknologi Makmal Perubatan, Institut Penyelidikan Perubatan, Kuala Lumpur.

Read More...

Jumaat, 26 Februari 2010

KHAMIS : MUSAFIR 3 : EPISOD 1 : SHAH ALAM

Khamis 25 Februari 2010, agak padat juga jadual harian pada hari ini, belum habis penat semalam dan kelmarin, hari ni nak musafir lagi, sebelah pagi hadir ke padang Sekolah Kebangsaan Serting Ilir, sukan sekolah Wafi…dia tak masuk pun tapi kena jugak hadirkan diri sebagai tanda kasih sayang dan keprihatinan terhadap perkembangan persekolahannya. Abi kena la ambil berat tentang anaknya kan?



Ok cerita pasal musafir ke Shah Alam, juga melalui Bahagian Dakwah, saya dihubungi oleh Ustazah Haslinda untuk mengisi slot ceramah…kali ini tajuk yang agak mencabar juga, walaupun agak berat tapi semangat untuk mencuba, saya gagahkan juga, moga dapat menambah pengalaman terutama sekali dalam usaha melaksanakan apa yang berkaitan dengan tajuk yang disampaikan.

Tajuk ceramah ialah ANCAMAN KEPADA KECEMERLANGAN PRESTASI ORGANISASI manakala peserta adalah penjawat awam pelbagai jabatan di Negeri Selangor Darul Ehsan yang diadakan di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, bersebelahan Bangunan DUN.

Saya bertolak dari rumah di Lonek, Batu Kikir pada jam 12.00 tengahari dengan sasaran dapat sampai ke Bangunan SUK jam 2.00 petang…tapi target saya kurang tepat apabila tersasar lebih 20 minit dari yang saya jangkakan. Shah Alam memang sudah banyak berubah…yang paling jelas kerajaan yang memerintah negeri…memang menjadi rebutan…apa taknya negeri terkaya dan paling membangun di Malaysia. Saya sempat melintasi kawasan seksyen 13…teringat tempat mencari rezeki sekitar tahun 2000-2005…memang pesat membangun…rumah-rumah kediaman yang dibina punyalah class sesuai dengan harga dan persekitarannya. Teringat dulu masa mula-mula menjejakkan kaki di sini pada tahun 2000…rumah kedai yang ada tu berapa buah sangat yang dibuka, Stadium Shah Alam senang je nak nampak…tapi sekarang…bermacam-macam kompleks dibina. Sesuai sangat pelaburan Dato’ memilih bumi Seksyen 13 sebagai tapak membina institusi pendidikan yang kini antara tumpuan utama para pelajar melanjutkan pelajaran sekiranya gagal memasuki IPTA.

Kembali semula kepada cerita berkaitan ceramah…Alhamdulillah respon peserta melalui borang penilaian yang diisi agak memberangsangkan juga…walaupun mengikut mata kasar saya yang berhadapan dengan semua peserta pada petang itu…nampak sebahagian kecil macam ada yang kurang ceria…mungkin sebab ceramah waktu petang…so mood pun dah bercampur aduk di antara semangat mendengar ceramah dengan melayan kelipan mata yang semakin redup. Saya dah baca semua komen peserta mengenai ceramah yang disampaikan…terima kasih kepada mereka yang berpuas hati…ada dalam 3-4 orang menceritakan mengenai keadaan matanya yang amat mengantuk mendengar ceramah saya…tetapi lebih ramai yang menyatakan terhibur dan mengesankan. Ada yang komen, ceramah seumpama ini elok didengar bersama ketua-ketua Jabatan…ye satu idea yang sangat baik…dan macam-macam komen lain yang biarlah menjadi bahan penilaian kepada diri saya sendiri sebagai langkah penambahbaikan untuk ceramah-ceramah yang akan datang.

