Ahad, 7 Februari 2010

GAMBAR-GAMBAR KURSUS KEFAHAMAN AKIDAH SIRI 1/2010

Bersama ini disertakan beberapa gambar sewaktu program. Buat adik-adik IKB...maaf banyak-banyak sekiranya ada gambar adik-adik yang tak masuk...ye la banyak sangat mana nak muat masuk dalam ni semua...InsyaAllah, nanti kalau KAMI ke sana, Abi akan bawa gambar-gambar yang lain.












Read More...

SAHABAT AKIDAH 1/2010

Alhamdulillah, Kursus Kefahaman Akidah Siri 1/2010 telah selamat dijalankan oleh KAMI pada 2-4 Februari 2010 yang lalu. KAMI bermaksud SAHABAT AKIDAH yang dikenali sebagai ABI, ABANG ‘ALIM, OMBONG, ABANG AWI, ALONG, KAK CIK, ABANG ZUL & ANGAH yang nama sebenarnya MOHD KAMEL, NOR AZLIM, AHMAD NAJIB, MOHD HAFIZAM, MUHAMMAD AFIF, FATIMAH, ZULKARININ & FAIZAL. KAMI dikenali dengan nama-nama tersebut sewaktu mengendalikan sendiri keseluruhan slot yang dianjurkan di PPA. Nama-nama panggilan tersebut menjadikan KAMI lebih dekat dan mesra dengan peserta. Bila dah mesra, disitulah akan datangnya pertautan hati dan kasih sayang. KAMI dan semua peserta diikat dengan pertalian SAHABAT AKIDAH.

Sahabat-sahabat ABI nampaknya macam seronok mendapat pengalaman mengendalikan kursus dengan kudrat dan kekuatan sendiri. Bak kata ABI pada ANGAH…inilah penangan dan hasilnya…kalau selama ini sahabat-sahabat ABI hanya mungkin melihat tetapi tidak merasa…kini mereka dapat melihat dan merasakan sendiri betapa berharganya apa yang dinamakan PENGALAMAN.


Berbalik kepada kursus yang dijalankan, Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, cuma beberapa kekurangan yang dapat KAMI lihat akan dibuat post moterm bagi penambahbaikan untuk kursus-kursus yang akan datang. Inilah cita-cita dan suasana yang ABI nak tengok sebenarnya sejak tahun 2006…bukan bermakna sebelum ni tak berlaku…cuma jarang-jarang dan tidak sepenuh masa.

Buat adik-adik IKB…manfaatkan segala pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi…seperti yang ABI perkatakan semasa majlis penangguhan…ilmu bukan untuk disimpan tetapi diamalkan. Sesungguhnya perjalanan hidup dunia seperti yang dipaparkan melalui RIADHAH BERKONSEP, KEMBARA & MUTIARA IMAN adalah suatu kebenaran yang tidak dapat disangkal…Iman, akidah dan takwa adalah sebaik-baik bekalan mengharungi ALAM PERSINGGAHAN yang sementara bagi menunggu apa yang dinamakan GANJARAN.
KAMI amat berbesar hati apabila Ketua Pegawai Ekeskutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Anan bin C Mohd datang bagi menyempurnakan majlis penangguhan. Sesungguhnya kedatangan beliau adalah pembakar semangat bagi kelangsungan program-program yang mendatang. Malah ABI secara peribadi merasa terharu sebenarnya, apabila ‘orang-orang penting’ Jabatan sudi berkunjung ke PPA kerana kunjungan ini, dari satu sudut adalah untuk menjadikan kami BERHATI BESAR dan BERSEMANGAT WAJA dalam melaksanakan tanggungjawab.

Teringat ABI pada kata-kata TKP (O) sewaktu kunjungan beliau ke PPA 2009 yang lalu…antara lain beliau menyebut-nyebut nama Dato’ KP JAKIM, Dato’ Rais Yatim…respon peserta-peserta yang beliau pernah temui dan pernah datang ke PPA…sebenarnya semua itu adalah suatu pengiktirafan dan suatu sentuhan bagi membentuk manusia yang BERHATI KUAT DAN BESAR.

Read More...

