Memaparkan catatan dengan label Koleksi Artikel. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Koleksi Artikel. Papar semua catatan

Sabtu, 7 Ogos 2010

PUASA ANTARA DUA ZAMAN


Artikel ini saya namakan tajuknya “PUASA ANTARA DUA ZAMAN” merujuk kepada sejarah puasa yang turut menjadi amalan nabi dan kaum terdahulu. Umat Islam wajar dan mesti mengetahui serba sedikit sejarah ibadah puasa sebelum ianya diwajibkan kepada kaum muslimin. Puasa bukanlah ibadat baru yang hanya dikhususkan kepada umat Nabi Muhamad semata-mata, malah rutin ini pernah menjadi amalan ramai manusia sebelum perutusan Nabi Muhamad lagi. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud “wahai orang-orang yang beriman, difardhukan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana yang telah difardhukan kepada mereka yang sebelum daripada kamu, agar kamu bertakwa” ( Surah al-Baqarah : 183 ).

Melalui ayat ini jelas menyatakan bahawa ibadat puasa itu bukanlah suatu amalan yang baru bahkan kefardhuannya juga telah difardhukan kepada umat-umat terdahulu dan menjadi rutin ibadat mereka. Ayat ini juga memberi maksud bahawa kewajipan berpuasa adalah untuk melahirkan generasi yang bertakwa kepada Allah S.W.T

Persoalannya di sini, bagaimanakah bentuk dan cara umat terdahulu melakukan ibadat puasa?

Sebelum difardhukan puasa sebulan di bulan Ramadhan, Nabi Muhammad SAW telah pun biasa dengan amalan puasa. Baginda sering berpuasa sebanyak 3 hari setiap bulan iaitu pada 13, 14 dan 15 haribulan dalam kalendar Islam. Amalan berpuasa 10 Muharram turut menjadi amalan orang-orang Quraisy Makkah, orang-orang Yahudi dan Nasrani di Madinah. Amalan berpuasa di hari tersebut terus menjadi amalan Rasululah SAW setelah hijrah baginda ke Madinah sehinggalah turun ayat kefardhuan puasa Ramadhan pada tahun ke 2 hijrah.

Orang-orang Yahudi di Madinah mewarisi amalan puasa ini daripada Nabi Musa yang diriwayatkan telah berpuasa bersama-sama kaumnya setelah mereka diselamatkan oleh Allah daripada buruan Firaun dan bala tenteranya.

Syeikh Muhammad Ali as-Sabuni di dalam kitabnya ‘Tafsir Ayat-Ayat Hukum’ telah menjelaskan bahawa kefadhuan puasa kepada orang-orang Yahudi dan Nasrani juga adalah selama sebulan tetapi mereka sengaja menukar waktu dan bilangan harinya yang sepatutnya dikerjakan selama sebulan itu sehingga menjangkau 50 hari. Ini adalah kerana ahli-ahli kitab kadang-kadang meninda-minda jumlah berpuasa ketika datangnya musim panas atau sejuk. Atas alasan terlalu sejuk dan terlalu panas mereka telah menukarnya supaya puasa itu dilaksanakan pada musim bunga.

Puasa juga telah menjadi ibadat nabi-nabi terdahulu sebelum Nabi Muhammad. Nabi Adam dan Hawa adalah manusia pertama berpuasa untuk membersihkan diri kerana memakan buah khuldi yang menjadi larangan Allah sewaktu mereka di dalam syurga.


Nabi Daud pula telah berpuasa selang sehari dan puasa baginda diibaratkan oleh Allah sebagai puasa yang amat mulia. Perkara ini dinyatakan oleh sendiri oleh Nabi Muhammad SAW melalui sabdanya yang bermaksud “puasa yang amat dikasihi oleh Allah adalah puasa nabi Daud yang berpuasa sehari dan berbuka sehari”.
Nabi lain yang dikatakan turut berpuasa ialah Nabi Daniel, Nabi Musa, Nabi Zakaria, Nabi Isa dan golongan penyokongnya yang dikenali sebagai al-Hawariyun.

Nabi Musa ketika bermunajat kepada Allah di Bukit Tursina selama 40 hari 40 malam, baginda telah berpuasa dari memakan roti dan meminum air. Setelah diselamatkan oleh Allah daripada buruan Firaun dan tenteranya, Nabi Musa juga telah berpuasa bersama-sama kaumnya Bani Israil.

Nabi Isa diriwayatkan pernah berpuasa selama 40 hari manakala di kalangan penyokongnya iaitu al-Hawariyun berpuasa daripada makan daging, ikan, telur dan susu.

Kaifiat atau bagaimana keadaan puasa nabi-nabi dan umat terdahulu, tidaklah dinyatakan secara jelas dan terpeinci baik melalui wahyu Allah ataupun pernyataan daripada Nabi mahupun kenyataan daripada para ulama melalui penulisan mereka. Maklumat yang diketahui adalah seperti yang dinyatakan sebelum ini. Namun bolehlah disimpulkan bahawa keadaan itu adalah lebih diketahui oleh Allah SWT.

Kita sebagai seorang Islam hendaklah meyakini bahawa segala apa yang difardhukan oleh Allah SWT ke atas hamba-hambaNya pasti mengandungi pelbagai rahsia dan hikmat yang tersurat dan tersirat. Semuanya akan diberi pahala yang setimpal di atas kesunguhan seseorang muslim melaksanakan syariat tersebut.

Rahsia Allah SWT menyebut bahawa ibadat puasa itu sebenarnya telah pun difardhukan kepada umat-umat terdahulu adalah berdasarkan kepada beberapa hikmat iaitu :

1. Supaya orang-orang Islam tidak merasa kewajipan puasa itu suatu beban yang memberatkan dan menyusahkan. Kalaulah kaum terdahulu boleh berpuasa, maka sudah pasti ia tidak akan mendatangkan masalah kepada umat Nabi Muhammad SAW. Jika seseorang Islam mengetahui bahawa kaum terdahulu juga turut merasakan kepayahan berpuasa, maka ia akan memberi keinsafan bahawa kesusahan tersebut telah turut dirasai oleh orang-orang lain. Maka tiada alasan kepada orang-orang Islam untuk mencuaikannya.

2. Ia juga adalah sebagai satu cabaran kepada orang-orang Islam supaya meningkatkan keazaman semaksima mungkin untuk menunaikan ibadat itu sebaik-baik mungkin supaya kaum muslimin tidak mengabaikannya. Bukankah orang-orang Islam disifatkan oleh Allah di dalam al-Quran sebagai sebaik-baik ummat. Jika beginilah keadaannya, pastilah kualiti puasa itu menjadi lebih baik dan berkualiti.

3. Ia juga menunjukkan keseragaman atau kesinambungan ibadat Nabi Muhammad dengan nabi sebelumnya. Terdapatnya persamaan dari sudut amalan yang dilakukan untuk menghampirkan diri kepada Allah SWT. Penurunan syariat kepada Nabi Muhammad adalah syumul dan lengkap yang telah menasakhkan atau membatalkan amalan-amalan nabi dan uamt terdahulu.

4. Ia turut menjelaskan kaitan dan hubungan yang amat rapat di antara nabi Muhammad dan nabi-nabi terdahulu dari sudut perutusan mereka sebagai pesuruh Allah. Ia memberi maksud bahawa Nabi Muhammad SAW telah mewarisi syariat nabi terdahulu dan bagindalah yang menyempurnakannya. Nabi SAW sendiri pernah menjelaskan bahawa bandingan baginda dengan nabi terdahulu adalah ibarat batu-bata yang tersusun untuk binaan sebuah rumah, kecuali ditinggalkan satu lagi batu bata untuk melengkapkan binaan rumah tersebut dan baki satu batu bata yang dimaksudkan itu ialah Nabi Muhammad sendiri yang apabila diletakkan batu-bata itu ditempat yang dikosongkan, maka sempurnalah rumah tersebut.


