Ahad, 27 Disember 2009

AMALAN BERMUHASABAH, SUATU TUNTUTAN AGAMA

Alhamdulillah...hari ini bersamaan 11 Muharram 1431 H, bermakna suku pertama bulan pertama kalendar tahun baru Hijri telah dilalui oleh setiap individu muslim yang menghuni bumi ciptaan Allah S.W.T ini. Manakala tahun baru masihi pula akan tiba 4 hari sahaja lagi. Biasanya di setiap awal tahun ada sahaja di kalangan kita yang memasang azam mahukan sesuatu yang lebih baik untuk tahun yang mendatang...namun ramai yang terlalu ghairah berazam sedang dalam masa yang sama melupai amalan bermuhasabah tentang prestasi dan pencapaiannya untuk setahun yang telah ditinggalkan. Azam dan muhasabah mempunyai perkaitan yang sangat rapat kerana melalui amalan muhasabah...seseorang dapat mengenalpasti kelemahan dan kekuatannya bagi memperbaharui azam yang baru. Begitu juga penilaian dari sudut kejayaan dan kegagalan dalam perlaksanaan sesuatu pekerjaan memberi impak yang sangat berkesan dalam memastikan azam yang baru tersemat dapat direalisasikan dalam keadaan yang maksimum.

Bersama ini saya "attach" salah satu artikel saya yang turut terhimpun dalam himpunan antologi artikel 30 Akhlak Mulia. Sesiapa yang memiliki buku tersebut boleh dapatkannya dalam salah satu tajuk dalam buku tersebut, namun bagi yang tidak memiliki buku tersebut, boleh kita kongsi-kongsikan bersama melalui apa yang terpapar di sini. Moga ada manfaatnya.

AMALAN BERMUHASABAH, SUATU TUNTUTAN AGAMA

Amalan bermuhasabah atau menilai diri amat dituntut oleh Allah S.W.T. kepada semua manusia. Tanpa sebarang pengecualian, ia wajar menjadi amalan setiap individu samada pemimpin, majikan, pekerja, suami, isteri, anak dan sebagainya. Selain daripada untuk meningkatkan lagi kualiti hidup ia adalah sebagai satu kaedah mengatasi dan memperbaiki kelemahan, kekurangan dan kecacatan diri.

Seseorang yang sentiasa menilai diri, menginsafi kesalahan dan kekurangan lantas melakukan perubahan yang positif ke arah kebaikan yang dikehendaki agama adalah lebih baik daripada mereka yang ego dan sombong yang tidak pernah mengakui kesilapan diri sendiri.

Menurut perspektif Islam, muhasabah adalah satu jalan untuk menyelamatkan seseorang daripada ditimpa bencana dan kesusahan hidup di dunia demi keselamatan hidup di hari akhirat kelak. Untuk mendapat ganjaran pahala yang besar sewaktu hitungan amalan di mahsyar tidak akan dapat dicapai jika manusia merasakan dirinya sentiasa baik dan tidak berusaha untuk mencapai sesuatu yang lebih baik dalam hidupnya. Maka dengan sebab itu apabila seseorang itu bermuhasabah, akan dapat dirasakan betapa kurang dan lemah dirinya di hadapan Allah malah dia akan sentiasa mengingkatkan amalannya untuk lebih berjaya.

Galakan bermuhasabah dirakamkan oleh Allah S.W.T dalam al-Quran yang bermaksud “wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang akan dilakukan untuk hari esok (akhirat)” (Surah al-Hasyr : 18).

Ayat tersebut menjelaskan bahawa seseorang itu hendaklah sentiasa memikirkan apa yang sepatutnya dilakukan berdasarkan apa yang telah dilaksanakan sebelumnya kerana perancangan yang teliti hasil dari muhasabah akan membuahkan hasil yang lebih baik.

Lantaran itulah Saidina Umar al-Khattab pernah berkata melalui kata-katanya yang masyhur “hisablah (hitunglah) dirimu sebelum engkau dihisab oleh Allah di hari akhirat kelak”.

Jelas menunjukkan bahawa individu muslim yang inginkan kebaikan dalam hidup hendaklah sentiasa menghitung dirinya dari sudut kelemahan yang kekurangan dirinya bukannya menghitung segala kebaikan yang pernah dilakukan. Jika dihitung amalan kebaikan semata-mata sudah pasti tiada keaiban diri yang disedari tetapi jika kecacatan diri sendiri yang diperhati, maka sudah pasti seseorang itu akan berusaha menghilangkan keburukan itu agar diganti dengan kecantikan diri.

Sehubungan dengan itu, cubalah hadirkan dan insafkan diri tentang seribu macam kelemahan dan keaiban yang dimilikinya. Seeloknya ialah dengan menyenaraikan keaiban dirinya sekadar yang mampu. Jika kaedah ini tidak berjaya, cubalah minta pandangan daripada orang lain akan kekurangan diri kita sendiri kerana tidak ramai manusia yang nampak kelemahan dirinya melainkan kecacatan itu dikesan nampak oleh orang lain.

Dalam ilmu tasawuf ada digariskan empat kaedah bagaimana untuk melihat keaiban peribadi sendiri agar lebih mudah muhasabah diri dilakukan :


• Duduk bersama dengan orang alim atau menghadiri majlis yang dihadiri bersama golongan ulama. Ini menyebabkan seseorang itu akan merasakan betapa kerdil dan kurang dirinya berbanding dengan orang alim.

• Meminta kepada sahabat yang diyakini baik dan mulia budi pekerti memberi pandangan ikhlas tentang kecacatan dirinya.

• Mengambil kira pandangan orang lain yang membenci atau memusuhinya yang pernah menyatakan tentang keaiban dirinya. Biasanya orang yang membenci seseorang hanya akan menceritakan keaiban orang yang dibencinya. Maka apabila diterima perkhabaran seumpama itu, buatlah muhasabah ke atas diri mungkin keaiban itu ada benarnya.

• Bercampur gaul dengan orang ramai, apabila nampak kecacatan orang lain, cuba bayangkan bahawa orang lain juga nampak dan melihat kecacatan kita. Lihatlah keaiban orang seolah-olah keaiban itu juga ada pada diri kita.

Hendaknya orang yang mendedahkan kelemahan itu tidak mendedahkan aib orang lain dengan cara yang tidak berhemah, sebaliknya hendaklah melalui pendekatan dakwah yang penuh diplomasi supaya pendedahan itu dapat diterima dengan hati yang terbuka.

Saidina Umar al-Khattab sendiri sebagai Amir al-Mukminun selalu meminta daripada orang ramai supaya menyatakan kekurangan dirinya. Tujuannya ialah untuk diperbaiki kesilapan yang beliau sendiri tidak menyedarinya. Lembaran sirah mencatatkan bahawa saidina Umar pernah ditegur oleh wanita dalam persoalan menghadkan jumlah mahar.