MENJEJAKI TREK KEMBARA

Setelah hampir sebulan setengah program PPA terhenti disebabkan penutupan akaun tahun 2009 dan menunggu waran peruntukan baru 2010. Mengikut perancangan Unit Kursus, program pertama KAMI tahun ini ialah Kursus Kefahaman Akidah Siri 1/2010 dan pesertanya ialah pelatih dari Institut Kemahiran Baitulmal, Kuala Lumpur yang berjalan pada 2-4 Februari 2010.





Salah satu pengisian kursus yang juga merupakan antara slot wajib ialah KEMBARA. Pengisian slot ini boleh sahaja dilakukan samada dalam kompleks PPA mahupun di luar. Kali ini KAMI membuat persetujuan untuk melaksanakan aktiviti ini bermula dari pelepasan di PPA, kemudian mengharungi perjalanan luar dari PPA. Memandangkan trek kembara yang terakhir diredahi oleh peserta Kursus Asas PHEI JAKIM bulan November 2009 yang lalu maka untuk KEMBARA kali ini, KAMI mesti melaluinya terlebih dahulu bagi memastikan perjalanan KEMBARA nanti berjalan lancar. Maka KAMI lah yang kena meletakkan semula arrow yang dah rosak dan menebas mana-mana kawasan yang semak samun. Semua ini dilakukan bagi memastikan keselamatan peserta KEMBARA nanti.

Alhamdulillah Abi, Abang ‘Alim, Abang Awi, Kak Cik, Abang Zul dan Angah mengambil tanggungjawab ini…boleh gak exercise dan menguji ketahanan fizikal. KAMI tidak meredah semua trek KEMBARA, hanya dari check point pelepasan di PPA ke check point ke 3 sahaja di kawasan ladang durian dan anak sungai. Untuk makluman, ini check point KAMI, kalau check point Kursus Induksi lain sikit la walaupun ada beberapa persamaan trek yang dilalui. KAMI memulakan perjalanan pada jam 11 pagi dan selamat balik ke PPA pada jam 2.30 petang.





 

Read More...

Rabu, 27 Januari 2010

KALAU TAK DIPECAHKAN RUYUNG…MANAKAN DAPAT SAGUNYA

Alhamdulillah..2010 sudah masuk ke minggu terakhir untuk bulan yang pertama. Ternyata di awal tahun baru ini cabaran kerjaya tidak kurang hebatnya dengan pelbagai perkara yang hendak diurus dan selesaikan. Paling hangat diperkatakan bukan setakat di JAKIM, malah di pelbagai agensi kerajaan yang lain ialah berhemah ketika perbelanjaan lantaran pemotongan perbelanjaan mengurus yang terama-amat ketara…semua terkena tempiasnnya baik Ibu Pejabat mahupun PTJ.


Kalau sebelum ni, banyak program boleh buat kat hotel, tapi sekarang tidak lagi…terpaksalah guna pusat-pusat latihan dan permis JAKIM seperti Masjid Negara, Putra, Tuanku Mizan, ILIM, Darul Quran…tidak ketinggalan…Pusat Pemantapan Akidah. ILIM yang menjadi tumpuan utama program-program JAKIM pun dah tak mampu menampung kebanjiran program yang sentiasa padat. Minggu lepas saya dihubungi oleh seorang Ustazah ILIM dan kami berbincang mengenai 2 program TOT untuk Diploma Pengurusan Islam yang akan dilaksanakan di PPA. Bukan DPI tu yang buat di PPA tetapi TOT.

Kami amat mengutamakan program-program anjuran Bahagian-Bahagian di JAKIM…mahu tidak mahu kami tetap akan memberi tempat kepada mereka yang sepatutnya.

Program kami sendiri tetap kami laksanakan mengikut perancangan, memandangkan peruntukan yang dipotong, kami mensyorkan kepada agensi yang berminat agar perbelanjaan dibuat separuh-separuh…sama-sama tampung menampung, kalau kami keluar bajet makan, agensi yang bekerjasama dengan kami ‘cover’ untuk bayaran penceramah dan fasi. Setakat ni hasilnya positif…sekarang bukan macam dulu PPA boleh tanggung semua.

Rupa-rupanya kekangan ekonomi ini banyak juga hikmahnya apabila beberapa agensi menunjukkan perkembangan yang amat positif…maknanya bukan agensi tak boleh cari duit untuk tampung perbelanjaan tapi mungkin dah terbiasa dengan kata-kata “”kalau program kat PPA semua PPA tanggung kan””… Itu ayat keramat yang selalu saya dengar ketika saya mula menjalankan tugas di PPA 2006 yang lalu. Sebenarnya mereka bukan takde duit tapi tak cari duit…mana nak dapat ye…kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya ye tak?