Read More...

Khamis, 29 Julai 2010

RAMADHAN 1 (1431 H)

KEUTAMAAN RAMADHAN KEPADA UMAT NABI MUHAMMAD S.A.W.

Umat Islam di seluruh pelusuk dunia kini sedang berada di ambang Ramadhan yang akan datang menemui insan beriman tidak berapa lama lagi. Resam orang bertakwa pastinya tidak sabar menunggu bulan yang dianggap terbaik dan termulia dari sekelian bulan kerana itulah masa yang paling berharga untuk dipenuhi dengan pelbagai amalan mulia.

Ramadhan adalah bulan yang paling mulia dari sekelian bulan yang dianugerahkan khas oleh Allah S.W.T. kepada umat Islam. Ini adalah kerana terdapat amat banyak kelebihan dan kemuliaan di dalam bulan tersebut yang tidak terdapat pada bulan lain. Lantaran itulah Rasulullah s.a.w. menyebut di dalam sabdanya yang bermaksud "Sekiranya umatku mengetahui kebesaran dan kelebihan Ramadhan, nescaya mereka akan meminta Ramadhan itu setahun penuh ”.

Kelebihan yang diberikan oleh Allah bukan hanya diperolehi apabila masuknya detik 1 Ramadhan, malah sebelum kedatangannya juga telah dijanjikan dengan pahala dan balasan baik dari Allah. Ini bertepatan dengan maksud hadith “Sesiapa yang bergembira dengan kedatangan bulan Ramadhan akan diharamkan dirinya dari simbahan api neraka ”.

Berikut ini akan dinyatakan beberapa keutamaan bulan Ramadhan antaranya ialah :
1. Bulan diwajibkan berpuasa. Satu-satunya bulan yang difardhukan untuk berpuasa ialah Ramadhan. Ia mula diwajibkan pada tahun ke 2 hijrah dan hukumnya akan kekal sehingga hari kiamat sebagai ibadah yang sangat penting untuk menundukkan hawa nafsu mazmumah agar seseorang itu benar-benar mengagungkan Allah S.W.T, mematuhi segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Terdapat banyak kelebihan yang akan dikurniakan oleh Allah kepada mereka yang berpuasa. Abu Hurairah ada meriwayatkan satu hadith daripada Rasulallah s.a.w. yang bermaksud “Puasa itu perisai, maka janganlah kamu mencela dan berkata-kata kotor, jika ada seseorang yang mahu mencelanya, katakanlah kepadanya : sesungguhnya aku ini berpuasa - 2 kali -. Demi diriku yang berada di tanganNya, bahawasanya bau mulut orang yang berpuasa itu adalah lebih wangi di sisi Allah daripada bauan kasturi, dia berpuasa dengan meninggalkan makanan, minuman dan nafsu syahwatnya semata-mata keranaKu. Ibadat puasa itu adalah untukKu dan Akulah yang akan memberi balasan pahala kepadanya, dan setiap satu kebajikan itu akan dilipat gandakan dengan sepuluh kali ganda”. ( Hadith riwayat al-Bukhari ).

Matlamat dari tujuan puasa ialah untuk melahirkan manusia yang benar-benar bertakwa kepada Allah S.W.T dengan syarat puasa yang dilakukan sempurna tanpa ada cacat dan celanya mengikut syarat dan rukun yang telah ditetapkan.

2. Bulan kerahmatan, keampunan dan pembebasan dari api neraka. Ini berdasarkan kepada hadith Nabi yang bermaksud “Awalnya adalah kerahmatan, pertengahannya ialah keampunan dan penghujungnya ialah pembebasan dari api neraka ”. Hadith ini menjelaskan bahawa Ramadhan itu mempunyai 3 peringkat yang jika dilalui dengan baik akan melahirkan manusia yang benar-benar bertakwa kepada Allah S.W.T.

3. Bulan diturunkan al-Quran. Maksud firman Allah S.W.T di dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 185 “Bulan Ramadhan itu adalah bulan diturunkan al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan keterangan-keterangan tentang petunjuk tersebut dan pemisah di antara yang hak dan yang batil ”.

Ayat al-Quran pertama diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad ialah ayat 1-5 surah al-Alaq ketika baginda beruzlah di Gua Hira. Datanglah Malaikat Jibril membawa wahyu dari Allah sebagai isyarat perlantikan baginda sebagai nabi dan rasul. Peristiwa ini berlaku pada 17 Ramadhan.

Sesungguhnya kitab lain yang diturunkan oleh Allah kepada para rasul turut berlaku pada bulan Ramadhan. Suhuf Nabi Ibrahim diturunkan pada malam 1 Ramadhan, Kitab Taurat pada 6 Ramadhan, Kitab Injil pada 13 Ramadhan dan kitab Zabur pada tanggal 12 Ramadhan.

4. Ramadhan adalah bulan kemenangan. Ini merujuk kepada kemenangan tentera Islam di dalam Perang Badar dan penaklukan Kota Makkah yang berlaku pada bulan Ramadhan. Perang Badar adalah peperangan pertama dalam sejarah Islam berlaku pada 17 Ramadhan 2 tahun selepas hijrah baginda ke Madinah. Walaupun kurang dari sudut bilangan tentera dan alat persenjataan, tentera Islam mencapai kemenangan yang kemudiannya telah menguatkan lagi kedudukan orang Islam dan penyebaran agama Islam. Peperangan yang dianggap sebagai penentu jatuh bangun Islam telah dirakamkan oleh Allah di dalam al-Quran surah Ali Imran ayat 123 maksudnya “Sungguh Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar padahal kamu pada ketika itu orang-orang yang lemah”.

Manakala peristiwa Pembukaan Kota Makkah berlaku pada 20 Ramadhan tahun ke 8 hijrah. Ia berlaku disebabkan perbuatan Musyrikin Quraisy yang telah melanggar isi Perjanjian Hudaibiah.

Melihat kepada kedua-dua kemenangan ini dicatatkan berlaku pada bulan Ramadhan. Ia adalah sebagai manifestasi pengabdian diri kepada Allah bahawa puasa bukanlah halangan bagi terhasilnya suatu kemenangan. Para Sahabat Nabi diibaratkan sebagai rahib yang kuat beribadat di waktu malam sedang pada siang harinya seumpama kuda yang ligat dan tangkas pergerakannya.

5. Bulan penghapus doa. Sabda Nabi s.a.w. yang maksudnya “Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat, Ramadhan ke Ramadhan adalah penghapus dosa yang dilakukan antara kedua-dua tempoh tersebut, asal sahaja bukan dosa besar”.

Di dalam satu hadith lain, Nabi s.a.w. telah bersabda yang bermaksud “Sesiapa yang menghidupkan bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu”.

6. Di dalam bulan Ramadhan adanya satu malam yang digambarkan oleh Allah S.W.T sebagai malam yang lebih baik dari seribu bulan. Malam yang dimaksudkan ialah Lailatul Qadar, malam penuh kemuliaan dan ketinggian yang akan diberikan kepada orang beriman yang bermujahadah mencari keredhaan Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud “Pada bulan Ramadhan ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Sesiapa yang diharamkan baginya kebajikan pada malam itu, dia akan diharamkan daripada segala kebajikan”.