Orang yang ditegur juga perlu berlapang dada jika teguran tersebut dikemukakan. Hendaklah diterima kritikan itu dengan niat untuk memperbaiki diri kerana jika pandangan tersebut ditolak, maka selama-lamanya manusia tidak akan berubah dan tidak mahu menerima kritikan dari orang lain.

Dengan sebab itulah dalam sistem politik dan pentadbiran Islam adanya konsep ‘hisbah’ yang bermaksud mencongak, menyemak dan menilai pencapaian diri dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab pemerintahan dan pentadbiran yang telah diamanahkan.

Beberapa prinsip hisbah dalam bidang siasah syariyyah antara lainnya ialah :

• Mengawal, menyemak dan mengemas kini sistem pemerintahan dan pentadbiran supaya dapat dipertingkatkan tahap kecekapan dan keberkesanan khidmat yang diberikan kepada rakyat.

• Menilai pencapain prestasi dalam pentadbiran dan pengurusan supaya kelemahan, kekurangan dan kesilapan diri dapat diatasi dan dibaiki

• Mengukur kejayaan pemerintahan dan pentadbiran supaya perlaksanaan perancangan menepati kehendak sasaran dan memenuhi matlamat yang diingini.

• Mengesan serta mengenalpasti masalah dan kesulitan yang menyebabkan kegagalan, merancang tindakan dan mengatur strategi bagi mencari penyelesaian untuk mencapai kejayaan.

• Mengetahui kesilapan dan kesalahan diri supaya dapat dilakukan pembetulan dan memastikan permasalahan yang sama tidak akan berulang lagi

• Meninjau pandangan, pendapat dan komen rakyat terhadap sesuatu dasar atau rancangan yang diperkenalkan dan dilaksanakan oleh pemerintah atau pemimpin dalam pemerintahan dan pentadbiran.

• Menyemak perkembangan serta mengikuti perubahan bagi menentukan kejayaan perlaksanaan sesuatu dasar atau perancangan

• Mencegah dan membendung gejala-gejala buruk, amalan yang tidak sihat dan perbuatan salah laku yang dihadapi dalam menerajui pemerintahan dan pentadbiran

Walaupun konsep hisbah ini lebih kepada urusan politik dan pemerintahan, namun ruang lingkup muhasabah tidak harus diperkecilkan kepada bidang itu sahaja malah perlu dikaitkan dalam apa jua bidang pekerjaan dan kepada sesiapa sahaja lebih-lebih lagi sebagai persiapan menuju ke alam akhirat.

Setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah disertakan dengan muhasabah dan tidak sewajarnya berpuas hati begitu sahaja. Apabila muhasabah dijadikan cermin diri, kualiti amal akan dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa yang akhirnya akan membuahkan amalan yang lebih baik.


Read More...

Khamis, 24 Disember 2009

CERAMAH DI HOSPITAL BESAR MELAKA

Pada 19 November 2009, saya dijemput menyampaikan ceramah di Hospital Besar Melaka dengan tajuk “Etika dan Cabaran Pengamal Perubatan”. Asalnya sahabat saya Ustaz Mohd. Zarifi yang sepatutnya menyampaikan ceramah tersebut, namun 3 hari sebelum program, beliau menghubungi saya untuk menggantikan tempatnya.

Tahun ini sahaja, sudah 3 kali saya menyampaikan tajuk yang hampir sama kepada kelompok peserta yang sama cuma berlainan tempa iaitu para doktor dan jururawat…Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dan teratur…

Sempat saya promosi buku…alhamdulillah setakat ini, kalau saya pergi ceramah ke mana-mana…pasti akan dibawa bersama buku keluaran sulung saya tu…dan jarang sekali menghampakan…alhamdulillah terjual sebanyak 56 buah buku. Nak buat macam mana lagi ye…dah la buku tu terbit modal sendiri…penjualan dan promosi pun sendirian berhad jugak la…tapi Alhamdulillah…tiap kali promote masa ceramah…banyak jugak yang terjual.

Satu persoalan sering timbul…dalam banyak siri ceramah yang diadakan, kebanyakan peserta yang datang adalah dari kalangan kaum wanita…ke mana agaknya orang-orang lelaki ni? Bukan sebab saya ceramah di hospital saja…sebelum ini pun semasa ceramah Kursus Induksi KPKT pun ramai kaum wanita…Kursus Warga Pos Malaysia di Melaka pun ramai wanita juga...Cuma bila ke Penjara dan Serenti sahaja setakat ni confirm semua lelaki.












Read More...

Rabu, 23 Disember 2009

HARI KELUARGA PPA 2009

Alhamdulillah awwalul kalam...biasanya tiap kali nak mula entry baru, selalu saya mulakan dengan ungkapan kata “lama dah tak update blog”…kalau dah lama tak masuk cerita baru memang itu la ayat yang biasa digunakan…rasanya akan datang kalau rajin masuk cerita baru pasti dah tak guna ayat tu kot???



7 dan 8 November 2009 peristiwa ini berlaku…gambar berkaitan dah lama letak kat desktop laptop ni…cuma ceritanya yang belum disusun menjadi tulisan yang lengkap. Sebetulnya kisah mengenai Hari Keluarga PPA ni dah lama sepatutnya dipaparkan dalam blog ni…tapi nak buat macam mana ye…sendiri yang tau kenapa.

Sejak saya mula bertugas di PPA Ogos 2006, ini adalah Family Day ke 2…kali pertama pada tahun 2007 semasa Dr Nordin menjadi Penguasa. Tahun lepas kami ada cadang juga untuk buat Family Day tapi dek kekangan masa dan program yang agak padat, perancangan tersebut tidak dapat dijayakan, namun Alhamdulillah, di bawah pimpinan Us Che Alias…tak dapat Family Day pun kami sempat jalan-jalan buat lawatan ke ILDAS di Sabak Bernam. Tahun 2009 ni, kami cadang untuk buat lawatan ke Perak dan Family Day…yang dapat dilaksanakan cuma Hari Keluarga…tahun 2010??? Wallahu a’lam…

Alhamdulillah juga…semua warga PPA hadir dalam program tersebut…ada yang bawa suami…isteri…anak…ibu…adik…kakak…abang ipar…makcik…anak buah…tapi takde yang bawak ayah ye???

Keseluruhannya…kira okey jugak la…happy dan mencapai objektif…walaupun ada beberapa hal yang mungkin ada yang kurang berpuas hati…biasa la tu…tak nak ulas lebih2 la…sekurang-kurangnya jadi pengajaran yang berguna untuk penambahbaikan Family Day tahun-tahun yang mendatang.



