Untuk 2010…banyak pengisian program kami akan isi sendiri…maknanya A-Z kami yang akan kendalikan…Cuma mungkin untuk 1 slot sahaja yang belum dapat kepastian setakat mana keyakinan dan ketinggian kudrat kami untuk mengemudikannya…’SAHABAT AKIDAH’…itu nama team kami…mudah-mudahan akan menghasilkan satu kejayaan InsyaAllah. Inilah antara idaman, cita-cita dan impian saya yang tersemat sejak 2006 sebenarnya untuk melihat gabungan kekuatan lahir dari PPA sendiri. RABBI YASSIR WA LA TU’ASSIR YA KARIM.

Kalau tak berapa larat nanti, InsyaAllah sahabat-sahabat JAKIM di Jabatan Penjara dan BAKA Negeri Sembilan akan kami minta bantuan mana yang patut, dan kalau kedudukan ekonomi agak mengizinkan sesekali boleh panggil juga team consultant yang amat banyak membantu perlaksanaan program PPA tahun 2009 yang lalu.


Read More...

Khamis, 7 Januari 2010

ISU PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH


Isu Penggunaan Kalimah Allah masih hangat diperbahaskan dalam pelbagai saluran media samada cetak mahupun elektronik, tidak kurang melalui laman-laman blog. Isu agama ini berkait-kait pula dengan isu politik. Namun satu yang yang sangat penting ialah ilmu yang perlu ada pada setiap diri individu muslim. Walaupun terdapat banyak bahan ilmu yang boleh dijadikan sandaran hujah dalam menolak dakwaan pihak Kristian, JAKIM sebagai Agensi Agama berautoriti juga mempunyai pakar rujuk dalam memimpin masyarakat untuk menyalurkan fakta-fakta yang boleh dijadikan hujah bagi persoalan yang berbangkit ini. Bersama ini dilampirkan kertas yang boleh menjadi rujukan dalam perbahasan Penggunaan Kalimah Allah ini. SILA KLIK DI SINI



Read More...

SESI PERSEKOLAHAN 2010

Alhamdulillah 4.1.2010 bermulalah sesi persekolahan untuk sekolah yang memulakan hari persekolahannya pada hari Isnin. Selasa 5.1.2009 di dada akhbar bermacam-macam lagak anak-anak yang baru masuk sekolah. Cuba tengok kat Berita Harian, Utusan Malaysia, Sinar Harian…macam-macam peel anak-anak ni…rupa-rupanya anak-anak kita pun ada yang macam tu.

Isnin aku cuti…Selasa pun cuti sebab nak hantar anak masuk sekolah…baru masuk sekolah Pra Cilik 5 tahun…kira masuk sekolah la jugak tu. Hari pertama…nampak okey je…Alhamdulillah…sonang kojo Abi camni yo Wafi…cuma ada masalah sikit je, masa nak tinggalkan dia tu. Tup-tup Hari Kedua…bikin masalah lagi besar dari hari pertama. Awal-awal pagi dia dah bangun sendiri tak dikejutkan pun…aku rasa ini petanda baik…bila kene je air kolah tu mula dia buat perangai sojuk la…ini la…itu la…aku dah agak ada sesuatu la yang berlaku nanti sebab dia ni kalau pagi-pagi mood baik…insyaAllah mood baik tu akan berpanjangan la…bila awal pagi dah ada sikit masalah…akan berjangkit-jangkit la nanti tu.


Masa minum pagi okey lagi…hantar ke sekolah dalam kereta pun maintain lagi…sampai je kat gate sekolah mula lah naik tocang “tak nak turun…Wafi nak balik” sambil hentak-hentak kaki. Memang betul firasatku awal-awal pagi tadi. Biasa la masa ni macam-macam ayat power yang keluar “nanti balik sekolah Abi bawak Wafi naik buaian kat taman…boli air kotak…main game kek kompeter” dll…