Rasulullah s.a.w. telah menyatakan bahawa bahawa malam al-Qadar itu hanya dikhaskan dan diberikan kepada umatnya sahaja dan tidak diberikan sebelumnya kepada kaum dan umat terdahulu. Lantaran itulah baginda menyarankan kepada umatnya supaya menghidupkan 10 malam terakhir Ramadhan kerana Lailatul Qadar dianugerahkan Allah pada salah satu dari malam tersebut. Kesungguhan Rasulullah s.a.w. terhadap malam tersebut menyebabkan baginda beriktikaf di masjidnya di samping memerintahkan sekelian ahli keluarganya supaya berjaga agar dapat memperolehi Lailatul Qadar.

7. Solat Tarawih hanya didirikan pada malam Ramadhan dan tidak pada malam pada bulan selainnya. Tradisi amalan menghidupkan malam Ramadhan dengan solat tarawih bermula sejak zaman Rasulullah dan kekal sehingga ke hari ini. Walaupun terdapat perbezaan dari sudut jumlah rakaatnya, tetapi yang penting ianya dilaksanakan samada secara berjemaah mahupun secara bersendirian.

Di dalam satu hadith, Rasulullah s.a.w. bersabda sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah maksudnya “Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan kerana Allah nescaya akan diampunkan dosanya yang lalu”.

Walaupun hadith ini secara umum menerangkan tentang amal ibadat malam Ramadhan, Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa qiam Ramadhan yang dimaksudkan ialah mengerjakan Solat Tarawih.

Amat bertuahlah kepada umat Nabi Muhammad kerana dianugerahkan dengan bukan Ramadhan yang diibaratkan sebagai bulan terbaik dengan terkandung di dalam bulan tersebut pelbagai kurniaan dan kelebihan.

Sabda Rasululah s.a.w. daripada Abu Hurairah maksudnya “Umatku diberi Allah 5 perkara di bulan Ramadhan yang tidak diberi kepada umat-umat terdahulu :
• bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi
• malaikat akan memohon keampunan kepada Allah untuk orang-orang berpuasa sehingga sampai waktu berbuka
• syaitan dibelenggu sehingga mereka tidak boleh berleluasa seperti biasa
• Allah akan menghiasi syurga setiap hari ( sebagai kurniaan untuk orang yang berpuasa )
• Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka yang berpuasa sehingga akhir bulan Ramadhan.
 

Read More...

Rabu, 10 Mac 2010

JERNIHKAN ROHANI, KUATKAN JASMANI TERAS PEMBENTUKAN UMMAH TERBILANG

Pembentukan ummah terbaik dan terbilang sebenarnya berpunca dari kekuatan luaran dan dalaman atau dengan ungkapan yang lebih jelas, kekuatan dan kejernihan rohani serta jasmani yang berdiri seiring saling imbang mengimbangi, tanpa memberatkan satu unsur dengan mengenepikan unsur yang lain.

Keseimbangan inilah yang menjadi tunggak asas dan tunjang kecemerlangan umat Islam sejak detik awal penyebaran Islam di zaman Rasulullah S.A.W. sehinggalah ke zaman ini. Itulah yang menjadi prinsip utama keseimbangan dan kesederhanaan dalam Islam. Justeru, tamadun Islam yang gemilang, sebenarnya diasaskan atas dasar akidah, iaitu suatu nilai kerohanian tertinggi. Ini diperkuatkan dengan unsur syariah yang menjadi tulang belakang kekuatan jasmani sehingga Islam tertegak utuh di Semenanjung Tanah Arab sehingga melangkaui sempadan dunia dan ufuk benua.

Kejernihan dan kemurnian rohani merujuk kepada kebersihan hati dan kesucian jiwa yang menjadi tumpuan utama pandangan Allah terhadap hambaNya. Dalam sebuah hadith dinyatakan bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda daripada Abu Hurairah yang bermaksud : “sesungguhnya Allah S.W.T tidak memandang kepada jisim dan rupa paras kamu, tetapi Dia melihat kepada hati dan amalan kamu” (Riwayat Muslim).

Rohani ibarat raja dalam diri manusia yang akan menentukan baik atau buruknya individu. Hadith keenam dalam himpunan Hadith 40 susunan Imam al-Nawawi ada menyebut daripada Abi Abdullah al-Nu’man bin Basyir, beliau mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : “ingatlah dan bahawasanya dalam jasad manusia itu ada seketul daging yang apabila baik daging tersebut, maka baiklah jasad keseluruhannya, dan jika rosak daging tersebut maka akan rosaklah jasad keseluruhannya, ingatlah, itulah dia hati” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dua petikan hadith ini menggambarkan betapa pentingnya peranan roh yang menggerakkan jasad dan fizikal manusia dalam menggembangkan tanggungjawabnya membina peradaban dunia.

Kecantikan rohani akan menggambarkan keindahan jasmani. Seumpama orang yang ingin mengerjakan solat, mesti memastikan tempat solat dan pakainnya bersih, tetapi terlebih dahulu, untuk menghadap Ilahi, persoalan rohani mestilah terlebih dahulu disucikan. Jika pakaian terkena najis, ia dianggap tercemar, begitu juga jika rohani penuh dengan dosa dan maksiat, maka solat yang didirikan seolah-olah tiada makna. Apabila pakaian yang kotor mudah dibersihkannya, tetapi adakah ramai dari kalangan manusia memikirkan bagaimana hendak membersihkan rohaninya yang telah kotor?

Maka amat tepatlah seruan Allah S.W.T kepada umat manusia agar memperbanyakkan mengingatiNya supaya kemurnian rohani dapat dipertingkatkan semaksima mungkin dalam menggalas amanah mendaulatkan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Firman Allah S.W.T dalam al-Quran yang bermaksud : “ingatlah bahawa dengan mengingati Allah itu akan memberi ketenangan kepada hati” (Surah al-Ra’d : 28).

Allah S.W.T juga menjamin pulangan yang baik di sisiNya kepada individu yang sentiasa berusaha membersihkan rohaninya melalui ayat suci al-Quran yang bermaksud : “sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya” (Surah al-Syams : 9-10).

Dalam membangunkan modal insan bagi membentuk sebuah umat terbaik dan gemilang, kecemerlangan tidak hanya terhenti kepada kejernihan rohani semata-mata tetapi ia perlu diseimbangkan dengan kekuatan jasmani, kerana ummah yang unggul tidak akan dapat dibina oleh mereka yang lemah fizikal serta kurang daya ketahanan diri.

Faktor kejayaan hadharah silam sejak zaman Rasulullah s.a.w. didokong kuat oleh generasi muslim yang kental, hebat dan gagah perkasa fizikalnya di samping kekuatan rohani yang utuh dalam diri. Dengan sebab itulah terdapat banyak pernyataan baginda yang menekankan kepada kekuatan lahiriah yang sewajarnya perlu ada pada setiap individu muslim.

Sebuah hadith daripada Abu Hurairah yang bermaksud : “orang mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih dikasihi di sisi Allah daripada orang mukmin yang lemah” (Riwayat Muslim).

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebut bahawa kuat yang dimaksudkan dalam hadith ini ialah kuat badan dan jiwa. Kekuatan inilah yang dapat dan mampu melaksanakan pelbagai bentuk ibadah seperti haji, puasa, amar makruf dan nahi mungkar, sedang orang yang lemah tiada mampu untuk melaksanakannya.