Betul la…manusia ini adalah makhluk persepsi dan tanggapan semua manusia tidak mungkin senada dan seirama…yang baik dijadikan sempadan dan yang kurang baik dijadikan tauladan. Ala kulli halnya…saya amat menghargai pengalaman yang saya dapat terutama pandangan salah seorang peserta bukan Melayu yang hadir pada petang itu.

Sayangnya tiada gambar kenangan yang dapat saya simpan kerana tak perasan kamera yang saya bawa rupa-rupanya tertinggal di dalam kereta…yang ada cuma gambar cenderahati kenang-kenangan dari penganjur yang saya paparkan di awal penulisan blog di atas.

Bercerita tentang Shah Alam, sebetulnya memang banyak kenangan saya di sini…saat bujang dan mendapat pekerjaan pertama dengan gaji yang agak berbaloi juga. Dari bujang ke suami orang…mendiami rumah flat di Seksyen 20 dengan kadar sewa RM450.00 yang didiami oleh hampir 95% orang India, berpindah randah ke Seksyen 27 dan yang terakhir sebelum balik ke NS menyewa selama hampir setahun di Puchong Permai. Semuanya kini tinggal kenangan…perubahan pasti akan berlaku dalam hidup setiap manusia. Paling mengejutkan saya ialah sewaktu singgah untuk solat asar di Masjid Ubudiyyah - kalau tak silap namanya la - di Seksyen 19…tak dapat saya bayangkan rupa dan bentuk asal masjid tersebut walaupun dulu, situlah tempat yang kerap saya lalu dan singgah.

Kesempatan yang ada, saya menziarahi jiran baik sewaktu menyewa si rumah flat yang saya ceritakan kadar sewanya RM450 tu…tak sangka dapat jumpa semula Kak Wan dan Pak Nik…walaupun pertemuan yang singkat dalam kadar masa lebih kurang 45 minit…banyak kisah suka duka yang dapat kami kongsikan bersama…tak sempat jumpa Fitri satu-satunya anak mereka yang sedang menunggu keputusan SPM...kali terakhir jumpa Fitri masa dia Tahun 6 sekolah rendah…dah besar panjang anak bujang Kak Wan. Teringat juga kenangan mengajar anak-anak jiran setempat mengaji al-Quran…ramai juga anak-anak murid kami dulu dalam 25-30 orang. Apa kisah mereka sekarang??? WALLAHU A’LAM.
Dari Seksyen 20 saya meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur iaitu Kolej Teknologi Makmal Perubatan, Institut Penyelidikan Perubatan yang terletak betul-betul bersebelahan Institut Jantung Negara. (Sila ikuti : KHAMIS : MUSAFIR 3 : EPISOD 2 : KUALA LUMPUR)

Read More...

RABU : MUSAFIR 2 : PUTRAJAYA

Ke Putrajaya atas urusan rasmi terutama mesyuarat adalah rutin bulanan sejak saya menanggung kerja jawatan Penguasa PPA Feb 2009. Kali ini Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan JAKIM yang dihadiri oleh semua Pengarah Bahagian. Mesyuarat ini dijalankan setiap bulan dan bagi saya ini satu pengalaman yang amat berharga terutama dalam memahami dan mendalami karektor Bos Besar kami di JAKIM. Keberanian dan keseriusan serta kelantangan beliau dalam banyak ketika menjadi ikutan betapa sifat seumpama itu memang perlu ada pada seorang yang MEMIMPIN. Dulu masa jadi pegawai biasa sesekali je turun Putrajaya, tapi sejak Feb 2009 memang agak kerap ke sana, pernah sekali dulu setiap minggu ke sana dengan pelbagai hal dan urusan. Jarak perjalanan kali ini 220 km.

Read More...