Alhamdulillah kejap je moody dia yang tak berapa elok tu. Kemudian aku bawa la Wafi bersama 2 orang sepupu dia yang sama kelas Pra Cilik ke kelas. Sambil-sambil tu jalan-jalan kawasan sekolah atas niat nak sejukkan hati Wafi. Bila loceng dah berbunyi, terus bawa ke kelas sebab hujan renyai-renyai dan perhimpunan pagi dibatalkan…sampai aje kat depan kelas…mula terserlah ammarah dia yang awal-awal pagi dah ditunjukkan petandanya…hentak-hentak kaki katanya tak nak masuk sekolah…nak balik…aku pun control le lagak dan gaya…pujuk mana yang patut…cikgu terus dukung dalam keadaan dia masih menangis…”nak kek Abi…nak balik ngan Abi…Abi masuk sini”… Aku yang dah biasa dengan situasi tersebut intai dari muka pintu tu aje..sebab dah selalu dia macam tu bila mengamuk…

Cikgu kata “biarkan aje…balik aje nanti okey tu”. Aku pun perlahan-lahan meninggalkan kelas Pra Cilik tu dengan penuh keyakinan bahawa Guru Pra Sekolah punya kemahiran psikologi yang tinggi dalam menangani anak-anak yang begitu emosi dan kerenahnya di awal persekolahan ini.

Jam 12.00 tengahari…sewaktu menjemput Wafi di Sekolah Kebangsaan Serting Ilir…dari cermin kelas aku intai…okey je dia borak-borak ngan kawan sebelah sambil pakai stokin…hmm anak-anak begitulah kerenahnya. Bila Tanya kenapa Wafi nangis tadi…dia diam je…selalu anak-anak tak suka bila ditanya soalan-soalan yang menyerlahkan perlakuan mereka yang kurang elok…aku diamkan aje sambil bertanyakan soalan lain samada Wafi nak ke sekolah lagi ke tidak esok…terus dijawab…esok cikgu nak bagi hadiah…tanda nak sekolah lagi lah esok tu…’dalam hati’…ALHAMDULILLAH.

Rabu 6.1.2010 aku kerja…pagi-pagi dah kejutkan dengan bermacam-macam pujukan…mandi air panas la…nanti balik main game la…dapat gaji nanti beli ini beli itu la…ALHAMDULILLAH saat aku keluar rumah jam 7.00 pagi tadi segalanya okey dan dia ke sekolah bersama sepupunya yang lain yang dipanggil AYAH…sebab sepupu dia panggil ayah, dia pun ikut. Kakak aku pun dipanggil OMAK. Balik rumah nanti pasti ada cerita baru tentang persekolahannya hari ini.

Memang betul pun…sampai je rumah terus soalan pertama yang aku tanya…”nangis tak kat sekolah ari ni?”…dia pun mula cerita ini…cerita itu…1 fakta yang paling aku yakin “lopeh ayah antar kek tompek nyanyi tu (tempat perhimpunan pagi), ayah terus balik”…”ado yang nangis tak”…”takdo”…KIRA OKEY LA TU…ALHAMDULILLAH.


Hari Pertama...kat rumah..siap nak ke sekolah. dari kiri Wafi (Pra 5 tahun), Fitrah (Pra 6 tahun), Amirul (Tahun 2), Fitri (Pra 6 tahun adik kembar Fitrah)


Posing sikit...biar bersemangat nak ke sekolah.


Kat dalam kelas


Hadapan SKSI...tamat hari pertama.



Read More...

KENANGAN 2009

1. Tanggung kerja sebagai Penguasa PPA…bukan kerja mudah…seawal Feb 2009 tanggungjawab itu dipikul…mana taknya bukan mudah…duit perbelanjaan mengurus PPA sebanyak 1.5 juta nak dihabiskan dalam setahun ni...poning kepalo den…awal-awal tu memang satu detik yang sangat mencabar sampai berat badan pun turun hampir 3 kg…namun Alhamdulillah ramai yang membantu…terima kasih semua rakan sepejabat.