Bagaimana mungkin orang yang lemah mampu untuk memikul satu tanggungjawab berat terutama dalam zaman yang memerlukan pelbagai kepakaran dan kemahiran ikhtisas. Justeru, tidak hairanlah pemilihan Nabi Musa sebagai pekerja Nabi Syuaib kerana faktor kekuatan jasmani yang ada pada baginda. Hal ini jelas dirakamkan oleh Allah S.W.T melalui firmanNya daripada nukilan kata-kata anak perempuan Nabi Syuaib yang bermaksud : “wahai ayahku, ambillah dia (Musa) sebagai orang yang bekerja (kepada kita), kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah orang yang kuat lagi dipercayai.” (Surah al-Qasas : 26).

Paparan sejarah silam menjadi contoh tauladan kepada manusia kini dalam mengambil model insan yang disifatkan mempunyai keberanian dan kekuatan jasmani. Sebagai contoh Nabi Daud a.s yang terkenal dengan kehebatannya melunturkan besi waja yang keras. Firman Allah S.W.T yang bermaksud : “dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Daud kurnia dari Kami. Hai gunung-gunung dan burung-burung, bertasbihlah berulang-ulang kali bersama Daud, dan Kami telah melunakkan besi untuknya. Buatlah baju besi yang besar-besar dan ukurlah anyamannya, dan kerjakanlah amalan yang soleh, sesungguhnya Aku melihat apa yang kamu kerjakan” (Surah Saba : 10-11).

Rasulullah S.A.W. sendiri adalah insan hebat yang mempunyai kemurnian rohani dan kekuatan jasmani. Manakan mampu Baginda bertindak sebagai pemimpin orang Islam di zamannya dan dalam masa yang sama Bagindalah yang bertindak sebagai ketua angkatan tentera, hakim pemutus segala permasalahan rakyat, tokoh guru dan pendidik terulung, bapa dan suami mithali, imam yang mengetuai solat jamaah, perancang ekonomi negara dan sebagainya, jika tidak punyai kekuatan fizikal dan mental.

Seorang sahabat bernama al-Barra’ menceritakan : “bahawasanya Rasulullah ketika di medan peperangan, amatlah gagah perkasa, keberaniannya sehingga baginda adalah orang yang paling hampir dan dekat dengan musuhnya”. Justeru itulah, apabila turunnya ayat Allah yang memerintahkan kaum muslimin berjihad, maka Rasulullah S.A.W. dengan segera akan memberi semangat kepada para sahabat supaya segera bangun dan bingkas menyahut cabaran dengan penuh keberanian. Malah secara praktikalnya, Bagindalah yang paling awal menggerakkan para sahabatnya agar segera berjuang.

Allah S.W.T juga memperingatkan kepada kaum muslimin agar sentiasa melakukan apa sahaja pekerjaan dengan kekuatan roh dan jasmani sehinggakan dalam keadaan yang amat genting berhadapan dengan pihak musuh sekalupun disarankan agar memperkukuhkan barisan. Jika susunan itu lemah dan longlai, maka ia akan membuka kepada pintu-pintu kekalahan . Firman Allah S.W.T yang bermaksud : “sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang di jalanNya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti satu bangunan yang tersusun kukuh.” (Surah al-Shaff : 4).

Kekuatan dua unsur inilah yang telah melahirkan generasi para sahabat yang diibaratkan seperti ruhban bill ail wa fursan bin nahar (seumpama rahib di malam hari dan singa ganas di siang hari).

Pengabaian salah satu unsur sama ada rohani mahupun jasmani adalah faktor yang menyebabkan kegagalan dalam mencapai kejayaan dalam hidup. Persitiwa dalam Perang Badar dan Uhud harus menjadi iktibar, dengan semangat kekuatan rohani dan jasmani, umat Islam mendapat kejayaan. Begitu jua sebaliknya kelemahan iman dan fizikal boleh menyebabkan kekalahan dan kegagalan dalam mencapai cita-cita.

Kesepaduan inilah sebenarnya yang akhirnya menghasilkan keredhaan dan pahala daripada Allah S.W.T. FirmanNya dalam al-Quran yang bermaksud : “tidaklah sama antara mukmin yang duduk (tidak turut berjuang dan berperang) yang tidak mempunyai keuzuran, dengan orang-orang yang duduk (tidak berperang kerana lemah dan uzur) dengan satu darjat. Kepada mereka Allah menjanjikan pahala yang baik (syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad daripada orang yang duduk dengan lebihan pahala yang amat besar.” (Surah al-Nisa’ ayat 95).

Sebagai memetik idea yang dikupas oleh al-Syeikh Sayyid Sabiq dalam bukunya “Unsur Kekuatan Dalam Islam”, beliau menyenaraikan gandingan kesucian rohani dan kekuatan fizikal mestilah ada dan ia dianggap sebagai syarat kemenangan umat Islam dulu, kini dan selamanya. Kemurnian dan kekuatan itu juga datang dari sudut akidah, akhlak, ilmu pengetahuan, ekonomi, sosial dan jihad.

Kekuatan unsur ini jugalah yang menjadi sebab faktor utama berjayanya Sultan Muhammad al-Fateh membuka Kota Kostantinopel yang sebelumnya tidak pernah dibuka untuk satu tempoh masa yang sangat panjang. Isyarat Nabi Muhammad S.A.W yang menyebut bahawa kota itu akan dibuka oleh pemimpin yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik ada pada Sultan Muhammad, para tentera yang bersama-sama dengannya dalam usaha menakluk kota tersebut dan ketinggian akhlak serta jiwa rakyat di bawah naungannya.

Bayangkan betapa pada hari kota itu berjaya di buka, di saat untuk melantik imam solat Jumaat, kriteria pemilihan dilihat kepada mereka yang tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat rawatib dan ibadah malam. Semua tentera baginda dilihat tiada seorang pun yang pernah meninggalkan solat fardhu semenjak baligh, sebahagian dari mereka pernah meninggalkan solat rawatib, dan hanya baginda seorang sahaja sejak baligh yang tidak pernah meningalkan qiammullail.

Sesungguhnya kekuatan rohani ini, ditambah dengan kekuatan fizikal yang yang sememangnya dilatih kepada baginda sultan semenjak kecil melayakkan Sultan Muhammad sebagai insan yang membenarkan sabdaan yang pernah diungkapkan oleh Baginda S.A.W.

Read More...

Ahad, 7 Februari 2010

ARTIKEL RUANGAN AGAMA BERITA HARIAN

Alhamdulillah...dalam kesibukan tugas dan tanggungjawab di tempat kerja, walau sesibuk mana, akan tetap saya peruntukan masa untuk penulisan. Jumaat lepas 5 Februari 2010, Alhamdulillah, artikel saya disiarkan dalam ruangan Agama Berita Harian, InsyaAllah ada dilampirkan bersama dalam blog ini. Sekarang saya masih dalam proses menyiapkan buku berkaitan pengurusan jenazah bersama seorang sahabat Mohd Hariri yang kini bertugas di USIM. Memang ada kalanya mood untuk menulis sekejap datang sekejap hilang...namun akan saya usahakan juga. Biasanya kalau tak berapa penat, selepas balik dari pejabat, waktu malamlah saya akan on kan laptop untuk menyelesaikan mana-mana penulisan dan menulis tajuk-tajuk baru. Sama juga ketika cuti hujung minggu. Moga Allah permudahkan segala urusan Amin Ya Rabbal Alamin.1 manuskrip dah hantar ke PTS tapi masih belum dapat perkhabaran...harap-harap lulus untuk dicetak. Buku sulung dalam proses ulang cetak. Rabbi Yassir Wa La Tu'assir Ya Karim.