SELASA : 23 FEB : MUSAFIR 1 : LEMBAGA KOKO MALAYSIA, BANGI

Sepanjang minggu terakhir bulan Februari 2010, saya rasa amat sibuk sekali, penat pun ada, ke sana ke sini, program di pejabat, masalah kesihatan abah, jemputan ceramah, mesyuarat, sukan sekolah Wafi…itu di antaranya, bukan saya mengeluh kepenatan, cuma perjalanan untuk 1 aktiviti sahaja memakan jarak yang bukan singkat…kalau ikut perbahasan dalam ilmu fiqh ‘lebih 2 marhalah’…Selasa 23 Feb saya laksanakan solat jamak qasar, Rabu pun sama, malah Khamis pun sama. Maknanya untuk 3 hari tersebut saya musafir dari (1) Lonek - Bangi - Seremban - Jelebu - Lonek, (2) Lonek - Putrajaya - Lonek, (3) Lonek - Shah Alam - Kuala Lumpur - Lonek. Untuk 3 hari tersebut, ulang alik ulang alik, perjalanan keseluruhan saya sejauh 764 km. Bukan masalah sangat jarak tu…cuma MUSAFIR 1 dari rumah balik ke rumah semula, MUSAFIR 2 begitu, MUSAFIR 3 pun begitu juga.

Lembaga Koko Malaysia di Bangi memohon kepada JAKIM untuk menghantar penceramah sempena Maulidur Rasul dan saya dihubungi oleh Ustazah Haslinda untuk memenuhi slot tersebut. Pagi Selasa saya bertolak dari rumah ke Bangi dalam keadaan masa tu abah masih dalam situasi ‘penyakit misteri’, Insyaallah tak ada apa-apa tu cuma ‘misteri’ sikit la.

Tajuk yang diberi kepada saya ialah KEPIMPINAN DAN PENTADBIRAN RASULULLAH S.A.W. Memang saya dah stanby isi yang memang menyentuh tajuk berkenaan, namun faham-faham ajelah, bila nak dihuraikan tentang diri Rasulullah memang terlalu banyak yang boleh diperbincangkan. Sedang jangka hayat Baginda selama 63 tahun itu, manakan mungkin untuk diringkaskan kepada 2 jam sahaja. Dalam slide tu ada saya masukkan bagaimana pendekatan pentadbiran Rasulullah melantik ‘na’ibin’ atau ‘nuwwab’ (pengganti Nabi di Madinah jika Baginda keluar) yang mungkin boleh kita samakan dengan Pemangkuan sekarang. Baginda juga melantik ‘rusul’ atau duta ke negara-negara sekitar Madinah, melantik qadhi, imam, ketua hakim, membentuk Piagam Madinah, mendirikan masjid dan beberapa aspek pentadbiran yang lain, namun tidak sempat saya utarakan untuk tempoh 2 jam itu.

Saya juga ada masukkan kepimpinan Rasulullah sebagai ketua negara, ketua keluarga, tokoh pendidik terulung, pun tidak sempat saya bicarakan, namun dalam penerangan yang saya sampaikan, saya kaitkan juga dengan kepimpinan Rasulullah S.A.W walaupun tidak secara direct.

Hasilnya, dalam borang penilaian, ada yang memberi komen, isi ceramah tidak begitu menjurus kepada tajuk yang diberikan, namun banyak yang memberi komen yang baik, dan saya sendiri mengakui isi yang agak tersasar dari tajuk, namun ruang lingkup ceramah masih terfokus kepada diri Rasulullah S.A.W, kehebatan akhlak, ketajaman akal fikiran dan kebijaksanaan kepimpinan yang melayakkan Baginda diiktiraf sebagai tokoh yang sangat hebat serta tiada tandingan.

Terima kasih kepada semua warga Lembaga Koko Malaysia Bangi atas sambutan yang baik…tak sangka pulak dalam ramai-ramai tu ada seorang yang katanya macam mengenali dan pernah berjuma saya…rupa-rupanya adik ipar kepada kawan saya masa sekolah rendah dan menengah, kebetulan isterinya adalah junior saya 2 tahun semasa di sekolah dulu. Selepas selesai makan tengahari, terus saya hubungi kawan lama saya tu yang tak pernah kami jumpa selepas tamat tingkatan 3 tahun 1988…bayangkan dah 22 tahun…teringin sangat nak jumpa kawan-kawan lama masa sekolah rendah dan menengah.