Read More...

Khamis, 26 November 2009

2 KISAH BERBEZA…LAIN MASA…LAIN SUASANA

Alhamdulillah…sebetulnya banyak kerja kat ofis ni…ingatkan dah hujung tahun ni makin kurang keje…rupa-rupanya banyak jugak ye…plan nak cuti pun blum dapat nak ambil lagi ni…pening kepala pun ada…serabut pun ada…harap kawan-kawan di pejabat dapat kita saling faham memahami tentang tanggungjawab dan kerja masing-masing.

Kalau dah dibuat pengagihan kerja harap dapat dilaksanakan dengan sempurna dan kalau kerja yang rutin pun harap dapat dilakukan dengan baik. Mana mampu setiap orang nak fikir banyak-banyak kerja yang sepatutnya orang lain buat…itu perkongsian yang tidak pintar namanya. Perkongsian pintar itu ialah setiap orang ada kemahiran dan tanggungjawab yang diletakkan di bahunya, laksanakan dengan baik dengan tidak membebankan orang lain. Tidak salah bertanya tetapi seelok-eloknya apabila bertanya, kemukakan sekali dengan cadangan yang bernas…tidak la orang lain tu kena turut sama fikir sampai pening-pening. Kalau dah namanya Penyelaras atau Urusetia Kursus…atau Ketua Unit…buat elok-elok dan sempurna…kalau ada masalah boleh bincang. Begitu juga kalau kita jaga Bahagian Pentadbiran pun, buat bidang tugas yang dah memang tugas kita…kalau ada masalah pun boleh bincang…tidak semua masalah tidak boleh diselesaikan…tetapi biarlah kalau kita bertanya, kita pun ada dah simpan dalam kepala kita cadangan dan pandangan…yang jadi sakit kepala kalau main cadang dan tanya tapi orang lain pulak yang kene fikir jalan penyelesaiannya.


Ok…tukar cerita lain…6 November 2009 lalu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Tuan Haji Othman Mustapha datang berkunjung ke tempat kami. Kali ni kami buat jemputan dan perjumpaan rasmi yang sebetulnya TKPO datang untuk merasmikan majlis penutup Kursus Asas Perkhidmatan Hal Ehwal Islam di tempat kami. Alang-alang beliau datang, kami minta beliau datang lebih awal supaya dapat buat perjumpaan bersama semua kakitangan. Alhamdulillah…walaupun beliau sampai terlewat dari masa yang sepatutnya, kami tetap setia menunggu.

Majlis dimulakan dengan bacaan al-Quran bersama-sama dengan TKPO sendiri mengetuai bacaan dan diikuti oleh semua yang lain. Diteruskan dengan taaruf, ucapan aluan saya sebagai tuan rumah…alang-alang dah datang ni…kami sebut la apa-apa keperluan kami yang perlu untuk memastikan segala prasarana di PPA ini semakin baik dan sempurna.

Tiba masa ucapan TKPO, kami dengar, hayati dan selami dengan penghayatan yang cukup mendalam. TKPO memang tidak asing dengan PPA kerana sewaktu beliau menjadi Pengarah Bahagian Dakwah, beliau memang banyak mengambil berat mengenai PPA samada dari sudut program mahupun pembangunan.

Semoga kedatangan beliau menambah semangat dalam diri semua warga PPA untuk lebih komited dalam melaksanakan tanggungjawab dan tugas untuk kebaikan agama, ummah dan negara.





Read More...

Sabtu, 14 November 2009

LAMA TAK UPDATE

Alhamdulillah…syukur ke Hadrat Allah S.W.T atas semua kurniaanNya yang diberikan. Dah agak lama blog tak update ni…last entry bertarikh 17 Oktober 2009 hari ni pun dah 14 November 2009…hampir nak sebulan tu..yelah memang dah agak lama…sebetulnya memang saya agak sibuk sejak akhir-akhir ni…macam-macam keje nak buat…macam-macam aktiviti berjalan di PPA. Ala kulli hal dapat jugak ari ni saya masuk entry baru dengan kisah yang baru.


12 November yang lepas…macam-macam hal jugak yang terjadi yang memerlukan saya untuk membuat keputusan yang tepat dan wajar…nyaris-nyaris cancel 2 ceramah yang dah lama dibuat komitmen. Memang malam tu ada program di salah sebuah masjid di Jelebu anjuran Bahagian kami di Putrajaya tapi saya dah siap-siap bagi tugas dengan staff lain yang ada di PPA sebab bertembung program tersebut dengan ceramah saya tu.

Pagi dalam pukul 9.30 saya dimaklumkan bahawa Pengarah Bahagian kami nak turun petang ke PPA sebab malam tu dia akan ke masjid yang saya dah ceritakan kisahnya seperti di atas…saya kelam kabut sikit bukan sebab Pengarah nak datang tu sebab kami dah bahagi-bahagi tugas…yang buat saya keluh kesah tu sebab ada yang cadang supaya batalkan sahaja ceramah tu dan gantikan dengan orang lain sebab Bos nak turun. Memang saya fikir Bos datang tu eloknya kalau saya ada...tapi kalau bertembung dengan kerja lain, saya pun ada pertimbangan yang wajar juga, bukan ketepikan tugas sambut Bos nak datang tu...Mula lah saya risau semacam sebab nada orang yang bagi cadangan tu macam serius je. Kalau nak cancel ceramah pasti akan timbul masalah sebab waktu dah makin dekat…bukan senang nak cari ganti…kalau ada calon pun nak ke orang gantikan tempat kita last minit ni…masa tu dah pukul 10 lebih…ceramah pertama pukul 3 di Putrajaya…pukul 12 plan nak gerak dari PPA ke sana…nak ke sana pun akan ambil masa hampir 1 jam setengah...kalau yang petang ni dapat ganti orang lain mungkin tak berat sangat…tapi ceramah yang ke 2 tu malam pukul 8.30…kat Cherating…ceramah untuk Induksi Umum Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pulak tu…masalah besar kalau nak cari orang ganti…kalau cancel lagi masalah besar kerana bagi saya…ini antara Kementerian dengan Jabatan…pasti ada yang akan cakap-cakap nanti…macam tak elok pulak kalau main cancel je...tu semua dalam pemikiran saya.