SURUHAN BERLAKU ADIL DALAM SEGALA TINDAKAN
Salah satu daripada akhlak mulia penghias diri Rasulullah S.A.W yang sewajarnya menjadi ikutan ummah ialah adil dalam setiap perlakuan, tindakan dan hukuman. Adil bermaksud meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Justeru apabila seorang majikan mengambil seseorang untuk bekerja di syarikatnya dengan kelayakan akademik yang bersesuaian dengan bidang pekerjaannya juga atas dasar pengalaman sedia ada, maka majikan tersebut telah berlaku adil kepada pekerjanya.

Begitu juga dalam hal menjatuhkan hukuman atas sesuatu kesalahan yang sama, jika seorang guru disiplin bersikap pilih kasih menghukum pelajar biasa dengan hukuman yang berat sedangkan mereka yang berjawatan pengawas sekolah diringankan hukuman, maka ternyata guru tersebut bertindak zalim dan tidak berada di atas neraca keadilan.

Sesungguhnya skop perbincangan mengenai soal adil ini sangat meluas, merangkumi setiap aspek kehidupan manusia, samada yang bernama suami, isteri, anak, kawan, majikan, pekerja, pemimpin, orang bawahan, ibu, bapa dan sebagainya pasti berhadapan dengan persoalan adil dalam melakukan sesuatu perkara.

Hal ini turut disentuh oleh al-Quran dalam banyak ayat dengan contoh dan situasi yang berbeza, semuanya memberi satu gambaran bahawa berlaku adil dalam kehidupan adalah suatu tuntutan.

Berikut ini adalah antara ruang lingkup perbahasan mengenai adil, keadilan, pengadilan menurut kacamata al-Quran :

1. Menulis dengan adil dalam urusan hutang puitang.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud : “wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang puitang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu, dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar)” (Surah al-Baqarah : 282).

2. Keharusan berpoligami jika dapat berlaku adil terhadap para isteri.
Perkahwinan merupakan salah satu tuntutan agama bagi membina sebuah rumahtangga dan asas kepada perkembangan sesebuah masyarakat. Mereka yang mempunyai cukup syarat disunatkan berkahwin dalam memastikan berlakunya kelangsungan generasi manusia untuk masa yang mendatang. Pensyaritan perkahwinan juga sebagai kaedah mencegah daripada perlakuan dosa dan maksiat lantaran tuntutan hawa nafsu manusia yang adakalanya sukar dikawal. Syarak juga membenarkan seorang suami berkahwin lebih dari seorang isteri dengan syarat, lelaki tersebut mampu untuk berlaku adil terhadap semua isteri-isterinya.

Adil dalam konteks ayat keharusan berpoligami ini ialah sekiranya suami mampu untuk adil dari sudut kasih sayang iaitu mengasihi para isteri secara sama rata tanpa membezakan isteri pertama atau kedua, yang tua ataupun isteri yang muda.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : “maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain), dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri) kamu, maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja” (Surah al-Nisa : 3)

3. Ayat al-Quran menegaskan walaupun poligami itu dibenarkan, amat sukar sebenarnya untuk para suami berlaku adil terhadap semua isteri-isterinya.
Hal ini dinyatakan dalam surah yang sama ayat 129 yang bermaksud : “dan kamu tidak akan dapat berlaku di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya), oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau-lampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayang), sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awang-awang), dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” (Surah al-Nisa’ : 129).

4. Suruhan menegakkan keadilan dalam penghukuman.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : “sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil” (Surah al-Nisa : 58).

5. Suruhan menegakkan keadilan dalam penghukuman dan penyaksian.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : “wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan, dan jika kamu memutarbelitkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan” (Surah al-Nisa : 135).

6. Tegakkan keadilan dan kebenaran.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : “wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran, dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa, dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan” (Surah al-Maidah : 8).

Dalam ayat yang lain, Allah S.W.T berfirman maksudnya : “sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat, dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya” (Surah al-Nahl : 90).

7. Adil dalam keterangan, percakapan dan menyempurnakan sukatan serta timbangan.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : “dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri), dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil - Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya – dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu), dan perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat (mematuhinya)” (Surah al-Anaam : 152).

8. Damaikan persengketaan secara adil.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : “dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya, jika salah satu daripadanya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah, jika ia kembali patuh, maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kaum (dalam segala perkara), sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil” (Surah al-Hujurat : 9)

9. Perintah membuat timbangan dengan adil dan tepat dalam berjual beli.

Sebagai seorang peniaga, salah satu sifat mulia ialah tepat dalam timbangan, maka jika ia tidak dilaksanakan, maka ia dianggap satu ketidakadilan dan perbuatan khianat. Dalam hal ini, Allah S.W.T sangat mengalakkan perlakuan adil dalam sukatan, tidak boleh dikurangkan tetapi jika ingin dilebihkan sedikit, itu dianggap sebagai satu amal kebajikan yang baik.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : “dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil, yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik-baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak” (Surah al-Isra’ : 35).

Dalam ayat yang lain, Allah S.W.T berfirman maksudnya : “hendaklah kamu menyempurnakan sukatan cupak - gantang, dan janganlah kamu menjadi golongan yang merugikan orang lain. Dan timbanglah dengan neraca yang betul timbangannya” (Surah al-Syuaraa’ : 181-182).

10. Balasan buruk tidak berlaku adil, walaupun dalam membuat timbangan dan sukatan.

Maka apabila perintah tersebut dilakukan dengan adil dan saksama, maka balasan baik akan diberikan oleh Allah S.W.T, justeru, pastilah bagi mereka yang mengabaikannya, akan dijanjikan pula dengan balasan buruk daripada Allah.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : “kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang -cupak) dari orang lain, mereka mengambilnya dengan cukup. Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi” (Surah al-Mutaffifin : 1-3).

Sebagai kesimpulan, sikap adil perlu ada dalam diri setiap muslim dalam segala hal dan keadaan. Selagi keadilan itu dijunjung dan dipertahankan, selagi itulah neraca kebenaran akan sentiasa berada dalam jiwa orang-orang yang beriman. Sesungguhnya sikap adil ini pasti mampu menjadi ubat kepada pelbagai jenis penyakit yang melanda umat Islam jika ia benar-benar dihayati dan menjadi batu asas dalam setiap gerakan dan tindakan.




Read More...

Ahad, 27 Disember 2009

AMALAN BERMUHASABAH, SUATU TUNTUTAN AGAMA

Alhamdulillah...hari ini bersamaan 11 Muharram 1431 H, bermakna suku pertama bulan pertama kalendar tahun baru Hijri telah dilalui oleh setiap individu muslim yang menghuni bumi ciptaan Allah S.W.T ini. Manakala tahun baru masihi pula akan tiba 4 hari sahaja lagi. Biasanya di setiap awal tahun ada sahaja di kalangan kita yang memasang azam mahukan sesuatu yang lebih baik untuk tahun yang mendatang...namun ramai yang terlalu ghairah berazam sedang dalam masa yang sama melupai amalan bermuhasabah tentang prestasi dan pencapaiannya untuk setahun yang telah ditinggalkan. Azam dan muhasabah mempunyai perkaitan yang sangat rapat kerana melalui amalan muhasabah...seseorang dapat mengenalpasti kelemahan dan kekuatannya bagi memperbaharui azam yang baru. Begitu juga penilaian dari sudut kejayaan dan kegagalan dalam perlaksanaan sesuatu pekerjaan memberi impak yang sangat berkesan dalam memastikan azam yang baru tersemat dapat direalisasikan dalam keadaan yang maksimum.