Dari Bangi saya singgah ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk ambik cek bayaran fasilitator pengendalian kursus untuk kakitangan Jabatan Diatetik dan Sajian Makanan tahun lepas, kemudian sahabat saya Ustazah Azlina bawa saya melawat Iwan (anak abang Aziz) yang ditahan wad suspect appendix…walaupun bukan masa melawat, tapi sebab Azlina yang bawa…no problem…cable besar tu.

Dari hospital, saya terus ke PPA…kena ambil tahu juga keadaan SAHABAT AKIDAH yang sedang mengendalikan kursus untuk pelajar SMK Tunku Sulong, Kedah Darul Aman. Habis slot Riadhah Berkonsep saya terus balik ke Lonek. Jumlah jarak hari ini 241 km.

 



 

Read More...

Khamis, 25 Februari 2010

SAHABAT AKIDAH 3/2010

Alhamdulillah, kursus ke 3/2010 telah selamat dilaksanakan pada 17-17 Februari 2010, kali ini SAHABAT AKIDAH terdiri dari anak-anak kecil murid-murid Tahun 6 Sekolah Kebangsaan Sikamat, Seremban. Nampaknya SAHABAT AKIDAH melangkaui batasan usia bukan sekadar golongan remaja, malah kanak-kanak juga, dan satu hari nanti, keluarga SAHABAT AKIDAH merangkumi golongan dewasa, pemimpin masyarakat dan warga tua juga.

Mengendalikan anak-anak peringkat sekolah rendah tidak sesukar menghadapi mereka yang bersekolah peringkat menengah, namun ada masa dan ketikanya mereka lebih banyak kerenah berbanding mereka yang lebih dewasa. Ibu bapa pun pasti berkira-kira dalam memberi keizinan kepada anak-anak mereka untuk menghadiri kursus nun jauh di kawasan pinggir hutan.


Mujur guru-guru pengiring setia menemani anak murid sepanjang hari berkursus secara sepenuh masa, sekurang-kurangnya menghilangkan sedikit kerinduan anak-anak kepada ibu bapa mereka di rumah. KAMI juga punyai peranan dan tanggungjawab yang sangat besar bagi memastikan mereka merasa seronok dan mendapat pengalaman lain dari yang lain berbanding kursus-kursus yang mungkin mereka pernah hadiri di mana-mana sebelum ini. Alhamdulilllah…berdasarkan penelitian yang dibuat, ternyata semuanya berjalan lancar dan baik.

Melihat pada gelagat anak-anak Sikamat, fikiran serta minda terimbau kepada anak-anak Desa Cempaka yang sekian lama tidak diketahui khabar berita, tahun lepas mereka berkampung di PPA dan ketika itu semuanya di Tahun 6, maknanya tahun ni mereka dah bersekolah menengah, entah di mana ibu bapa menempatkan anak-anak untuk meneruskan pendidikan peringkat menengah.

SAHABAT AKIDAH tidak mampu memantau mereka secara keseluruhan, mudah-mudahan ibu bapa akan sentiasa memastikan anak-anak sentiasa dalam keadaan baik samada akhlak, pelajaran, pergaulan dan yang paling utama, penekanan aspek AKIDAH yang menjadi nadi dan tunjang penyelamat di alam sana.

Dalam blog ini pun ABI tak dapat nak menulis panjang, dan gambar pun dapat paparkan sedikit sahaja, sebab minggu ni (22-25 Feb 2010) banyak sangat hal nak dibuat di pejabat, balik rumah dan penat, dan masa cuti hujung minggu baru-baru ni (20-21 Feb 2010) ada pulak sedikit masalah di rumah yang tidak memungkinkan ABI on kan laptop.

Read More...