Akhirnya saya buat keputusan call sendiri dengan Pengarah…saya tahu dia ada miting pagi tu…sebab sepatutnya saya pun kena hadir miting tu tapi dah wakilkan kepada sahabat saya dan dia pun dah maklumkan kepada Pengarah bahawa saya ada 2 ceramah dan tak dapat datang miting dan kata sahabat saya tu…Pengarah okey...saya call terus Pengarah selepas miting dan Alhamdulillah dia faham situasi saya dia pun dah ada maklumat mengenai ceramah tu melalui apa yang sahabat saya dah maklumkan kepada dia…saya minta maaf banyak-banyak atas kekhilafan ini…Lain kali saya akan cuba untuk pastikan setiap pertembungan mesti di adjust betul-betul agar tidak mendatangkan masalah samada kepada saya atau kepada orang lain.

Alhamdulillah petang tu ceramah di Pejabat Kesihatan Presint 11 Putrajaya berjalan baik untuk remaja sekolah kawasan Bangi dan Hulu Langat tetapi penganjur tak dapat tangkap ramai peserta hadir…dalam 40 orang sahaja…ditambah dengan guru-guru dan kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat termasuk para doktornya ada la dalam 50 orang sahaja..apa-apa pun semuanya berjalan lancar dengan tajuk Batas Pergaulan Remaja Menurut Perspektif Agama. Ada peserta yang non muslim juga tetapi saya harmonikan pandangan agar lebih bersifat sejagat dan dapat diterima oleh mereka dan saya tegaskan juga kenapa Islam melarang pergaulan bebas.

Habis ceramah pukul 3…tepat pukul 4 terus ke Cherating bersama pilot Jabatan, abang Aziz dan seorang staff dari PPA, Faizal...atau Jai...ada orang panggil dia Jal...kat rumah orang panggil dia Angah.... Perjalanan melalui LPT melalui Kuala Lumpur menguji kesabaran juga…saya biarkan je pilot drive walaupun saya ada cadangan ikut jalan yang saya tahu dari Putrajaya tu…masuk pulak sikit area Pusat Bandaraya…dah la banyak jalan dan lebuh raya baru dengan DUKE la yang bersimpang siur…hujan pulak turun dengan agak lebat buat kami suspen. Bila dah sampai Gombak tu…tak la risau sangat sebab dari situ dah tahu punca nak ke Pantai Timur.

Selepas tol Gombak…hujan masih turun dengan lebat…angin kuat…jalan pulak selekoh tajam…pilot kami betul-betul berhati-hati…Alhamdulillah tak de masalah.

Hampir jam 8 kami sampai ke Impiana Cherating. Check in bilik terus mandi dan turun ke dewan seminar 8.25. Tepat 8.30 mula ceramah dan habis jam 10.30 dengan tajuk Penerapan Nilai-Nilai Murni / Pembentukan Sikap…tajuk wajib Induksi Umum yang kalau untuk induksi ni selalunya akan disampaikan oleh orang-orang JAKIM.

Jumaat 9.00 pagi kami mula bertolak balik ke Jelebu…singgah sini singgah sana…masuk jalan sini keluar jalan sana…lambat jugak la sampai…pukul 2.30 kami selamat sampai ke PPA dengan sedikit ole-ole untuk dimakan bersama kawan-kawan sepejabat.

Berbalik kepada cerita 'masalah' yang saya kisahkan di awal-awal tadi...bagi saya tiada satu masalah pun yang tidak dapat diselesaikan…melainkan ada jalan keluarnya…Cuma cara bagaimana kita menyelesaikan masalah itulah yang patut difikir-fikirkan. Kadang-kadang kita terlalu ingin menjaga hati dan perasaan orang lain…tetapi kenapa ada segelintar manusia yang mungkin tak kisah ke…atau buat-buat tak kisah ke “kita je nak jaga hati orang…tapi orang tak fakir pun nak jaga hati kita”. Ada manusia yang bila ada masalah cepat-cepat tarik nafas…cuba berfikir panjang kaedah-kaedah mencari jalan penyelesaian…ada juga orang yang bila ada masalah terus terhambur dari mulutnya perkataan-perkataan yang kurang baik dan bernada tinggi. Ada orang yang bila ada masalah…dia diam aje. Ada juga orang yang bila ada masalah dengan seseorang….terbabit sama orang lain seolah-olah dengan semua orang dia bermasalah…atau dengan kata lain dia turut sama mengheret orang lain kepada masalahnya itu. Masalah dengan suami / isteri / anak / ibu / ayah / adik beradik / pakwe / makwe…semua itu di luar pejabat...tetapi orang di pejabat kene heret sama…samada dia marahkan atau tinggikan suara kepada orang di pejabat…atau tarik muka dengan orang di pejabat…atau ape-ape aje…Ada orang memang sedang ada masalah...tapi riak muka macam tak de masalah…ada orang memang tak ada masalah pun tapi muka tu nampak macam ada masalah besar…Ada orang bila ada masalah…masuk angin keluarkan asap…pekena teh tarik…namun BERAPA RAMAI DARI KALANGAN KITA YANG BILA ADA MASALAH ISTIGHFAR BANYAK-BANYAK…TARIK NAFAS PANJANG-PANJANG…BAWAK BERWUDHUK DAN BERSELAWAT SERTA BACA AL-QURAN TAK BANYAK PUN SEDIKIT…MOHON KEPADA YANG ESA BAGI PENYELESAIAN MASALAH TERSEBUT. Nasihat untuk diri saya juga.

Tepuk dada tanya iman…manusia itu makhluk persepsi…hati dan perasaannya sukar diramal…sukar diduga…sukar ditelah. Tidak semua manusia sama cara berfikir dan cara bertindak…Rambut sama hitam hati lain-lain. Nasihat saya kepada diri saya…cuba elakkan dari buat masalah dengan dan kepada orang lain…ada kalanya memang tidak dapat dielak…tapi cuba ‘minima’kan tahapnya agar kita tidak menjadi liabaliti kepada orang lain.

Sekadar luahan perasaan…punya kaitan dengan peristiwa 12 November…juga punya kaitan dengan sejarah hidup Dari Kecil Sehingga Dewasa.



Read More...

Sabtu, 17 Oktober 2009

MENCARI SALAHUDDIN AL-AYYUBI DAN MUHAMMAD AL-FATIH DI UNIKL



Alhamdulillah…16.10.2009 yang lalu saya telah dijemput untuk menyampaikan khutbah jumaat dan kuliah bulanan di Malaysian Institute of Aviation Technology (UNIKL) di Dengkil. Terima kasih kepada Ustaz Wan Tarmizi (kami tak kenal lagi pun) yang telah menghubungi saya melalui panggilan telefon memaklumkan mengenai jemputan tersebut. Terima kasih pada Kak Ani juga yang bagi no handphone saya pada Ustaz Wan.