Bersama ini saya "attach" salah satu artikel saya yang turut terhimpun dalam himpunan antologi artikel 30 Akhlak Mulia. Sesiapa yang memiliki buku tersebut boleh dapatkannya dalam salah satu tajuk dalam buku tersebut, namun bagi yang tidak memiliki buku tersebut, boleh kita kongsi-kongsikan bersama melalui apa yang terpapar di sini. Moga ada manfaatnya.

AMALAN BERMUHASABAH, SUATU TUNTUTAN AGAMA

Amalan bermuhasabah atau menilai diri amat dituntut oleh Allah S.W.T. kepada semua manusia. Tanpa sebarang pengecualian, ia wajar menjadi amalan setiap individu samada pemimpin, majikan, pekerja, suami, isteri, anak dan sebagainya. Selain daripada untuk meningkatkan lagi kualiti hidup ia adalah sebagai satu kaedah mengatasi dan memperbaiki kelemahan, kekurangan dan kecacatan diri.

Seseorang yang sentiasa menilai diri, menginsafi kesalahan dan kekurangan lantas melakukan perubahan yang positif ke arah kebaikan yang dikehendaki agama adalah lebih baik daripada mereka yang ego dan sombong yang tidak pernah mengakui kesilapan diri sendiri.

Menurut perspektif Islam, muhasabah adalah satu jalan untuk menyelamatkan seseorang daripada ditimpa bencana dan kesusahan hidup di dunia demi keselamatan hidup di hari akhirat kelak. Untuk mendapat ganjaran pahala yang besar sewaktu hitungan amalan di mahsyar tidak akan dapat dicapai jika manusia merasakan dirinya sentiasa baik dan tidak berusaha untuk mencapai sesuatu yang lebih baik dalam hidupnya. Maka dengan sebab itu apabila seseorang itu bermuhasabah, akan dapat dirasakan betapa kurang dan lemah dirinya di hadapan Allah malah dia akan sentiasa mengingkatkan amalannya untuk lebih berjaya.

Galakan bermuhasabah dirakamkan oleh Allah S.W.T dalam al-Quran yang bermaksud “wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang akan dilakukan untuk hari esok (akhirat)” (Surah al-Hasyr : 18).

Ayat tersebut menjelaskan bahawa seseorang itu hendaklah sentiasa memikirkan apa yang sepatutnya dilakukan berdasarkan apa yang telah dilaksanakan sebelumnya kerana perancangan yang teliti hasil dari muhasabah akan membuahkan hasil yang lebih baik.

Lantaran itulah Saidina Umar al-Khattab pernah berkata melalui kata-katanya yang masyhur “hisablah (hitunglah) dirimu sebelum engkau dihisab oleh Allah di hari akhirat kelak”.

Jelas menunjukkan bahawa individu muslim yang inginkan kebaikan dalam hidup hendaklah sentiasa menghitung dirinya dari sudut kelemahan yang kekurangan dirinya bukannya menghitung segala kebaikan yang pernah dilakukan. Jika dihitung amalan kebaikan semata-mata sudah pasti tiada keaiban diri yang disedari tetapi jika kecacatan diri sendiri yang diperhati, maka sudah pasti seseorang itu akan berusaha menghilangkan keburukan itu agar diganti dengan kecantikan diri.

Sehubungan dengan itu, cubalah hadirkan dan insafkan diri tentang seribu macam kelemahan dan keaiban yang dimilikinya. Seeloknya ialah dengan menyenaraikan keaiban dirinya sekadar yang mampu. Jika kaedah ini tidak berjaya, cubalah minta pandangan daripada orang lain akan kekurangan diri kita sendiri kerana tidak ramai manusia yang nampak kelemahan dirinya melainkan kecacatan itu dikesan nampak oleh orang lain.

Dalam ilmu tasawuf ada digariskan empat kaedah bagaimana untuk melihat keaiban peribadi sendiri agar lebih mudah muhasabah diri dilakukan :


• Duduk bersama dengan orang alim atau menghadiri majlis yang dihadiri bersama golongan ulama. Ini menyebabkan seseorang itu akan merasakan betapa kerdil dan kurang dirinya berbanding dengan orang alim.

• Meminta kepada sahabat yang diyakini baik dan mulia budi pekerti memberi pandangan ikhlas tentang kecacatan dirinya.

• Mengambil kira pandangan orang lain yang membenci atau memusuhinya yang pernah menyatakan tentang keaiban dirinya. Biasanya orang yang membenci seseorang hanya akan menceritakan keaiban orang yang dibencinya. Maka apabila diterima perkhabaran seumpama itu, buatlah muhasabah ke atas diri mungkin keaiban itu ada benarnya.

• Bercampur gaul dengan orang ramai, apabila nampak kecacatan orang lain, cuba bayangkan bahawa orang lain juga nampak dan melihat kecacatan kita. Lihatlah keaiban orang seolah-olah keaiban itu juga ada pada diri kita.

Hendaknya orang yang mendedahkan kelemahan itu tidak mendedahkan aib orang lain dengan cara yang tidak berhemah, sebaliknya hendaklah melalui pendekatan dakwah yang penuh diplomasi supaya pendedahan itu dapat diterima dengan hati yang terbuka.

Saidina Umar al-Khattab sendiri sebagai Amir al-Mukminun selalu meminta daripada orang ramai supaya menyatakan kekurangan dirinya. Tujuannya ialah untuk diperbaiki kesilapan yang beliau sendiri tidak menyedarinya. Lembaran sirah mencatatkan bahawa saidina Umar pernah ditegur oleh wanita dalam persoalan menghadkan jumlah mahar.

Orang yang ditegur juga perlu berlapang dada jika teguran tersebut dikemukakan. Hendaklah diterima kritikan itu dengan niat untuk memperbaiki diri kerana jika pandangan tersebut ditolak, maka selama-lamanya manusia tidak akan berubah dan tidak mahu menerima kritikan dari orang lain.

Dengan sebab itulah dalam sistem politik dan pentadbiran Islam adanya konsep ‘hisbah’ yang bermaksud mencongak, menyemak dan menilai pencapaian diri dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab pemerintahan dan pentadbiran yang telah diamanahkan.

Beberapa prinsip hisbah dalam bidang siasah syariyyah antara lainnya ialah :

• Mengawal, menyemak dan mengemas kini sistem pemerintahan dan pentadbiran supaya dapat dipertingkatkan tahap kecekapan dan keberkesanan khidmat yang diberikan kepada rakyat.

• Menilai pencapain prestasi dalam pentadbiran dan pengurusan supaya kelemahan, kekurangan dan kesilapan diri dapat diatasi dan dibaiki

• Mengukur kejayaan pemerintahan dan pentadbiran supaya perlaksanaan perancangan menepati kehendak sasaran dan memenuhi matlamat yang diingini.

• Mengesan serta mengenalpasti masalah dan kesulitan yang menyebabkan kegagalan, merancang tindakan dan mengatur strategi bagi mencari penyelesaian untuk mencapai kejayaan.

• Mengetahui kesilapan dan kesalahan diri supaya dapat dilakukan pembetulan dan memastikan permasalahan yang sama tidak akan berulang lagi

• Meninjau pandangan, pendapat dan komen rakyat terhadap sesuatu dasar atau rancangan yang diperkenalkan dan dilaksanakan oleh pemerintah atau pemimpin dalam pemerintahan dan pentadbiran.