2. Kesan dari menanggung kerja tu…dapat la sedikit pengalaman bagaimana untuk mentadbir diri dan mengurus manusia…walaupun sering aku titipkan dalam diri bahawa aku bukan boss yang sebenar…aku hanya menjalankan tugas boss sementara menunggu boss yang hakiki datang…tapi takkan aku nak buat perangai macam orang yang bukan boss…kene ada la sikit talent sebagai boss tu ye…walaupun ada yang mungkin masih belum dapat terima ke’boss’an aku tu…risau juga kot-kot ada yang bossan dengan aku…manalah tau…

3. Masih kesan dari menanggung kerja…Penguasa PPA ahli dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan JAKIM…ini pun satu tugas yang sangat mencabar, namun aku cuba berfikiran positif bahawa itu semua dugaan yang mematangkan diri dan kerjaya. Pokok pangkalnya semuanya memerlukan persiapan dan persediaan. Mesyuarat bersama Dato’ KP selalunya mendebarkan juga…silap jawab atau jawab main ikut sedap mulut apa yang terlintas pun bahaya juga.

4. Tahun 2009 banyak tempat yang sebelum ni aku tak pernah pergi atau dah lama tak pergi…tapi tahun 2009 yang lalu aku selamat pergi dan selamat balik…samada untuk mesyuarat ataupun menerima jemputan ceramah :
a. Pulau Langkawi
b. Sabah (Kota Kinabalu, Kundasang, kaki Gunung Kinabalu…kakinya aje hehe)
c. Sarawak (Kuching 2 x)
d. Perak (Tanjung Rambutan)
e. Selangor (Kuala Kubu Baru : Darul Quran)
f. Pahang (Cerating)
g. Kelantan (Kota Bharu 2 x)
h. Terengganu (Kuala Terengganu)
i. Melaka (Ayer Keroh dan Bandar Melaka)

Terima kasih sahabat-sahabat di Bahagian Dakwah yang banyak bagi peluang berkongsi sedikit ilmu dengan masyarakat. Sambil menyampaikan, dapat juga lakukan amalan ziarah seperti yang disebut orang bijak pandai ‘jauh perjalanan luas pemandangan dan pengalaman’.

5. Alhamdulillah buku sulung berjaya diterbitkan. “Akhlak Mulia Penyumbang Utama Pembentukan Modal Insan Cemerlang dan Gemilang” iaitu himpunan 30 artikel umum yang pernah tersiar di pelbagai media cetak. Sebagai projek perintis, aku guna modal sendiri untuk urusan percetakan dan pemasaran pun sendirian berhad…Alhamdulillah hasilnya memuaskan. Buku yang dicetak 1000 buah sekitar Jun habis dijual Jan 2010.

6. Kalau nak diikutkan memang banyak kenangan-kenangan yang lain tapi rasanya ini yang paling dominan dan mewarnai hidupku untuk tahun 2009…sesungguhnya apa yang dilalui itu membuka ruang dan skop baru untuk kelangsungan perjuangan 2010 DENGAN AZAM :

i. MENJADI PEKERJA YANG LEBIH BAIK
ii. TERUSKAN UNTUK MENULIS BUKU YANG SETERUSNYA…INSYAALLAH 2 BUKU BAKAL TERBIT (sebenarnya aku punya cita-cita untuk buat skrip drama dan menulis cerpen atau novel)
III. SASARAN UNTUK TERJEMAH MANA-MANA KITAB DARI BAHASA ARAB KE BAHASA MELAYU
IV. MAKKAH…MADINAH…ISTANBUL…CAMERON HIGHLANDS
v. SAMBUNG PENGAJIAN KE PERINGKAT YANG LEBIH TINGGI

AMIN YA RABBAL ALAMIN


Di Pusat Latihan Islam Kundasang, berlatarbelakang Gunung Tertinggi Asia Tenggara.


Program Dakwah Bil Hal, Kuching Sarawak.



JAKIM Cawangan Sarawak.


Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.


Rakan-Rakan sepejabat Pusat Pemantapan Akidah..dari kiri Afif, Zulkarinin, Hafizam, Najib, Kamel, Azlim, Abe Aziz, Faizal, Nina, Kak Zainah, Fatimah.

Read More...