Saya keluar dari pejabat di Jelebu jam 10.00 pagi, walaupun waktu Jumaat masuk jam 1.00 petang, namun saya gerak lebih awal kerana nak singgah di 2 tempat berlainan sekitar Nilai. Alhamdulillah jam 12.45 tengahari saya sampai di MIAT dalam keadaan pelajar di sana masih sibuk berkemas-kemas kerana baru selesai mengadakan sambutan hari raya peringkat kampus. Saya tak join pun majlis tu…sebab tak dijemput untuk itu.

Alhamdulillah…khutbah dan solat Jumaat berjalan dengan baik…cuma saya agak tidak berpuas hati kerana teks untuk khutbah pertama dan khutbah kedua “tidak begitu berkaitan”. Saya dimaklumkan supaya menggunakan teks khutbah JAIS dan saya pun tak kisah sebab dulu masa mengajar di kolej PTPL Shah Alam pun saya dah biasa dengan bentuk teks khutbah yang disediakan oleh JAIS, maka saya pun klik di internet laman web JAIS untuk muat turun teks khutbah tersebut. Alhamdulillah dapat dan dah siap dicetak. Memandangkan teks khutbah ke 2 tidak dipaparkan di laman web berkaitan, saya menghubungi seorang pegawai masjid yang Us Wan dah bagi nombornya kepada saya di MIAT supaya mereka dapat menyediakan teks khutbah yang ke 2 bagi memudahkan dan melicinkan bacaan khutbah itu nanti.

Saya pun tanpa membuat semakan, kata mereka “ada ustaz teks untuk khutbah ke 2 tu tapi yang minggu lepas punya…tak pe sama je teksnya tu…baca yang Arab dan doa tu…”. Saya pun kira ok la. Tiba saat naik mimbar, saya pun berkhutbah mengikut teks yang telah siap saya print dengan tajuk Kelebihan Solat Berjamaah. Bila tiba khutbah yang ke 2, sedang saya baca…baru saya perasan…isi yang ke 2 ni pasal tahyul, mistik, perubatan tradisional menggunakan khidmat perbomohan dan cerita-cerita seram di tv yang dikaitkan dengan permasalahan akidah…alamak ni dah tajuk lain…lepas selesai solat, barulah saya dimaklumkan bahawa biasanya isi khutbah ke 2 ada sedikit kesinambungan dari isi khutbah pertama…patutpun rasa something wrong somewhere…tapi nak buat camne ye…benda dah selesai…tu la ustaz kamel…lain kali check dulu…tapi mereka pun patutnya maklum la pada saya lebih awal…rupa-rupanya…person incharge yang selalu bawa teks khutbah tu cuti…nasib baik la saya dah print awal…kalau tak…kena la baca teks yang sama yang pernah dibaca sebelum ni. Khutbah secara spontan tanpa teks saya tak ready lagi..hehe

Ok selesai cerita khutbah Jumaat…hari yang sama sebelah petang ada Kuliah Bulanan pulak jam 3.00-4.oo petang. Alhamdulillah selepas siap makan tengahari bersama Hj Syahid dan En.Yusri kami mula bergerak ke dewan kuliah. Awal-awal lagi mereka dah bagitau program macam ceramah ni susah nak kumpul pelajar datang…biasa la program keagamaan ni pelajar kurang minat…kalau ada penyertaan tak berapa ramai nanti ustaz jangan kecik ati ye…kat sini dah biasa buat kuliah tak berapa ramai yang datang. Bagi saya itu biasa la…dulu pun masa di Shah Alam dan Mantin situasi sama saya lalui…memang susah nak tarik golongan remaja ni datang sampai kena buat tindakan ala-ala paksa..pengalaman saya dan sahabat-sahabat dulu buat dalam bentuk arahan supaya hadir menggantikan kelas Pengajian Islam dan kehadiran dicatatkan. Kalau tak hadir consider tak datang kelas…ha kalau macam tu baru ada semangat mereka nak datang…kalau main iklan dan pengumuman bahawa ada ceramah jam sekian tempat sekian…sila la datang…kalau macam tu keadaannya…alamat boleh kira la audien yang hadir. Nasib baik juga kalau ceramah di sekolah, pihak pentadbiran sekolah dah wajibkan semua hadir…so no problem la…”Orang-orang muda ni kalau suruh pergi kelas agama liat…cuba kalau ada konsert, jemput artis buat persembahan…tak payah suruh pun mereka tahu nak pergi. Kalau ada bayaran pun sanggup bayar”. Sekadar menukilkan apa yang dibualkan bersama En Yusri.

1 lagi..pengalaman saya kalau ceramah di agensi kerajaan…kena buat macam kehadiran ke program keagamaan tu dikira sebagai salah satu hari berkursus yang termasuk dalam peraturan kerajaan yang mewajibkan penjawat awam hadir kursus paling kurang 7 hari setahun…makanya program yang ada menyediakan sijil dan dikira termasuk hari berkursus…maka ramailah penyertaan. Bukanlah maksud saya orang-orang gomen ni tak berapa minat ceramah…ramai yang minat tetapi kalau ada sijil dan dikira termasuk hari berkursus tu…ini lebih menambahkan minat.

Berbalik cerita Kuliah Bulanan tu…Alhamdulillah dewan kira penuh jugak la dengan kehadiran hampir 100 orang. Nasib baik jugak Ustaz Tengku bawa student kelas dia attend ceramah saya…penuh la dewan tu...suspen juga awal-awal tu dah nak pukul 3 tapi dalam dewan ada la dalam 15 orang…tepat jam 3 tambah lagi dalam 10-15 orang…start je ceramah…sorang-sorang masuk…last-last penuh jugak dewan.
Ala kulli hal…program hari tu berjalan baik dan lancar…saya sentuh juga pesoalan di mana duduknya remaja hari ini…pembela atau pemusnah Islam…berdasarkan tayangan yang saya paparkan. Kisah Salahuddin al-Ayyubi, Sultan Muhammad al-Fatih, sedikit isu akidah semasa saya kongsikan bersama moga-moga mendatangkan manfaat buat yang mendengar. Masa yang diberi pun tak lama. Awal-awal Pengerusi Majlis bagi tau masa dalam 40 minit sahaja dan kemudian buat sesi soal jawab…Bagi saya 40 minit tu singkat sangat…muqaddimah dah 10 minit…tayangan dah 10 minit…apa yang tinggal??? Akhir sekali terlajak jugak sampai pukul 4.30. Itu pun isi dan penyampaian bagi saya agak kurang teratur dan tersusun. Sebab saya prepare slide dan isi agak banyak juga…bila dimaklumkan 40 minit…mula la terfikir waktu nak mula dan ketika ceramah sedang berjalan…nak skip part yang mana…ye la…nak sentuh bab akidah lagi…akhlak lagi…Salahuddin lagi…al-Fatih lagi…tapi Alhamdulillah…tanggungjawab saya sebagai penyampai telah saya laksanakan.