• Menyemak perkembangan serta mengikuti perubahan bagi menentukan kejayaan perlaksanaan sesuatu dasar atau perancangan

• Mencegah dan membendung gejala-gejala buruk, amalan yang tidak sihat dan perbuatan salah laku yang dihadapi dalam menerajui pemerintahan dan pentadbiran

Walaupun konsep hisbah ini lebih kepada urusan politik dan pemerintahan, namun ruang lingkup muhasabah tidak harus diperkecilkan kepada bidang itu sahaja malah perlu dikaitkan dalam apa jua bidang pekerjaan dan kepada sesiapa sahaja lebih-lebih lagi sebagai persiapan menuju ke alam akhirat.

Setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah disertakan dengan muhasabah dan tidak sewajarnya berpuas hati begitu sahaja. Apabila muhasabah dijadikan cermin diri, kualiti amal akan dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa yang akhirnya akan membuahkan amalan yang lebih baik.


Read More...

Ahad, 13 September 2009

ANTARA 2 PERASAAN

Alhamdulillah...ketika catatan ini ditulis, Ramadhan hanya berbaki 6 hari sahaja lagi. Ini bermakna, kurang dari 1 minggu sahaja lagi sinar 1 Syawal bakal menjelma dan nur Ramadhan bakal melabuhkan tirainya. Pastinya setiap jiwa manusia muslim ada yang bercampur baur antara perasaan sedih meninggalkan Ramadhan atau gembira dengan pemergiannya...'tepuk dada tanya iman'. Iklan dan lagu raya berkumandang di sini sana menambah lagi dilema adakah Ramadhan yang lebih penting disambut atau Syawal yang lebih mustahak diraikan dengan penuh kemeriahan. Inilah masalahnya apabila ibadat yang dah bercampur aduk dengan adat sehingga sukar untuk dibuat penilaian dari sudut fiqh keutamaannya. Tidak salah bergembira dalam sambutan Syawal tetapi biarlah dengan hiasan dan nilai ibadah yang sebenarnya ada asasnya dari sudut pandangan wahyu.


Aidilfitri adalah anugerah Allah S.W.T kepada orang mukmin yang telah bermujahadah menunaikan ibadat puasa sepanjang Ramadhan. Ia adalah sebagai tanda kemenangan melawan segala tuntutan nafsu yang meruntun jiwa selama sebulan berpuasa.

Nabi Muhammad s.a.w. menyambut Aidilfitri dengan penuh kesyukuran lantaran nikmat yang dikurniakan Allah. Walaupun diriwayatkan bahawa baginda bersedih dengan pemergian Ramadhan, namun Aidilfitri disambut juga dengan suasana ceria dan gembira.

Resam baginda di hari raya ialah dengan memakai pakaian yang terbaik dan yang paling cantik, malah baginda sendiri menyarankan kepada para sahabatnya supaya berpakaian cantik sepertimana yang telah disebut oleh cucu baginda Saidina Hassan “Nabi s.a.w. memerintahkan kami di pagi raya supaya memakai pakaian yang paling baik yang kami miliki dan berwangian dengan wangian yang paling baik yang kami miliki”

Imam Ibn. Qayyim ada menyebut bahawa di hari raya, Nabi s.a.w. memakai pakaiannya yang paling cantik. Baginda mempunyai pakaian khas yang biasanya dipakai di dua hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dan hari Jumaat.

Termasuk di dalam sunnah baginda ialah menjamah sedikit makanan sebelum keluar bersolat sunat hari raya dan makanan pilihan baginda ialah tamar. Saidina Anas bin Malik pernah menyebut “Adalah Nabi s.a.w. tidak akan keluar untuk solat Aidilfitri sehinggalah baginda memakan buah tamar terlebih dahulu dengan bilangan yang ganjil (3 atau 5 atau 7 biji)”

Perbuatan makan di pagi Aidilfitri adalah pernyataan daripada baginda bahawa diharamkan berpuasa pada hari tersebut. Masej daripada bersegera makan dan bersolat sunat eid adalah untuk mengelakkan pemikiran orang-orang Islam daripada memikirkan tentang puasa kerana pada hari tersebut adalah satu perayaan kegembiraan setelah sebulan menahan makan dan minum.

Sesiapa yang berpuasa di hari tersebut dianggap sebagai menolak pelawaan dan pemberian Allah S.W.T kepada hambaNya kerana orang-orang Islam adalah tetamu Allah S.W.T di hari yang penuh kemuliaan itu.

Para ulama Islam telah berijma’ di dalam menyatakan haramnya berpuasa di hari pertama Aidilfitri samada ianya puasa wajib seperti nazar apatah lagi untuk berpuasa sunat ataupun puasa untuk membayar kaffarah. Imam al-Syafie ada menyebut bahawa batal atau tidak dikira puasa jika seseorang itu bernazar untuk berpuasa pada hari tersebut.

Larangan berpuasa pada hari ini disebut secara jelas oleh Rasulullah s.a.w. melalui riwayat daripada Abu Said al-Khudri yang menyatakan bahawa Rasulullah menegah daripada berpuasa di dua hari iaitu di Aidilfitri dan Aidiladha.

Di pagi hari raya sebelum mengerjakan solat sunti Aidilfitri, umat Islam diwajibkan untuk mengeluarkan zakat fitrah. Kelewatan membayarnya akan mengakibatkan ia tidak dikira sebagai zakat dan hanya dianggap sebagai sedekah. Ibn. Abbas ada menyebut maksudnya “Zakat fitrah itu adalah untuk mensucikan orang yang berpuasa daripada lagha (perkara yang tidak berfaedah), perkara keji dan sebagai pemberian makanan kepada orang-orang miskin. Sesiapa yang menunaikannya sebelum solat Aidilfitri, itu adalah zakat yang diterima di sisi Allah dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat, maka ia dianggap sebagai satu sedekah”.

Solat sunat Aidilfitri adalah sunat muakkad yang amat dituntut oleh baginda supaya dilaksanakan oleh orang-orang Islam. Ia disyariatkan oleh Allah pada tahun pertama hijrah. Ia digalakkan kepada pelbagai peringkat umur dan lapisan umat Islam meliputi kaum lelaki, perempuan, kanak-kanak, tua, muda, gadis mahupun janda.

Rasulullah s.a.w. sendiri keluar rumah untuk bersolat eid bersama-sama isteri baginda. Disunatkan juga keluar rumah ke tempat sembahyang melalui jalan lain dan pulang ke rumah dengan jalan lain. Ini telah dinyatakan oleh seorang sahabat bernama Jabir bahawa begitulah keadaan baginda setiap kali pergi dan balik daripada menunaikan solat eid.

Seperkara yang penting untuk dikaitkan dengan Aidilfitri ialah amalan bertakbir. Ia mula dilaungkan selepas jelas terlihatnya anak bulan syawal dan berakhir apabila hendak ditunaikan solat sunat Aidilfitri.

Galakan bertakbir disebut secara jelas di dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud “hendaklah kamu mencukupi bilangan puasa dan bertakbirlah (mengagungkan dan membesarkan) Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada mu, semoga kamu bersyukur”.

Bertakbir dianggap amat penting sebagai satu syiar agama bagi menzahirkan perasaan gembira dan syukur kepada Allah di atas kemenangan melawan hawa nafsu mazmumah sepanjang Ramadhan. Ia juga dianggap sebagai lambang penyatuan umat Islam seluruh dunia kerana laungan takbir tetap sama walau di mana pun seseorang itu berada, semuanya membesarkan Allah. Inilah lambang kekuatan ummah yang ingin dijelmakan melalui falsafah dan roh takbir hari raya.