Ahad, 27 Disember 2009

AMALAN BERMUHASABAH, SUATU TUNTUTAN AGAMA

Alhamdulillah...hari ini bersamaan 11 Muharram 1431 H, bermakna suku pertama bulan pertama kalendar tahun baru Hijri telah dilalui oleh setiap individu muslim yang menghuni bumi ciptaan Allah S.W.T ini. Manakala tahun baru masihi pula akan tiba 4 hari sahaja lagi. Biasanya di setiap awal tahun ada sahaja di kalangan kita yang memasang azam mahukan sesuatu yang lebih baik untuk tahun yang mendatang...namun ramai yang terlalu ghairah berazam sedang dalam masa yang sama melupai amalan bermuhasabah tentang prestasi dan pencapaiannya untuk setahun yang telah ditinggalkan. Azam dan muhasabah mempunyai perkaitan yang sangat rapat kerana melalui amalan muhasabah...seseorang dapat mengenalpasti kelemahan dan kekuatannya bagi memperbaharui azam yang baru. Begitu juga penilaian dari sudut kejayaan dan kegagalan dalam perlaksanaan sesuatu pekerjaan memberi impak yang sangat berkesan dalam memastikan azam yang baru tersemat dapat direalisasikan dalam keadaan yang maksimum.

Bersama ini saya "attach" salah satu artikel saya yang turut terhimpun dalam himpunan antologi artikel 30 Akhlak Mulia. Sesiapa yang memiliki buku tersebut boleh dapatkannya dalam salah satu tajuk dalam buku tersebut, namun bagi yang tidak memiliki buku tersebut, boleh kita kongsi-kongsikan bersama melalui apa yang terpapar di sini. Moga ada manfaatnya.

AMALAN BERMUHASABAH, SUATU TUNTUTAN AGAMA

Amalan bermuhasabah atau menilai diri amat dituntut oleh Allah S.W.T. kepada semua manusia. Tanpa sebarang pengecualian, ia wajar menjadi amalan setiap individu samada pemimpin, majikan, pekerja, suami, isteri, anak dan sebagainya. Selain daripada untuk meningkatkan lagi kualiti hidup ia adalah sebagai satu kaedah mengatasi dan memperbaiki kelemahan, kekurangan dan kecacatan diri.

Seseorang yang sentiasa menilai diri, menginsafi kesalahan dan kekurangan lantas melakukan perubahan yang positif ke arah kebaikan yang dikehendaki agama adalah lebih baik daripada mereka yang ego dan sombong yang tidak pernah mengakui kesilapan diri sendiri.

Menurut perspektif Islam, muhasabah adalah satu jalan untuk menyelamatkan seseorang daripada ditimpa bencana dan kesusahan hidup di dunia demi keselamatan hidup di hari akhirat kelak. Untuk mendapat ganjaran pahala yang besar sewaktu hitungan amalan di mahsyar tidak akan dapat dicapai jika manusia merasakan dirinya sentiasa baik dan tidak berusaha untuk mencapai sesuatu yang lebih baik dalam hidupnya. Maka dengan sebab itu apabila seseorang itu bermuhasabah, akan dapat dirasakan betapa kurang dan lemah dirinya di hadapan Allah malah dia akan sentiasa mengingkatkan amalannya untuk lebih berjaya.

Galakan bermuhasabah dirakamkan oleh Allah S.W.T dalam al-Quran yang bermaksud “wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang akan dilakukan untuk hari esok (akhirat)” (Surah al-Hasyr : 18).

Ayat tersebut menjelaskan bahawa seseorang itu hendaklah sentiasa memikirkan apa yang sepatutnya dilakukan berdasarkan apa yang telah dilaksanakan sebelumnya kerana perancangan yang teliti hasil dari muhasabah akan membuahkan hasil yang lebih baik.

Lantaran itulah Saidina Umar al-Khattab pernah berkata melalui kata-katanya yang masyhur “hisablah (hitunglah) dirimu sebelum engkau dihisab oleh Allah di hari akhirat kelak”.

Jelas menunjukkan bahawa individu muslim yang inginkan kebaikan dalam hidup hendaklah sentiasa menghitung dirinya dari sudut kelemahan yang kekurangan dirinya bukannya menghitung segala kebaikan yang pernah dilakukan. Jika dihitung amalan kebaikan semata-mata sudah pasti tiada keaiban diri yang disedari tetapi jika kecacatan diri sendiri yang diperhati, maka sudah pasti seseorang itu akan berusaha menghilangkan keburukan itu agar diganti dengan kecantikan diri.

Sehubungan dengan itu, cubalah hadirkan dan insafkan diri tentang seribu macam kelemahan dan keaiban yang dimilikinya. Seeloknya ialah dengan menyenaraikan keaiban dirinya sekadar yang mampu. Jika kaedah ini tidak berjaya, cubalah minta pandangan daripada orang lain akan kekurangan diri kita sendiri kerana tidak ramai manusia yang nampak kelemahan dirinya melainkan kecacatan itu dikesan nampak oleh orang lain.