Kenapa Salahuddin dan Muhammad al-Fatih jadi isu utama? Mereka dianugerahkan oleh Allah kepandaian sebagai pentadbir…mengguna pakai kepakaran teknologi untuk membangunkan Islam…apa kurangnya pelajar MIAT sebagai engineer aircraft mahupun aerospace untuk menyelusuri langkah dan jejak yang diperkukuhkan asasnya oleh Salahuddin dan al-Fatih menumbangkan kuasa besar dunia zamannya. Bagaimana kapal boleh terbakar saat sedang belayar atas lautan merempuh kapal tentera salib…dan bagaimana tembok sekukuh kota Kostantinople dengan rantaian-rantaian besi yang mengelilingi kota di Selat Bosporus dan Laut Marmara mampu diharungi dan ditembusi oleh tentera pimpinan anak muda berusia 24 tahun ini??? Pasti ada jawaban setiap persoalan…pasti ada teknologi di sebalik penciptaan…pasti ada pergantungan di sebalik kekuatan…dan pasti ada doa di sebalik kejayaan.

InsyaAllah kalau ada peluang nak sangat rasanya hati menjejak kaki ke Istanbul yang dulunya menjadi pusat pemerintahan Khilafah Othmaniyyah. Dulu masa belajar di Kaherah, ada sahabat-sahabat dari Turki ajak ke sana...tapi sayang ketika itu kedudukan ekonomi menjadi hambatan bagi kelangsungan sebuah cita-cita...hmm..Insyaallah fi waqtin ma.

Read More...

Isnin, 5 Oktober 2009

JOM BELI SAMBIL MENDERMA

Sebuah buku himpunan artikel yang pernah tersiar di akhbar utama tempatan Berita Harian dan Utusan Malaysia kini berada di pasaran. Karya sulung hasil tulisan Mohd Kamel bin Mat Salleh mengandungi 30 artikel pelbagai tajuk yang dirangkumkan dalam buku ini mampu memberikan maklumat berguna serta bermanfaat kepada pembaca untuk mengetahui pelbagai isu yang dibincangkan di dalamnya. Akhlak Mulia Penyumbang Utama Pembentukan Modal Insan Cemerlang dan Gemilang adalah tajuk kepada koleksi himpunan artikel ini, namun kandungan buku ini bukan sekadar memperkatakan mengenai perihal akhlak semata-mata, tetapi terdapat juga tajuk lain berkisar tentang kehidupan manusia secara umum.



Kandungan Buku :

1. AKHLAK MULIA PENYUMBANG UTAMA PEMBENTUKAN MODAL INSAN CEMERLANG DAN GEMILANG

2. ADAB DALAM PERSAHABATAN DAN PERGAULAN

3. ADAB ISLAM DALAM URUSAN HUTANG PIUTANG DAN PINJAM MEMINJAM

4. AHLI-AHLI MASJID TETAP DALAM PEMELIHARAAN ALLAH

5. AMALAN BERMUHASABAH, SUATU TUNTUTAN AGAMA

6. ASAS PERPADUAN MENGIKUT PERSPEKTIF ISLAM

7. BAHAYA FITNAH KEPADA MASYARAKAT ISLAM

8. BAHAYA SYIRIK DALAM HIDUP INSAN

9. BERSABAR DALAM MENGAWAL KEMARAHAN

10. ETIKA ISLAM DALAM PENYEBARAN DAN PENERIMAAN MAKLUMAT

11. HAKIKAT ALAM BARZAKH DAN ALAM AKHIRAT

12. JUJUR DALAM AMANAH DALAM MELAKSANAKAN SESUATU TUGAS

13. KEHARUSAN HUKUM MENZIARAHI KUBUR KEPADA KAUM WANITA

14. KEKUATAN IMAN DAN AKIDAH TUNJANG PEMBANGUNAN
TAMADUN UMMAH

15. KESEDERHANAAN BERAMAL KE ARAH PEMBENTUKAN MODAL INSAN GEMILANG

16. KONSEP ‘AZAM BARU’ MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

17. KONSEP HUDA (HIDAYAH) SEBAGAI PERTUNJUK KEPADA ORANG YANG BERTAKWA

18. LARANGAN MEMAKAN HARTA ANAK YATIM

19. MENDAHULUKAN BERI SALAM DAPAT PAHALA LEBIH BANYAK

20. MENGAKU DIRI SEBAGAI TUHAN ADALAH SUATU AMALAN SYIRIK

21. NILAI HIDAYAH DALAM HIDUP SESEORANG MUSLIM

22. ORANG MUKMIN YANG BIJAKSANA IALAH MEREKA YANG SENTIASA MEMBUAT PERSIAPAN MENGHADAPI SAAT KEMATIAN

23. PELUANG BERAMAL SELEPAS MENEMPUHI ALAM KEMATIAN

24. PERBUATAN MENDOAKAN ORANG MUKMIN YANG LAIN SECARA GHAIB TANPA PENGETAHUANNYA ADALAH SATU AMALAN MULIA

25. SABAR JALANI KEHIDUPAN DEMI MENCAPAI KEJAYAAN

26. SAMPAINYA DOA DAN BACAAN AYAT AL-QURAN ORANG YANG MASIH HIDUP KEPADA MEREKA YANG TELAH MENINGGAL DUNIA

27. SEBAB YANG BOLEH MEROSAKKAN AMALAN

28. SYARAK MENGGALAKKAN BACAAN TALKIN SYAHADAH KEPADA ORANG YANG MENANTI SAAT KEMATIAN

29. KETOKOHAN NABI MUHAMMAD S.A.W. SEBAGAI SEORANG PENDIDIK

30. ZIKRULLAH SATU KAEDAH PENYUCIAN HATI




Buku setebal 160 halaman ini turut memuatkan kata-kata aluan pendakwah terkenal Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dijual dengan harga RM15.00. Kepada sesiapa yang berminat untuk memiliki buku ini boleh berhubung terus dengan penulis melalui telefon bimbit 019-2881331 atau email mohdkamel73@yahoo.com / mdkamel@islam.gov.my atau melalui ruang sembang-sembang di blog ini.

Pembelian melalui pos juga boleh dilakukan dengan menghubungi penulis melalui cara di atas dan kos penghantaran adalah DI BAWAH TANGGUNGAN PENULIS (PERCUMA).

Sesiapa yang berminat untuk menjadi pengedar / penjual buku ini juga dibenarkan dengan menghubungi penulis terlebih dahulu. Setiap buku yang terjual akan diberi komisyen 30-40%.