Sebagai kesimpulan, Aidilfitri adalah manifestasi kegembiraan umat Islam kerana :
• dosa-dosa yang diampunkan selepas menjadi graduan cemerlang madrasah Ramadhan
• dapat membantu golongan yang kurang upaya dan tiada kemampuan seperti anak-anak yatim, fakir, miskin dan yang melarat melalui pemberian zakat dan sedekah
• rahmat dan nikmat pemberian Allah yang melimpah ruah
• berkumpulnya orang-orang Islam yang semuanya saling bersalaman di rumah-rumah ibadat seperti surau, musolla dan masjid sambil bertakbir, bermaafan dan mendengar nasihat melalui khutbah eid yang disampaikan
• takbir yang dilaungkan bergema serentak di seluruh pelusuk kampung, bandar, negeri, negara dan dunia.
• berpeluang mengeratkan tali silaturrahim dengan amalan ziarah menziarahi sesama keluarga, kaum kerabat, sanak saudara dan sahabat handai.



Read More...

Khamis, 3 September 2009

JANGAN KURANGKAN PAHALA PUASA ANDA

Alhamdulillah...Ramadhan yang sedang dilalui kini masuk ke fasa yang ke 2 iaitu "KEAMPUNAN". Isyarat ini menjelaskan bahawa cabaran mengharungi bulan Ramadhan semakin mencabar. Jika tidak masakan jumlah jamaah di masjid dan surau semakin berkurangan, promosi Aidilfitri mula menjengah media massa dan elektronik, sedikit masa lagu dendangan lagu raya moden lebih-lebih lagi klasik akan mula berkumandang di corong radio dan bermacam-macam lagi dugaan pasti akan menguji keimanan para hamba untuk mengecapi jaminan Allah yang disebut "KEAMPUNAN" seperti yang termaktub di dalam Hadith Rasulullah s.a.w...TEPUK DADA TANYA IMAN...

Saya ingin berkongsi satu artikel saya yang tersiar di akhbar Berita harian sedikit masa lalu yang berkisar tentang tajuk menjaga lidah agar tidak mengurangkan pahala puasa..namun dengan sedikit olahan pada tajuk...saya alihkan kepada "JANGAN KURANGKAN PAHALA PUASA ANDA" agar nampak lebih relevan dengan situasi kini yang semakin mencabar kesan dek iklan dan promosi 'menjelang aidilfitri' ini.

JAGALAH LIDAH BAGI MENGELAKKAN DARI KURANG PAHALA PUASA

Ibadat puasa bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum bahkan keseluruhan anggota badan dan pancaindera zahir dan batin dikehendaki turut berpuasa. Kesempurnaan berpuasa hanya akan diperolehi apabila seseorang itu berpuasa dari segi rohani dan jasmani, fizikal dan mental, akal dan minda secara serentak.

Di antara anggota zahir terpenting yang mesti dijaga ialah lidah dan mulut. Ini adalah kerana terdapat banyak hadith Nabi s.a.w. yang menasihatkan agar lidah dan mulut dijaga dan dikawal dengan baik agar tidak terlanjur semasa berkata-kata.

Sabda Baginda s.a.w. sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah maksudnya “ Puasa itu adalah perisai, maka janganlah kamu mencela dan berkata-kata kotor ”.

Berdasarkan hadith ini, Nabi s.a.w. telah menjelaskan bahawa ibadat puasa itu adalah perisai daripada api neraka, dan apabila seseorang itu ingin dirinya terdinding daripada terkena serpihan api neraka, hendaklah dia menjaga lidahnya daripada perbuatan keji mencela, mengumpat, adu domba dan sebagainya semasa sedang berpuasa.

Dosa yang bermula daripada bahana mulut di bulan Ramadhan boleh mengurangkan malah mungkin akan sampai ke tahap membatalkan pahala puasa. Ini merujuk kepada hadith yang dikeluarkan oleh Imam al-Tirmizi, sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah maksudnya “ Sesiapa yang tidak dapat meningalkan daripada berkata-kata sia-sia dan selalu beramal dengannya, maka tiada apa yang diharapkan oleh Allah walaupun ketika itu dia meninggalkan makan dan minumnya ( berpuasa ) ”.

Di dalam kitab Bahr al-Mazi yang menghimpunkan hadith-hadith yang dikeluarkan oleh Imam al-Tirmizi ada disebutkan tentang enam perkara yang boleh menjamin kesempurnaan puasa yang semuanya ini berkait rapat dengan anggota zahir dan batin manusia iaitu :
• memejamkan mata daripada membuat maksiat
• memelihara lidah daripada membuat maksiat
• menjauhkan telinga dari membuat maksiat
• menegahkan tangan dan kaki daripada membuat maksiat
• jangan terlalu banyak makan sewaktu berbuka puasa
• hati yang bergantung kepada Allah antara mengharap dan perasaan takut kepadaNya

Memelihara lidah adalah dengan menjauhi daripada berbohong, mengacum, berkata-kata kasar, memfitnah, berpura-pura, banyak ketawa, mencarut dan berbual-bual kosong. Malah bukan setakat ini sahaja kerana sebarang kerosakan yang berpunca daripada lidah dan mulut hendaklah dielakkan.


Sebagai langkah untuk mengelakkan daripada perlakuan yang tidak berfaedah yang bermula daripada kejahatan lidah ini, Islam telah menyarankan supaya seseorang itu mengambil langkah berdiam diri sahaja dan mengunci mulutnya bagi memastikan dosa lidah iti tidak terjadi. Kawallah lidah dari bercakap yang sia-sia, asal sahaja mahu bertutur, pastikan bahawa ia tidak akan membawa kepada mudharat terutamanya jika ia melibatkan hubungan dengan orang lain.

Orang yang berpuasa bukat sekadar dikehendaki menjaga mulutnya daripada berkata-kata kotor dan lucah serta melampau, malah dia dituntut juga mengawal mulutnya daripada membalas kejahatan mulut orang lain. Nabi s.a.w di dalam pendidikannya mengambil berat persoalan supaya tidak membalas kejahatan dengan kejahatan kerana ia tidak akan menyelesaikan sebarang permasalahan malah akan lebih memburukkan keadaan yang tidak akan ada kesudahannya.

Maksud hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah “ Jika ada orang yang berkata-kata kotor kepadanya, maka katakanla kepada orang itu “bahawasanya aku ini berpuasa”.

Hikmah Rasulullah s.a.w menyarankan demikian adalah untuk mengelakkan dari perkelahian dan perbalahan antara dua pihak saudara seIslam di dalam bulan yang mulia ini bagi menjaga kesucian Ramadhan.

Semoga kecemerlangan puasa yang dimulakan dengan niat suci itu terpelihara mulai dari sahur sehinggalah tiba waktu berbuka malah diteruskan sehingga ke malamnya dan begitulah seterusnya di sepanjang bulan Ramadhan. Jangan pula ia hanya dipraktikkan di bulan puasa sahaja dan hendaklah kesinambungan itu berlaku di sepanjang hayat kehidupan seseorang manusia.

Sehubungan dengan itu, menjadi kewajipan kepada setiap individu muslim menghayati erti sebenar puasa yang disyariatkan oleh Allah dengan mengawal segala perlakuan agar tidak melanggar batasan syariat agar puasa yang diamalkan diterima sempurna di sisi Allah S.W.T.

Read More...