Dalam ilmu tasawuf ada digariskan empat kaedah bagaimana untuk melihat keaiban peribadi sendiri agar lebih mudah muhasabah diri dilakukan :


• Duduk bersama dengan orang alim atau menghadiri majlis yang dihadiri bersama golongan ulama. Ini menyebabkan seseorang itu akan merasakan betapa kerdil dan kurang dirinya berbanding dengan orang alim.

• Meminta kepada sahabat yang diyakini baik dan mulia budi pekerti memberi pandangan ikhlas tentang kecacatan dirinya.

• Mengambil kira pandangan orang lain yang membenci atau memusuhinya yang pernah menyatakan tentang keaiban dirinya. Biasanya orang yang membenci seseorang hanya akan menceritakan keaiban orang yang dibencinya. Maka apabila diterima perkhabaran seumpama itu, buatlah muhasabah ke atas diri mungkin keaiban itu ada benarnya.

• Bercampur gaul dengan orang ramai, apabila nampak kecacatan orang lain, cuba bayangkan bahawa orang lain juga nampak dan melihat kecacatan kita. Lihatlah keaiban orang seolah-olah keaiban itu juga ada pada diri kita.

Hendaknya orang yang mendedahkan kelemahan itu tidak mendedahkan aib orang lain dengan cara yang tidak berhemah, sebaliknya hendaklah melalui pendekatan dakwah yang penuh diplomasi supaya pendedahan itu dapat diterima dengan hati yang terbuka.

Saidina Umar al-Khattab sendiri sebagai Amir al-Mukminun selalu meminta daripada orang ramai supaya menyatakan kekurangan dirinya. Tujuannya ialah untuk diperbaiki kesilapan yang beliau sendiri tidak menyedarinya. Lembaran sirah mencatatkan bahawa saidina Umar pernah ditegur oleh wanita dalam persoalan menghadkan jumlah mahar.

Orang yang ditegur juga perlu berlapang dada jika teguran tersebut dikemukakan. Hendaklah diterima kritikan itu dengan niat untuk memperbaiki diri kerana jika pandangan tersebut ditolak, maka selama-lamanya manusia tidak akan berubah dan tidak mahu menerima kritikan dari orang lain.

Dengan sebab itulah dalam sistem politik dan pentadbiran Islam adanya konsep ‘hisbah’ yang bermaksud mencongak, menyemak dan menilai pencapaian diri dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab pemerintahan dan pentadbiran yang telah diamanahkan.

Beberapa prinsip hisbah dalam bidang siasah syariyyah antara lainnya ialah :

• Mengawal, menyemak dan mengemas kini sistem pemerintahan dan pentadbiran supaya dapat dipertingkatkan tahap kecekapan dan keberkesanan khidmat yang diberikan kepada rakyat.

• Menilai pencapain prestasi dalam pentadbiran dan pengurusan supaya kelemahan, kekurangan dan kesilapan diri dapat diatasi dan dibaiki

• Mengukur kejayaan pemerintahan dan pentadbiran supaya perlaksanaan perancangan menepati kehendak sasaran dan memenuhi matlamat yang diingini.

• Mengesan serta mengenalpasti masalah dan kesulitan yang menyebabkan kegagalan, merancang tindakan dan mengatur strategi bagi mencari penyelesaian untuk mencapai kejayaan.

• Mengetahui kesilapan dan kesalahan diri supaya dapat dilakukan pembetulan dan memastikan permasalahan yang sama tidak akan berulang lagi

• Meninjau pandangan, pendapat dan komen rakyat terhadap sesuatu dasar atau rancangan yang diperkenalkan dan dilaksanakan oleh pemerintah atau pemimpin dalam pemerintahan dan pentadbiran.

• Menyemak perkembangan serta mengikuti perubahan bagi menentukan kejayaan perlaksanaan sesuatu dasar atau perancangan

• Mencegah dan membendung gejala-gejala buruk, amalan yang tidak sihat dan perbuatan salah laku yang dihadapi dalam menerajui pemerintahan dan pentadbiran

Walaupun konsep hisbah ini lebih kepada urusan politik dan pemerintahan, namun ruang lingkup muhasabah tidak harus diperkecilkan kepada bidang itu sahaja malah perlu dikaitkan dalam apa jua bidang pekerjaan dan kepada sesiapa sahaja lebih-lebih lagi sebagai persiapan menuju ke alam akhirat.

Setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah disertakan dengan muhasabah dan tidak sewajarnya berpuas hati begitu sahaja. Apabila muhasabah dijadikan cermin diri, kualiti amal akan dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa yang akhirnya akan membuahkan amalan yang lebih baik.


Read More...

Khamis, 24 Disember 2009

CERAMAH DI HOSPITAL BESAR MELAKA

Pada 19 November 2009, saya dijemput menyampaikan ceramah di Hospital Besar Melaka dengan tajuk “Etika dan Cabaran Pengamal Perubatan”. Asalnya sahabat saya Ustaz Mohd. Zarifi yang sepatutnya menyampaikan ceramah tersebut, namun 3 hari sebelum program, beliau menghubungi saya untuk menggantikan tempatnya.

Tahun ini sahaja, sudah 3 kali saya menyampaikan tajuk yang hampir sama kepada kelompok peserta yang sama cuma berlainan tempa iaitu para doktor dan jururawat…Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dan teratur…

Sempat saya promosi buku…alhamdulillah setakat ini, kalau saya pergi ceramah ke mana-mana…pasti akan dibawa bersama buku keluaran sulung saya tu…dan jarang sekali menghampakan…alhamdulillah terjual sebanyak 56 buah buku. Nak buat macam mana lagi ye…dah la buku tu terbit modal sendiri…penjualan dan promosi pun sendirian berhad jugak la…tapi Alhamdulillah…tiap kali promote masa ceramah…banyak jugak yang terjual.

Satu persoalan sering timbul…dalam banyak siri ceramah yang diadakan, kebanyakan peserta yang datang adalah dari kalangan kaum wanita…ke mana agaknya orang-orang lelaki ni? Bukan sebab saya ceramah di hospital saja…sebelum ini pun semasa ceramah Kursus Induksi KPKT pun ramai kaum wanita…Kursus Warga Pos Malaysia di Melaka pun ramai wanita juga...Cuma bila ke Penjara dan Serenti sahaja setakat ni confirm semua lelaki.












Read More...

Rabu, 23 Disember 2009

HARI KELUARGA PPA 2009

Alhamdulillah awwalul kalam...biasanya tiap kali nak mula entry baru, selalu saya mulakan dengan ungkapan kata “lama dah tak update blog”…kalau dah lama tak masuk cerita baru memang itu la ayat yang biasa digunakan…rasanya akan datang kalau rajin masuk cerita baru pasti dah tak guna ayat tu kot???



7 dan 8 November 2009 peristiwa ini berlaku…gambar berkaitan dah lama letak kat desktop laptop ni…cuma ceritanya yang belum disusun menjadi tulisan yang lengkap. Sebetulnya kisah mengenai Hari Keluarga PPA ni dah lama sepatutnya dipaparkan dalam blog ni…tapi nak buat macam mana ye…sendiri yang tau kenapa.

Sejak saya mula bertugas di PPA Ogos 2006, ini adalah Family Day ke 2…kali pertama pada tahun 2007 semasa Dr Nordin menjadi Penguasa. Tahun lepas kami ada cadang juga untuk buat Family Day tapi dek kekangan masa dan program yang agak padat, perancangan tersebut tidak dapat dijayakan, namun Alhamdulillah, di bawah pimpinan Us Che Alias…tak dapat Family Day pun kami sempat jalan-jalan buat lawatan ke ILDAS di Sabak Bernam. Tahun 2009 ni, kami cadang untuk buat lawatan ke Perak dan Family Day…yang dapat dilaksanakan cuma Hari Keluarga…tahun 2010??? Wallahu a’lam…

Alhamdulillah juga…semua warga PPA hadir dalam program tersebut…ada yang bawa suami…isteri…anak…ibu…adik…kakak…abang ipar…makcik…anak buah…tapi takde yang bawak ayah ye???

Keseluruhannya…kira okey jugak la…happy dan mencapai objektif…walaupun ada beberapa hal yang mungkin ada yang kurang berpuas hati…biasa la tu…tak nak ulas lebih2 la…sekurang-kurangnya jadi pengajaran yang berguna untuk penambahbaikan Family Day tahun-tahun yang mendatang.



















Read More...