Setiap RM1.00 daripada pembelian buku ini akan disumbangkan untuk Sekolah Tahfiz Darul Ulum di Rasah, Negeri Sembilan.



Read More...

Rabu, 30 September 2009

1-10 SYAWAL 1430 H

Alhamdulillah...hari ini 11 Syawal 1430...bermaksud suku pertama Syawal telah berlalu...sekadar catatan untuk disimpan dalam memori kehidupan...bayangkan kalau blog ini masih utuh berdiri untuk tempoh 10 tahun akan datang dan boleh jadi masa dah jadi datuk/dato' nanti (moga Allah panjangkan usia hamba)...blog masih menjadi wadah penyimpan dan penyampai maklumat...pasti saat dan detik itu kita terimbau-imbau apa yang pernah kita lalui sepanjang kehidupan kita. Ingat iklan “burung apa?? burung murai...burung apa?? burung murai"...??? Zaman tu mana ada blog...mana ada IT...tak terpikir dek orang nak jadi dan lahir makhluk bernama blog ni...maka inisiatif si ibu mencoretkan kenangan terindah itu dalam sebuah catatan...lantas mampu membangkit nostalgia indah...kasih sayang seorang ayah...anak...dan ARWAH IBUNYA

1. Alhamdulillah...hari ini hari terakhir hamba menjalani ibadah puasa sunat 6 Syawal...esok raye...betullah hari raya ini ibarat satu kemenangan...kalau tak kuat semangat, mana ada orang rajin-rajin nak puasa sunat ni...sebulan Ramadhan cukuplah...tapi itulah harga dan nilai tambah yang Allah nak kurniakan kepada kita hambaNya.

2. 1 Syawal..satu-satunya adik beradik arwah nenek yang masih ada menghembuskan nafasnya di pagi penuh kemuliaan itu. Al-Fatihah untuk uwan acik yang menjangkau usia kehidupan selama 74 tahun. Bayangkan nenek se tua itu masih gagah melangkahkan kaki ke masjid menghidupkan malam tarawih dalam keadaan duduk berseorangan diri...malu kita orang muda banyak alasan...penat balik kerja la...anak buat ragam la...itu...ini...dan sebagainya.

3. Tradisi sejak beberapa tahun lampau...bacaan khutbah di surau Kampung Paya Padang Lalang...guna teks khutbah JAKIM.

4. Surau tersebut terletak di dalam kawasan tanah perkuburan...kata emak "anak beranak omak waghih kito bolah omak sumo mati sok tanam kek situ".Di situlah kubur uwan (omak pado omak : Kiah bt. Omar), atuk (abah pado omak : Abu Samah bin Bidin), Mak Arek (kakak pado omak : Zainab bt. Abu Samah)...sekadar menyebut beberapa nama yang akrab...arwah atuk tak pernah hamba jumpa..kata emak "atuk kau meninggal sobolum kau lahir laie..."Apakah nanti kalau hamba yang meninggal kubur hamba di situ juga???. Nostalgia bersama arwah nenek bagi hamba sebenarnya amat indah...tak perlu cerita di sini kot...cukup untuk diringkaskan, hamba lah yang lebih banyak kali tidur bersama uwan berbanding adik beradik hamba yang lain. Al-Fatihah buat arwah Kiah, Abu Samah dan Zainab...juga Umi Wafi.

5. 2 Syawal...alamak kono selemo la pulak...berlarutan sampai hari ke 6 Syawal...tu yang jadi tahun ni paling sikit pegi ziarah rumah saudara mara kaum kerabat. Hari ke 2 tu ke Rembau bawak Wafi jumpa Uwan Ghombau...mak, abah ikut sekali. Syawal 1429 yang lalu, tanggal 1 Syawal hamba sudah ke sana...banyak rumah sedara mara belah sana yang diziarahi...tapi tahun ni...tak dapat nak ulang Syawal Yang Lalu..

7. 7 Syawal...ke rumah Kak Zai Desa Permai (akak ipar)...ado oghang ngantar cincin untuk dak Suri. Hamba diminta oleh Abang Zul untuk stay sampai majlis habis...dio suruh baco doa..Alhamdulillah...ikatan kami sentiasa dan akan tetap utuh terjalin...walau terkadang rasanya tak semesra dulu...tapi bila dah lama tak jumpa tu...jadi macam akrab sangat. Kalau selalu jumpa tak banyak modal cerita...sekali sekali jumpa...macam-macam modal. Mereka tetap pakcik dan makcik Wafi.

8. On the way nak balik rumah...singgah Panchor rumah Kak Ngah...bagi duit raya untuk anak-anak dia...5 orang...yatim...kesian...kisah Kak Ngah hamba tak berapa tahu sangat...kebetulan jarang jadi topik perbincangan.

9. 9 Syawal...mula kerja semula.

10. Dah habis...

Selamat Hari Raya...Maaf Zahir Batin...Kullu Am Wa Antum Bi Khayr...Minal A'idin Wal Faizin.



Read More...

Ahad, 27 September 2009

PUASA SUNAT 6 SYAWAL

Alhamdulillah...Ramadhan 1430 H telah berlalu dengan seribu kenangan terindah terutama kepada pencinta kebajikan. Kini Syawal menjelma dengan paparan wajah kegembiraan manifestasi kejayaan mengawal nafsu negatif sepanjang Ramadhan. Namun bagi pemburu mardhatillah, ibadah ketundukkan kepada Rabbul Jalil sifatnya bukanlah bermusim malah konsisten sepanjang masa. Atas rasa sifat kasih dan cinta Allah kepada hambaNya, juga bagi menunjukkan sayang hamba kepada Khaliqnya, setiap detik dan masa pasti mendatangkan pahala...itu pun jika difahami dan diketahui menurut perspektif yang tepat berasaskan ajaran wahyu. Lantaran...setiap amalan wajib diperintahkan, pasti diperkemaskan selanjutnya melalui amalan-amalan sunat...justeru itulah hikmah puasa sunat 6 hari dalam bulan Syawal dianjurkan agar dilaksanakan oleh setiap PENCINTA KEBAJIKAN.

KELEBIHAN PUASA SUNAT ENAM HARI BULAN SYAWAL

Kesempurnaan ibadat seseorang Islam bukan sekadar terletak kepada amalan-amalan fardhu yang diwajibkan oleh Allah S.W.T., malah ia turut ditampung oleh amalan-amalan sunat di dalam memperindahkan lagi mutu ibadat yang dilakukan.

Seumpama solat yang menjadi amalan terawal dihisab di Padang Mahsyar kelak, dinilai terlebih dahulu akan solat wajib yang dilakukan, dan jika terdapat kekurangan, ia akan dilihat melalui amalan solat sunat bagi menampung mana-mana kekurangan solat fardhu. Begitu juga amalan berpuasa. Kecantikan puasa wajib Ramadhan jika ditambah dengan puasa-puasa sunat adalah terlebih indah dan baik daripada hanya bergantung kepada puasa Ramadhan semata-mata.

Terdapat banyak jenis puasa-puasa sunat yang boleh dilaksanakan seperti berpuasa sunat hari Isnin dan Khamis, puasa 10 Muharram, puasa tiga hari dalam sebulan dan puasa enam hari di bulan Syawal.

Menjadi kebiasaan kepada orang-orang Islam di Malaysia berpuasa sunat selama enam hari di bulan Syawal selepas mereka menamatkan puasa sebulan Ramadhan kerana meyakini ganjaran dan pahala yang akan dikurniakan oleh Allah S.W.T.

Abu Ayyub al-Ansari ada meriwayatkan satu hadith daripada Rasulallah s.a.w. di dalam menerangkan tentang kelebihan puasa enam Syawal yang maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikutinya puasa enam hari Syawal samalah seperti dia berpuasa sepanjang tahun” ( Dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya, juga dikeluarkan oleh sekalian ramai ulama hadith seperti al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn. Majah ). Imam al-Syafie menjelaskan bahawa hadith ini adalah hadith sahih.

Imam al-Tabrani pula ada mengeluarkan di dalam susunan hadithnya yang turut berkaitan dengan fadhilat puasa enam Syawal maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadhan dan diikuti kemudiannya puasa enam hari dalam bulan Syawal, keluarlah dari dirinya segala dosa seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya”

Terdapat beberapa persoalan tentang perlaksanaan puasa enam Syawal adakah terus langsung dilaksanakan selepas hari raya pertama dan dibuat secara berturut-turut atau boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang Syawal samada secara berturut-turut atau sebaliknya.

Pendapat di dalam mazhab Syafie menyebut bahawa yang terlebih afdhal di dalam perlaksanaannya ialah sejurus selepas hari raya pertama dan dilakukan enam hari berturut-turut.

Ini tidak pula bermakna, jika seseorang itu melaksanakan secara terputus-putus (tidak berturutan) atau dilakukan pada pertengahan atau akhir Syawal dianggap satu kesalahan atau tidak mendapat pahala, malah semuanya diterima Allah dan dikira sebagai satu ibadah juga.

Perlu difahami bahawa yang dimaksudkan dengan puasa sepanjang tahun itu bukan terletak kepada puasa 6 hari Syawal dengan meninggalkan puasa Ramadhan, tetapi kelebihan puasa setahun itu diperolehi setelah dilengkapkan puasa Ramadhan dan disambung dengan puasa Syawal.

Imam al-Nawawi di dalam kitab Syarah Sahih Muslim ada menyebut kewajaran pahala diberikan seumpama puasa setahun kepada mereka yang berpuasa 6 Syawal. Merujuk kepada satu hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud “Setiap satu amalan kebajikan itu digandakan pahalanya sebanyak 10 kali ganda”.

Ini bermakna bahawa puasa sehari dalam bulan Ramadhan samalah seperti puasa sepuluh kali, dan jika sebulan Ramadhan itu gandaan pahalanya seumpama puasa 10 bulan kerana ianya adalah sepuluh kali ganda. Manakala puasa sehari bulan Syawal seumpama 10 kali puasa dan 6 hari menyamai 60 hari iaitu 2 bulan. Maka jika ditambah 10 bulan dengan 2 bulan samalah seperti puasa setahun.

Apakah hukumnya jika seseorang itu berniat untuk qadha puasanya dan dibuat 6 hari dalam Syawal adakah akan mendapat pahala puasa 6 Syawal?

Syeikh al-Marhum Atiyyah Saqar (salah seorang ulama terkenal al-Azhar) di dalam kitab himpunan fatwanya ada menyebut bahawa hukumnya dibolehkan kepada seseorang untuk qadha puasanya dan ditunaikan 6 hari dalam bulan Syawal dengan niat qadha, maka terhasillah baginya pahala qadha dan pahala puasa 6 Syawal. Tetapi yang lebih afdhal ialah diasingkan antara puasa qadha dan puasa 6 Syawal kerana puasa qadha itu hukumnya wajib dan puasa Syawal itu hukumnya sunat, maka adalah lebih baik tidak disatukan niat kerana antara yang sunat dan wajib itu tidak boleh disatukan.

Para ulama mazhab Syafie menyebut bahawa pahala puasa 6 Syawal itu akan terhasil juga apabila seseorang itu melakukan puasa qadha selama 6 hari walaupun niatnya adalah qadha dan bukan niat puasa 6 Syawal, tetapi pahalanyanya untuk puasa 6 Syawal itu kurang sedikit. Ini menurut kata-kata Imam al-Sya’rawi “Jika seseorang itu berpuasa di dalam bulan Syawal sebagai qadha daripada puasa Ramadhan atau puasa nazar atau lain-lain puasa sunat, maka akan diperolehi pahala sunat Syawal itu kerana terlaksananya puasa 6 hari dalam bulan Syawal tetapi kesempurnaan pahala tidak diperolehi sepenuhnnya melainkan jika diniatkan untuk puasa sunat 6 hari bulan Syawal”.

Sebagai kesimpulannya, adalah terlebih baik jika puasa sunat 6 Syawal dibuat berasingan dengan puasa lain samada qadha, nazar, kaffarah ataupun puasa sunat yang lain. Selesaikan dahulu 6 hari puasa qadha dan ditambah kemudiannya dengan niat puasa 6 Syawal. Ini akan lebih menyeragamkan amal ibadat yang dilakukan agar tidak bercampur aduk antara satu sama lain.

Antara hikmat disyariatkan puasa 6 hari bulan Syawal ialah sebagai satu latihan kepada orang-orang Islam bahawa amal ibadat itu bukan terletak pada bulan-bulan tertentu seperti Ramadhan bahkan amalan itu perlu konsisten untuk sepanjang kehidupan manusia.

Ia juga sebagai satu cabaran kepada orang-orang Islam supaya tidak menjadikan Syawal itu bulan bergembira semata-mata dan jika puasa itu dilakukan seawal mungkin di permulaan Syawal, ini akan menjadikan seseorang manusia itu benar-benar ingin menyahut seruan dari Allah untuk terus beribadat secara istiqamah dan berpanjangan.






Read More...

Selasa, 15 September 2009

KHUTBAH EID 1430 H

Alhamdulillah...kepada sesiapa yang ingin mendapatkan teks khutbah eid untuk dibaca pada Edulfitri 1430H yang akan datang, sila KLIK di sini. Teks ini disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).


Read More...